Jumaat, 7 September 2018

Hadis: Kalau khusyuk Hatinya Nescaya Khuyuk Anggota Badannya


عَن أبي هُرَيْرَة عَن النَّبِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ أَنه رَأَى رجلا يعبث بلحيته فِي الصَّلَاة فَقَالَ عَلَيْهِ السَّلَام لَو خشع قلب هَذَا خَشَعت جوارحه

Daripada Abu Hurairah, (diriwayatkan) daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, bahawa baginda melihat seorang lelaki bermain-main dengan janggutnya ketika dalam solat. Lalu baginda bersabda:

“Kalau khusyuk hati lelaki ini necaya akan khusyuk anggota badannya.”

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Hakim al-Termizi (m. 320 H) dalam Nawadir al-Usul daripada jalur perawi Sulaiman bin ‘Amru daripada Muhammad bin ‘Ajlan daripada Sa’id al-Maqburi daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu.

1 – Kata al-Hafiz al-Zaila’ie (m. 762 H) dalam Takhrij Ahadith al-Kasyyaf:

“Sulaiman bin ‘Amru bin seakan-akan dia adalah Abu Daud al-Nakha’ie kerana saya tidak temui dalam tabaqah ini selain daripadanya. Telah sepakat (ahli hadis) akan kedaifannya. Kata Ibnu ‘Adi: Telah sepakat ahli hadis bahawa dia memalsukan hadis.”

2 – Kata al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali (m. 795 H) dalam al-Zull Wa al-Inkisar (الذل والانكسار):

“Diriwayatkan ucapan tersebut daripada Huzaifah radiallahu ‘anhu dan Sa’id bin al-Musayyib. Diriwayatkan juga secara marfu’ tetapi dengan sanad yang tidak sahih.”

3 – Kata al-Hafiz al-‘Iraqi (m. 806 H) dalam al-Mughni:

“Diriwayatkan oleh al-Hakim al-Termizi dalam al-Nawadir daripada hadis Abu Hurairah dengan sanad yang daif dan yang ma’rufnya (yang sebetulnya) ia adalah ucapan Sa’id bin al-Musayyib yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf dan dalam sanadnya ada perawi yang tidak dinamakan.”

Kata beliau lagi dalam Tharh al-Tathrib (طرح التثريب):

“Ucapan ini ma’ruf daripada Ibnu al-Musayyib dan dalam sanadnya ada perawi yang tidak dinamakan. Diriwayatkan oleh al-Hakim al-Termizi dalam Nawadir al-Usul secara marfu’ daripada Abu Hurairah dan dalam sanadnya ada Sulaiman bin ‘Amru yang telah disepakati akan kedaifannya.”

4 – Kata al-Hafiz Ahmad al-Siddiq al-Ghumari (m. 1380 H) dalam al-Mughir:

“Ia adalah daripada riwayat Abu Daud Sulaiman bin ‘Amru al-Nakha’ie dan dia adalah pendusta. Sebetulnya ia adalah ucapan Sa’id bin al-Musayyib.”

Hadis Mauquf Huzaifah

Hadis mauquf Huzaifah diriwayatkan oleh al-Maruzi (m. 294 H) dalam Ta’zim Qadr al-Solah daripada Ishaq daripada al-Walid bin Muslim daripada Thaur bin Yazid, beliau berkata:

رَأَى حُذَيْفَةُ بْنُ الْيَمَانِ رَجُلًا يُصَلِّي يَعْبَثُ بِلِحْيَتِهِ فَقَالَ: لَوْ خَشَعَ قَلْبُ هَذَا سَكَنَتْ جَوَارِحُهُ

“Huzaifah bin al-Yaman melihat seorang lelaki yang sedang bersolat bermain-main dengan janggutnya. Lalu beliau berkata: Kalau khusyuk hati lelaki ini nercaya akan tenang anggota badannya.”

Sanad hadis ini daif disebabkan ‘an’an al-Walid bin Muslim yang merupakan seorang mudallis dan Thaur bin Yazid tidak mendengar secara langsung daripada Huzaifah.

Hadis Maqthu’ Sa’id bin al-Musayyib

Hadis maqthu’ Sa’id bin al-Musayyib diriwayatkan oleh Abdullah bin al-Mubarak (m. 181 H) dalam al-Zuhd, Ibnu Abi Syaibah (m. 265 H) dalam al-Musannaf dan al-Maruzi dalam Ta’zim Qadr al-Solah daripada Ma’mar daripada seorang lelaki daripada Sa’id bin al-Musayyib.

Perawi mubham tersebut dijelaskan sebagaimana dalam riwayat Abdul Razzaq (m. 211 H) dalam al-Musannaf.

Abdul Razzaq meriwayatkan daripada Ma’mar daripada Aban daripada Sa’id bin al-Musayyib.

Aban di sini adalah Aban bin Abi ‘Ayash, seorang perawi matruk (ditinggalkan hadisnya).

Abdul Razzaq dalam al-Musannaf  juga meriwayatkan daripada Sufyan al-Thauri daripada seorang lelaki daripada Sa’id bin al-Musayyib.

Berkemungkinan Sufyan al-Thauri juga meriwayatkan daripada Aban bi Abi ‘Ayash dan beliau mensamarkan namanya kerana Sufyan al-Thauri kadang-kala melakukan tadlis apabila meriwayatkan daripada perawi-perawi daif.

Hadis ini juga mempunyai jalur yang lain.

Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan (sebagaimana dalam Masail al-Imam Ahmad bin Hanbal melalui riwayat anak beliau Soleh) daripada Sa’id bin Khuthaim al-Hilali daripada Muhammad bin Khalid al-Dhabi daripada Sa’id bin Jubair:

نظر سعيد إِلَى رجل وَهُوَ قَائِم فِي الصَّلَاة قَالَ وَهُوَ يعبث بلحيته فَقَالَ سعيد لَو خشع قلب هَذَا لخشعت جوارحه

“Sa’id melihat kepada seorang lelaki yang sedang berdiri menunaikan solat. Dia sedang bermain-main dengan janggutnya. Lalu Sa’id berkata:

“Kalau khusyuk hati lelaki ini nercaya akan tenang anggota badannya.”

Sanadnya hasan, insya-Allah.

Kesimpulan

Hadis ini diriwayatkan daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam tetapi melalui perawi pendusta, jadi ia tidak benar dinisbahkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Ia diriwayatkan juga daripada ucapan Sa’id bin al-Musayyib melalui dua sanad, salah satunya hasan dan satu lagi sangat daif.  Hadis mauquf  Huzaifah bin al-Yaman juga daif sanadnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan