Khamis, 7 Mac 2019

Hati-Hati Petik Hadis Daripada Tafsir Ruh al-Bayan

Menurut Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari (m. 1993 H) dalam kitab al-Fawaid al-Maqsudah (ms. 29, tahqiq: Syeikh Hasan al-Saqqaf), Syeikh Isma'il Haqqi pengarang kitab tafsir Ruh al-Bayan bukanlah daripada kalangan ahli hadis. Disebabkan itu beliau banyak menyebutkan hadis-hadis palsu dalam kitab tafsir beliau sebagaimana yang berlaku kepada al-Zamakhsyari (m. 538 H), al-Baidhawi (m. 685 H), Abu al-Su'ud (m. 982 H) dan ahli-ahli tafsir yang lain.
_____________

Syeikh Isma'il Haqqi bin Mustafa adalah seorang ahli tasawuf dan ahli tafsir. Beliau dilahirkan di Aytos, Bulgaria. Beliau menetap di Istanbul lalu berpindah ke Bursa, Turki dan meninggal dunia di sana. Beliau bermazhab Hanafi dan bertarekat Khalwati. Beliau mempunyai beberapa buah penulisan dalam bahasa Turki dan Arab antaranya ialah Tafsir Ruh al-Bayan, Syarah Tafsir al-Fatihah, Hashiyyah ke atas tafsir Surah al-Naba' karangan al-Baidhawi (dua jilid), al-Risalah al-Khaliliyyah dalam ilmu tasawuf dan lain-lain. Beliau meninggal dunia pada tahun 1127 H/1715 M.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan