Jumaat, 12 Januari 2018

Hadis Kelebihan Meninggal Dunia Bukan Pada Tempat Kelahiran

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرٍو، قَالَ: تُوُفِّيَ رَجُلٌ بِالْمَدِينَةِ مِمَّنْ وُلِدَ بِهَا، فَصَلَّى عَلَيْهِ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا لَيْتَهُ مَاتَ فِي غَيْرِ مَوْلِدِهِ. فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ النَّاسِ: لِمَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا تُوُفِّيَ فِي غَيْرِ مَوْلِدِهِ قِيسَ لَهُ مِنْ مَوْلِدِهِ إِلَى مُنْقَطَعِ أَثَرِهِ، فِي الْجَنَّةِ.

Daripada Abdullah bin ‘Amru, beliau berkata: 

Seorang lelaki meninggal dunia di Madinah dan dia merupakan orang yang dilahirkan di Madinah. Lalu Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mensolatkan beliau. Setelah itu baginda bersabda:

“Alangkah baiknya jika dia mati pada bukan tempat kelahirannya.”

Seseorang bertanya:

“Kenapa wahai Rasulullah?”

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam menjawab:

“Seseorang itu jika dia meninggal dunia pada bukan tempat kelahirannya akan dianggarkan keluasan syurganya sebanding dengan jarak tempat kelahirannya sehingga tempat dia meninggal dunia.”

Takhrij Hadis: 

Hadis ini riwayat Ahmad (no. 6656), al-Nasa’ie dalam al-Mujtaba (no. 1832) dan al-Sunan al-Kubra (no. 1971), Ibnu Majah (no. 1614) dan lain-lain.

Status Hadis:

1 - Hadis ini didaifkan oleh al-Imam al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra dan Imam al-Nawawi dalam Khulasah al-Ahkam [(2/1068) no. 3814, terbitan: Muassasah al-Risalah].

2 - Imam al-Nasa’ie mendaifkan hadis ini kerana dua sebab; kewujudan perawi daif dan bercanggah dengan hadis sahih yang lain.

3 - Kata al-Imam al-Nasa’ie:

حُيَيُّ بْنُ عَبْدِ اللهِ لَيْسَ مِمَنْ يُعْتَمَدُ عَلَيْهِ وَهَذَا الْحَدِيثُ عِنْدَنَا غَيْرُ مَحْفُوظٍ وَاللهُ أَعْلَمُ، لِأَنَّ الصَّحِيحَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مِنَ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَمُوتَ بِالْمَدِينَةِ فَإِنِّي أَشْفَعُ لِمَنْ مَاتَ بِهَا.

“Huyai bin Abdullah (salah seorang perawi dalam sanadnya) bukanlah daripada perawi yang boleh berpegang dengannya dan hadis ini di sisi kami adalah tidak terpelihara (yakni munkar/diriwayatkan secara silap) - wallahu a’lam – kerana yang sahih daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam ialah:

مِنَ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَمُوتَ بِالْمَدِينَةِ فَإِنِّي أَشْفَعُ لِمَنْ مَاتَ بِهَا.

“Sesiapa di antara kamu yang mampu untuk mati di Madinah (maka usahakanlah). Sesungguhnya aku akan memberi syafaat kepada sesiapa yang mati di Madinah.” 

[Riwayat Ahmad (no. 5437), al-Termizi (no. 3917) dan Ibnu Majah (no. 3112) daripada hadis Abdullah bin ‘Umar. Kata al-Termizi: “Hadis ini hasan sahih gharib.”]

4 - Kata al-Imam al-Nawawi: 

“Diriwayatkan oleh al-Nasa’ie dengan sanad yang daif.” 

Pendapat Pengkaji Hadis Moden

1 - Sebahagian pengkaji hadis moden mensahihkan hadis ini dan ada yang menghasankannya.

2 - Syeikh Ahmad Syakir mensahihkan sanad hadis ini dalam tahqiq Musnad Ahmad (no. 6656).

3 - Syeikh al-Albani menghasankan sanad hadis ini dalam beberapa penulisan beliau antaranya dalam ta’liq Misykat al-Masabih (no. 1593).

4 - Syeikh Syu’aib al-Arnauth pada mulanya menghasankan sanad hadis ini dalam tahqiq Sahih Ibnu Hibban (no. 2934) kemudian mendaifkan sanadnya dalam tahqiq Sunan Ibnu Majah (no. 1614). Sahih Ibnu Hibban diterbitkan terlebih dahulu daripada Sunan Ibnu Majah.

Takwilan Imam al-Sindi

1 – Imam al-Sindi dalam Hashiyyah ‘Ala Sunan Ibnu Majah cuba mentakwilkan hadis ini agar tidak bercanggah dengan hadis kelebihan mati di Madinah.

2 – Menurut beliau, bukanlah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam berharap agar lelaki tersebut mati di luar Madinah (yakni luar tempat kelahirannya) bahkan baginda mengharapkan agar lelaki tersebut adalah orang dagang/asing (yang tempat kelahirannya berada di luar Madinah) lalu dia berhijrah ke Madinah dan mati di situ.

3 – Tetapi menurut Syeikh Muhammad Ali Adam al-Athyubi dalam Syarah Sunan al-Nasa’ie, zahir hadis secara jelas menyebutkan bahawa lelaki tersebut  merupakan kelahiran Madinah dan meninggal dunia di Madinah. Akan tetapi Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tetap mengharapkan agar dia meninggal dunia di bukan tempat kelahirannya (yakni di luar Madinah). Oleh itu, takwilan al-Sindi bahawa maksud baginda adalah untuk orang yang lahir di luar Madinah lalu meninggal di Madinah adalah tidak tepat. Kesimpulannya, lebih tepat untuk mengatakan hadis kelebihan mati di Madinah lebih kuat dan lebih patut didahulukan daripada hadis ini. 

Tulisan ini saya telah kemaskini semula pada 28/3/2023. Alhamdulillah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan