Sabtu, 16 Mac 2019

Ubat Kuat Ingatan Waki' bin al-Jarrah

'Ali bin Khasyram berkata:

"Aku tidak pernah langsung melihat kitab di tangan Waki' kerana beliau telah menghafalnya. Maka aku bertanya kepadanya tentang ubat menguatkan ingatan. Beliau berkata: Kalau aku beritahu kepadamu adakah kamu akan melakukannya? Aku berkata: Ya, demi Allah. Beliau berkata: Tinggalkanlah maksiat. Aku tidak pernah jumpa ubat yang mujarab sepertinya untuk menguatkan ingatan."

[Siyar A'lam al-Nubala (9/151) oleh al-Hafiz al-Zahabi]
_______________

Waki' bin al-Jarrah adalah seorang Imam, al-Hafiz dan muhaddith di Iraq pada zamannya. 

Beliau dilahirkan pada 129 Hijrah. Menurut pendapat yang lain, 128 Hijrah. 

Beliau belajar dengan al-A'masy, al-Auza'ie, Sufyan al-Thauri, Ibnu Abi Laila dan lain-lain. 

Antara ulama yang belajar dengan beliau ialah Abdullah bin al-Mubarak, Abdul Rahman bin Mahdi, al-Humaidi, Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma'in dan lain-lain. 

Antara kehebatan beliau ialah guru beliau sendiri, Sufyan al-Thauri turut belajar dengan beliau dan beliaulah yang menggantikan tempat mengajar guru beliau ini. 

Yahya bin Aktham pernah berkata: "Aku bersahabat dengan Waki' semasa bermukim mahupun semasa bermusafir. Beliau berpuasa sepanjang tahun (kecuali pada hari yang diharamkan puasa) dan mengkhatamkan al-Quran pada setiap malam."

'Ali bin 'Attham berkata: "Waki' jatuh sakit. Kami lalu menziarahinya. Waki' berkata kepada kami: "Sufyan (al-Thauri) datang menemuiku (di dalam mimpi) dan beliau mengkhabarkan berita gembira bahawa aku akan tinggal berjiran dengannya. Aku ingin segera bertemu dengannya."

Beliau meninggal dunia pada tahun 197 Hijrah. Menurut pendapat yang lain, 196 Hijrah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan