Khamis, 29 Mac 2018

Hadis: Membaca Bismillah Dengan Jahar


Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Boleh ana tahu asal kepada hadis ni?

حديث نعيم بن عبد الله المجمر قال : صليت وراء أبي هريرة رضي الله عنه فقرأ بسم الله الرحمن الرحيم ثم قرأ بأم الكتاب حتى إذا بلغ ولا الضالين قال : آمين وقال الناس : آمين ويقول كلما سجد : الله أكبر وإذا قام من الجلوس من الاثنين قال : الله أكبر ثم يقول إذا سلم . والذي نفسي بيده إني لأشبهكم صلاة برسول الله صلى الله تعالى عليه وسلم

Jawapan:

Hadis Nu'aim bin Abdullah al-Mujmir, beliau berkata:

"Aku bersolat di belakang Abu Hurairah radiallahu 'anhu. Beliau membaca 'بسم الله الرحمن الرحيم'. Kemudian beliau membaca Ummul Kitab (Surah al-Fatihah) sehingga sampai 'ولا الضالين', beliau berkata: Amin. Lalu berkata orang ramai (yang bersolat di belakang beliau): Amin. Beliau berkata apabila hendak sujud: Allahu Akbar. Apabila beliau bangun daripada duduk pada (rakaat) kedua, beliau berkata: Allahu akbar. Kemudian apabila selesai memberi salam, beliau berkata: Demi (Allah) yang jiwaku dalam kekuasaan-Nya, aku adalah yang paling menyerupai solatnya dengan solat Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam di antara kamu semua."

Hadis ini riwayat al-Bazzar, al-Nasa'ie, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, al-Daraqutni, al-Hakim, al-Baihaqi dan lain-lain.

Hadis ini disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, al-Daraqutni, al-Hakim, al-Baihaqi, al-Khatib al-Baghdadi dalam Zikr al-Jahr Bil Basmalah , Ibnu Hajar dalam Taghliq al-Ta'liq dan lain-lain.

Kata Ibnu Khuzaimah dalam penulisan beliau berkenaan Basmalah (sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Nawawi dalam Khulasah al-Ahkam):

"Telah sahih (hadis) membaca Basmalah dengan nyaring daripada Nabi sallahu 'alaihi wasallam dengan sanad yang sabit lagi bersambung. Tidak ada keraguan akan kesahihannya di sisi ahli ilmu."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan