Selasa, 4 September 2018

Pura-Pura Tidur Supaya Dapat Belajar


Ibnu al-Tabban bercerita tentang dirinya:

"Ketika aku mula-mula ingin belajar, aku selalu belajar pada waktu malam. Ibuku melarangku daripada belajar pada waktu malam. Aku mengambil pelita lalu aku sorokkannya di bawah sebuah mangkuk besar dan aku pura-pura tidur. Apabila ibuku sudah tidur, aku keluarkan pelita lalu aku mula belajar."

Kata al-Qadhi 'Iyadh (m. 544 H) tentang beliau: "Beliau sangat banyak belajar. Diceritakan bahawa beliau belajar satu kitab sebanyak 1000 kali."

[Tartib al-Madarik karangan al-Qadhi 'Iyadh]

________________

Ibnu al-Tabban atau nama sebenar beliau Abdullah bin Ishaq merupakan seorang faqih mazhab Maliki yang berasal dari Kairouan, Tunisia.

Al-Qadhi 'Iyadh memuji beliau sebagai orang yang paling hafal tentang al-Quran serta menguasai tentang ilmu-ilmu berkaitan dengannya, mahir tentang perbahasan usul tauhid dan mempunyai lidah yang fasih. Beliau seorang yang mustajab doanya serta memahiri ilmu fiqh, nahu, matematik dan kaji bintang.

Al-Hafiz al-Zahabi (m. 748 H) dalam Siyar A'lam al-Nubala' memuji beliau sebagai orang alim di Kairouan dan syeikh mazhab Maliki.

Beliau meninggal dunia pada tahun 371 H.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan