Sabtu, 29 September 2018

Hadis Kelebihan Solat Dengan Berserban


Hadis Pertama

رَكْعَتَانِ بِعِمامَةٍ خَيْرٌ مِنْ سَبْعِينَ رَكْعَةً بِلا عِمامَة

“Dua rakaat dengan berserban lebih baik daripada 70 rakaat tanpa berserban.”

Riwayat Abu Nu’aim dalam al-Siwak dan al-Dailami dalam al-Firdaus daripada hadis Jabir.

Menurut al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah, hadis ini tidak sabit (palsu).

Hadis Kedua

الصلاة في العمامة تعدل عشرة آلاف حسنة

“Solat dengan berserban menyamai 10 ribu kebaikan.”

Lafaz yang lain:

الصلاة في العمامة بعشرة آلاف حسنة

Lafaz yang lain:

الصلاة في العمامة بعشر آلاف حسنة

Riwayat al-Dailami dalam al-Firdaus daripada jalur perawi Aban bin Abi ‘Ayyash daripada Anas bin Malik secara marfu’.

Kata al-Hafiz al-Sayuthi dalam al-Ziyadat ‘Ala al-Maudhu’at:

“Aban dituduh (berdusta dan memalsukan hadis).”

Hadis ini juga dinilai sebagai palsu oleh al-Hafiz Ibnu Hajar sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah.

Hadis Ketiga

إنّ صلاةً بعمامة تعدل خمسًا وعشرين صلاة بغير عمامة، وجمعة بعمامة تعدل سبعين جمعة بغير عمامة. إنّ الملائكة ليشهدون الجمعة معتَمّين، ولا يزالون يصلّون على أصحاب العمائم حتى تغرب الشمس

“Sesungguhnya solat dengan berserban menyamai 25 solat tanpa berserban. Solat Jumaat dengan berserban menyamai 70 solat Jumaat tanpa berserban. Sesungguhnya para malaikat menyaksikan solat Jumaat orang-orang yang berserban dan terus menerus mendoakan rahmat keatas orang yang berserban sehingga tenggelam matahari.”

Lafaz yang lain:

صلاة تطوع أو فريضة بعمامة تعدل خمسًا وعشرين صلاة بلا عمامة، وجمعة بعمامة تعدل سبعين جمعة بلا عمامة. أي بني اعتمَّ فإنّ الملائكة يشهدون يوم الجمعة معتَمّين فيسلِّمون على أهل العمائم حتى تغيب الشمس

“Solat sunat atau fardhu dengan berserban menyamai 25 solat tanpa berserban. Solat Jumaat dengan berserban menyamai 70 solat Jumaat tanpa berserban. Wahai anakku, berserbanlah kerana sesungguhnya para malaikat menyaksikan hari Jumaat orang yang berserban dan mengucapkan salam ke atas orang yang berserban sehingga terbenam matahari.”

Riwayat Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq, Ibnu al-Najjar dan al-Dailami daripada hadis Abdullah bin ‘Umar.

Kata al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Lisan al-Mizan:

“Hadis ini mungkar, bahkan maudhu’....aku tidak ketahui siapakah pemalsunya.”

Al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah turut mengatakan bahawa ia tidak sabit.

Hadis Keempat

جُمُعَة بعمامة أفضل من سبعين جُمُعَة بِلَا عِمَامَة

“Solat Jumaat dengan berserban lebih baik daripada 70 solat Jumaat tanpa berserban.”

Riwayat al-Dailami dalam al-Firdaus daripada hadis Ibnu ‘Umar.

Saya tidak temui sanadnya.

Al-Hafiz al-Sakhawi menyebutkannya dalam al-Maqasid al-Hasanah dalam kumpulan beberapa buah hadis tentang serban. Menurut beliau hadis-hadis dalam kumpulan tersebut sebahagiannya lebih lemah daripada sebahagian yang lain.

Hadis Kelima

إِنَّ لِلَّهِ تَعَالَى مَلائِكَة موكلين بِأَبْوَاب الْجَوَامِع يَوْم الْجُمُعَةِ يَسْتَغْفِرُونَ لأَصْحَابِ الْعَمَائِمِ الْبِيضِ

“Sesungguhnya Allah Ta’ala mempunyai malaikat yang diwakilkan di pintu-pintu masjid pada hari Jumaat yang memohon keampunan bagi orang yang memakai serban putih.”

Riwayat al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad daripada jalur perawi Yahya bin Syaib al-Yamani daripada Humaid al-Thawil daripada hadis Anas bin Malik.

Yahya bin Syaib al-Yamani ini dituduh oleh al-Khatib al-Baghdadi, al-Hakim, Abu Nu’aim dan Abu Sa’id al-Naqqasy meriwayatkan hadis-hadis palsu daripada Sufyan al-Thauri dan orang lainnya.

Menurut al-Hafiz al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal, hadis ini merupakan hasil pemalsuan Yahya bin Syaib al-Yamani.
Hadis Keenam

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى أَصْحَابِ الْعَمَائِمِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ

“Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat ke atas orang yang berserban pada hari Jumaat.”

Maksud Allah berselawat adalah Allah menurunkan rahmat. Maksud malaikat berselawat adalah malaikat mendoakan rahmat.

Riwayat al-‘Uqaili dalam al-Dhu’afa’ al-Kabir, al-Thabarani dalam Musnad al-Syamain, Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil, Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ dan al-Rafi’e dalam Akhbar Qazwin daripada perawi Ayyub bin Mudrik daripada Makhul daripada hadis Abu al-Darda’.

Ayyub bin Mudrik didaifkan para nuqqad hadis. Kata Yahya bin Ma’in: “Pendusta.” Pada kesempatan yang lain, kata beliau: “Tiada nilai (ليس بشئ).” Kata Abu Hatim: “Daif hadisnya, matruk.” Kata Abu Zur’ah al-Razi: “Daif hadisnya.” Kata al-Nasa’ie: “Ditinggalkan hadisnya.” Kata Ibnu Hibban dalam al-Majruhin: “Dia meriwayatkan hadis-hadis mungkar daripada perawi-perawi masyhur. Dia mendakwa belajar daripada beberapa orang syeikh sedangkan dia tidak pernah melihat mereka dan dia mendakwa mendengar hadis daripada mereka.  Dia meriwayatkan daripada Makhul naskhah hadis palsu dan dia tidak pernah melihat Makhul.” Kata al-Daraqutni: “Matruk.”

Kata Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil berkenaan hadis ini:

“Hadis ini mungkar.”

Kata Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at:

“Hadis ini tidak ada asal baginya. Yang bertanggungjawab memalsukannya ialah Ayyub. Kata Abu al-Fath al-Azdi: Ini adalah daripada pemalsuan Ayyub. Kata al-‘Uqaili: Tidak ada sokongan bagi hadis ini. Kata Yahya bin Ma’in: Dia adalah pendusta. Kata Abu Hatim dan al-Daraqutni: Dia matruk.”

Kata Ahmad al-Ghumari dalam al-Mudawi:

“Ia adalah maudhu’ dan batil sebagaimana kata Ibnu al-Jauzi dan al-Azdi. Yang dituduh memalsukannya ialah Ayyub kerana dia adalah pendusta...”

Saya tidak tahu mengapa al-Hafiz Ibnu Hajar dalam al-Talkhis al-Habir sekadar mengatakan sanadnya daif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan