Jumaat, 25 April 2025

Kegilaan Ulama Membaca al-Quran

 

1 - Daripada Ibrahim, beliau berkata: “Al-Aswad bin Yazid mengkhatamkan Al-Quran pada bulan Ramadan setiap dua malam. Beliau tidur antara Maghrib dan Isyak. Beliau mengkhatamkan al-Quran di luar bulan Ramadan setiap enam malam.”

2 - Daripada Ibnu Syawzab, beliau berkata: “Urwah (bin al-Zubair bin al-‘Awwam) membaca seperempat al-Quran setiap hari dengan melihat mushaf. Beliau melakukan qiyamullail dengan membacanya dan beliau tidak pernah meninggalkannya kecuali pada malam kakinya dipotong. Kakinya telah ditimpa penyakit yang mereputkan anggota badannya lalu ia dipotong. Apabila tiba musim buah-buahan masak, beliau membuka pagar kebunnya, kemudian membenarkan orang ramai memasukinya untuk makan dan membawa pulang buah-buahan.”

3 - Salam bin Abi Muti' berkata: “Qatadah mengkhatamkan al-Quran dalam tujuh hari dan apabila tiba Ramadan, beliau mengkhatamkannya setiap tiga hari. Apabila tiba sepuluh hari terakhir, beliau mengkhatamkannya setiap malam.”

4 - Ibnu al-Madini berkata: “Bisyr bin Mansur menggali kuburnya sendiri dan mengkhatamkan al-Quran di dalamnya. Wiridnya adalah sepertiga al-Quran.”

5 - Abu Bakr bin Ayyash hidup selama kira-kira 40 tahun dengan mengkhatamkan al-Quran sekali setiap sehari semalam.

Yahya al-Hamman beliau berkata: “Ketika Abu Bakr (bin Ayyash) hampir meninggal dunia, saudara perempuannya menangis. Lalu beliau berkata kepadanya: "Apa yang membuatmu menangis? Lihatlah ke sudut itu, saudaramu telah mengkhatamkan al-Quran di situ sebanyak 18 ribu kali."

6 - Daripada Husain al-Anqazi, beliau berkata: “Ketika Ibnu Idris (Abdullah bin Idris al-Audi) hampir meninggal dunia, anak perempuannya menangis. Lalu beliau berkata: Jangan menangis, wahai anakku, sesungguhnya aku telah mengkhatamkan al-Quran di rumah ini sebanyak 4000 kali."

7 - Khalifah al-Ma'mun telah membaca al-Quran sebanyak 33 kali khatam pada bulan Ramadan.

8 - Muhammad bin Zuhair bin Muhammad bin Qumair berkata: “Bapa saya mengumpulkan kami (anak-anaknya) pada waktu beliau mengkhatamkan al-Quran pada bulan Ramadan sebanyak tiga kali setiap sehari semalam. Beliau mengkhatamkan 90 kali dalam Ramadan.”

10 - Musabbih bin Said berkata: “Muhammad bin Isma'il (al-Bukhari) mengkhatamkan pada bulan Ramadan pada waktu siang setiap hari satu kali khatam. Beliau melakukan qiyam (solat malam) selepas Tarawih setiap tiga malam dengan satu khatam.”

11 - Abu al-Abbas bin Ata' al-Baghdadi mengkhatamkan al-Quran setiap hari sekali dan pada bulan Ramadan 90 kali. Beliau pernah kekal dengan satu khatam selama lebih dari sepuluh tahun demi untuk memahami dan merenungkannya.

12 – Dikatakan Abu Bakar Muhammad bin Ali al-Kattani telah mengkhatamkan al-Quran sebanyak 12 ribu kali semasa tawaf dan beliau adalah salah seorang wali yang meninggal dunia pada tahun 322 Hijrah.

13 - Abu Bakr bin al-Haddad berkata: “Aku telah memaksa diriku (untuk mengikuti) apa yang diriwayatkan oleh al-Rabi' daripada al-Syafi'i, bahawa beliau mengkhatamkan sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadan, selain daripada apa yang beliau baca dalam solat. Maka yang paling banyak yang aku mampu adalah 59 kali khatam dan pada bulan selain Ramadan aku mampu mencapai 30 kali khatam.”

14 - Abdul Muhsin al-Shihi berkata: “Aku adalah teman perjalanan Abu Bakr al-Khatib (al-Baghdadi) dari Damsyik ke Baghdad. Beliau mengkhatamkan al-Quran sekali dalam setiap sehari semalam.”

Sumber:

Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Hafiz al-Zahabi.

Sinopsis Surah al-Sharh atau al-Insyirah

Surah al-Sharh atau al-Insyirah adalah surah Makkiyyah (diturunkan sebelum Hijrah), yang membincangkan mengenai keperibadian Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan nikmat-nikmat agung yang Allah kurniakan kepadanya, yang selayaknya dipuji dan disyukuri. 

Surah ini menyentuh tentang pelbagai nikmat Allah kepada hamba dan Rasul-Nya, Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam, iaitu dengan melapangkan dadanya dengan iman, menerangi hatinya dengan hikmah dan pengetahuan, serta menyucikannya dari dosa dan beban. Semua ini bertujuan untuk menghiburkan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dari daripada gangguan hebat yang diterimanya daripada kaumnya di Mekah, Taif, dan tempat-tempat lain. 

Kemudian surah ini membicarakan tentang pengangkatan martabat kedudukan baginda di dunia dan akhirat, serta menggandingkan namanya dengan nama Allah Ta'ala.

Surah ini juga menyentuh tentang dakwah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam ketika di Makkah, di mana baginda dan orang-orang beriman menghadapi kesukaran dan ketakutan dari orang-orang kafir yang mendustakan dakwahnya. Maka Allah menghiburkannya dengan berita tentang kelapangan dan kemenangan yang hampir tiba ke atas musuh-musuhnya.

Surah ini diakhiri dengan peringatan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tentang kewajipan untuk menumpukan diri dalam beribadah kepada Allah setelah selesai menyampaikan risalah, sebagai tanda syukur kepada Allah atas nikmat-nikmat yang besar. Begitu juga diperintahkan kepada baginda selepas segala sesuatu untuk bertawakal hanya kepada Allah dan mengharapkan apa yang ada di sisi-Nya.


Khamis, 24 April 2025

Sinopsis Surah al-Tin

 

Surah al-Tin adalah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah) dan ia membincangkan dua tema utama iaitu:

Pertama: Penghormatan Allah Jalla wa 'Ala kepada umat manusia di mana Allah menciptakan manusia dalam sebaik-baik bentuk dan rupa, tegak tubuhnya, sempurna anggota badannya, baik susunan kejadiannya.

Kedua: Tema keimanan kepada perhitungan (hisab) dan pembalasan (jaza') terhadap amalan di dunia.

Surah ini dimulakan dengan sumpah Allah dengan buah tin dan zaitun yang merupakan kiasan kepada tempat suci dan lokasi yang dimuliakan, yang dikhususkan oleh Allah Ta'ala untuk penurunan wahyu di dalamnya kepada para Nabi dan Rasul-Nya, iaitu Baitul Maqdis yang merupakan tempat yang biasa ditumbuhi oleh pohon tin dan zaitun. Begitu juga disebutkan Gunung Tursina yang merupakan tempat Nabi Musa berbicara dan bermunajat kepada Allah dan Makkah Al-Mukarramah, tempat terletaknya Kaabah dan tempat Nabi Muhammad dilahirkan dan diutuskan.

Dengan tempat-tempat inilah Allah bersumpah bahawa Dia telah memuliakan manusia, lalu menciptakannya dalam bentuk yang paling indah, dan susuk tubuh yang paling sempurna. Jika dia tidak mensyukuri nikmat Tuhannya, maka dia akan dikembalikan ke martabat yang serendah-rendahnya di neraka Jahim.

Surah ini mencela orang kafir atas pengingkarannya terhadap kebangkitan semula (ba'ath) dan hari Kiamat (nusyur), setelah adanya bukti-bukti nyata yang menunjukkan kekuasaan Tuhan sekalian alam, dalam penciptaan-Nya terhadap manusia dalam bentuk yang paling baik dan rupa yang paling indah.

Surah ini diakhiri dengan penjelasan mengenai keadilan Allah dengan memberi pahala kepada orang-orang mukmin yang taat dan menyeksa orang-orang kafir yang inkar.

Rabu, 23 April 2025

Gambaran Puasa Salafus Soleh

1 - Daripada Hisham bin Urwah bin al-Zubair, bahawa bapanya meninggal dunia ketika dia berpuasa dan orang ramai berkata kepadanya: "Berbukalah," tetapi dia tetap tidak berbuka.

Daripada Hisham bin Urwah bin Al-Zubair juga, bahawa bapanya berpuasa sepanjang tahun kecuali pada hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha dan dia meninggal dunia dalam keadaan berpuasa.

2 - Syu'aib bin al-Habhab berkata: “Hunaidah, isteri Ibrahim al-Nakha'i, telah memberitahu saya bahawa Ibrahim berpuasa sehari dan berbuka sehari.”

3 - Daripada Ayyub, dia berkata: “Muhammad bin Sirin berpuasa sehari dan berbuka sehari.”

4 - Sufyan bin 'Uyainah berkata: “Mansur bin Al-Mu'tamir berpuasa selama enam puluh tahun. Dia bangun pada malamnya dan berpuasa pada siangnya. Semoga Allah merahmatinya.”

5 - Muhammad bin Abdul A'la berkata: Mu'tamir bin Sulaiman Al-Taimi berkata kepada saya: "Kalau bukan kerana kamu daripada keluarga saya, saya tidak akan memberitahu kamu tentang bapa saya ini. Bapa saya telah berpuasa selama 40 tahun, sehari berpuasa dan sehari berbuka dan dia solat Subuh dengan wuduk Isyak."

6 - Abu 'Asim Al-Nabil berkata: “Ibnu Juraij adalah seorang ahli ibadah yang berpuasa sepanjang tahun kecuali tiga hari dalam (setiap) bulan.”

7 - Bakkar bin Muhammad berkata: “Ibnu 'Aun berpuasa sehari dan berbuka sehari.”

Abdurrahman bin Mahdi berkata: “Tidak ada di Iraq orang yang lebih mengetahui tentang sunnah daripada Ibnu 'Aun.”

8 - Ibnu Abi 'Adi berkata: “Daud bin Abi Hind berpuasa selama 40 tahun tanpa diketahui oleh keluarganya. Dia adalah seorang penjual kain yang membawa makanan tengah harinya lalu menyedekahkannya di jalan.”

9 - Saudara Muhammad bin Abi Dhi'b berkata: “Saudaraku berpuasa sehari dan berbuka sehari, kemudian beliau berpuasa secara berterusan. Dia hidup dalam keadaan susah, makan malam dengan roti dan minyak zaitun. Dia mempunyai sehelai baju dan selendang yang dipakainya pada musim sejuk dan panas. Dia adalah termasuk orang yang tegas dan berani menyatakan kebenaran. Dia menghafal hadisnya tidak mempunyai kitab (catatan). Dia pergi awal ke solat Jumaat, lalu solat sehingga imam keluar (berkhutbah).”

10 - Yahya bin Ma'in berkata: “Pada suatu hari, Ghundar mengeluarkan kepada kami sebuah karung yang berisi kitab-kitab, lalu berkata: "Berusahalah untuk mencari kesalahan di dalamnya."

Yahya bin Ma’in berkata: "Kami tidak menemui apa-apa kesalahan di dalamnya. Dia telah berpuasa sehari dan berbuka sehari selama 50 tahun."

11 - 'Ubaid bin Muhammad Al-Warraq berkata: “Ma'ruf Al-Karkhi, ketika sedang berpuasa, melintasi di hadapan seorang pemberi air yang berkata: Semoga Allah merahmati orang yang minum. Lalu dia minum kerana mengharapkan rahmat Allah.”

12 - Abu 'Ubaidah menyebutkan, katanya: “Baqi bin Makhlad mengkhatamkan al-Quran setiap malam dalam 13 rakaat dan dia solat pada siang hari 100 rakaat. Dia berpuasa sepanjang tahun dan dia banyak berjihad dan seorang yang mulia. Disebutkan bahawa dia telah menyertai 72 peperangan.”

13 - Sekumpulan ulama dari Qazwin berkata: “Abu al-Hasan al-Qattan, semoga Allah merahmatinya, tidak pernah melihat orang seperti dirinya dari segi kehebatan dan kezuhudan. Dia berpuasa secara berterusan selama 30 tahun dan beliau biasa berbuka dengan roti dan garam. Kelebihan-kelebihannya terlalu banyak untuk dihitung.”

14 - Al-Hafiz al-Zahabi berkata: “Imam al-Suri dilahirkan pada tahun 376 atau 377. Beliau, semoga Allah merahmatinya, biasa berpuasa secara berterusan kecuali pada hari-hari raya.”

Sumber:

Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Hafiz al-Zahabi.

Sinopsis Surah al-'Alaq

Surah al-'Alaq yang juga dikenali sebagai ‘Surah Iqra'’ adalah surah Makkiyyah (diturunkan sebelum Hijrah) dan ia membincangkan isu-isu berikut:

Pertama: Penjelasan tentang hikmah Allah dalam menciptakan manusia dari keadaan lemah kepada kuat serta keutamaan membaca dan menulis.

Kedua: Topik keangkuhan manusia disebabkan hartanya dan keingkarannya terhadap perintah Allah.

Ketiga: Kisah si celaka Abu Jahal dan larangannya terhadap Rasulullah daripada melakukan solat.

Surah ini bermula dengan seruan untuk membaca dan belajar dan menunjukkan beberapa peringkat dalam penciptaan manusia serta menjelaskan kurniaan Allah kepada Rasul-Nya yang mulia dengan penurunan al-Quran dan mengingatkannya tentang nikmat pertama ketika baginda beribadat kepada Tuhannya di Gua Hira di mana wahyu diturunkan kepadanya dengan ayat-ayat Al-Quran yang bijaksana: "Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan.”

Kemudian surah ini membincangkan tentang keangkuhan manusia dalam kehidupan ini disebabkan kekuatan dan kekayaannya serta keingkarannya terhadap perintah Allah disebabkan nikmat kekayaan, sedangkan kewajipannya adalah bersyukur kepada Tuhannya atas kurniaan-Nya, bukannya mengingkari nikmat. Surah ini juga mengingatkannya untuk kembali kepada Tuhannya untuk mendapat balasan: "Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, apabila dia melihat dirinya serba cukup. Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmulah tempat kembali."

Kemudian surah ini menyentuh kisah Abu Jahal, Firaun umat ini, yang mengancam Rasulullah dan melarangnya daripada solat, demi membela berhala-berhala yang disembahnya: "Bagaimana pendapatmu tentang orang yang melarang, seorang hamba ketika dia mengerjakan solat."

Surah ini diakhiri dengan ancaman kepada si celaka yang kafir itu dengan azab yang paling pedih jika dia terus berada dalam kesesatan dan keangkuhannya. Surah ini juga memerintahkan Rasulullah yang mulia untuk tidak mendengar ancaman si jahat yang berdosa itu: "Ketahuilah, sungguh jika dia tidak berhenti (berbuat demikian) niscaya Kami tarik ubun-ubunnya" hingga akhir surah "Sekali-kali jangan, janganlah kamu patuh kepadanya; dan sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada Allah)".

Surah ini dimulakan dengan seruan untuk membaca dan belajar dan diakhiri dengan solat dan ibadah agar ilmu itu bergandingan dengan amal dan permulaan itu selaras dengan penutupnya.

Hukum Membunuh Anjing Liar

Soalan: Apakah pendapat tuan tentang sebuah kampung yang telah tersebar biak anjing-anjing, kemudian tiada jalan untuk mengelakkan najis anjing pada air, kerusi dan pakaian. Adakah dibenarkan membunuhnya atau meracunnya?

Jawapan Syeikh Ismail Uthman al-Zain:

Segala puji bagi Allah yang telah mengilhamkan sebahagian ulama untuk mencapai kebenaran dan mengkhususkan mereka dengan cahaya pandangan hati (basirah), sehingga fikiran mereka menjadi terang benderang.

Selepas daripada itu, 

Fatwa yang muktamad pada kami adalah bahawa semua anjing adalah dihormati (muhtaramah, yakni haram dibunuh tanpa sebab), kecuali anjing yang ganas dan berbahaya, maka membunuhnya adalah sunat kerana ia mendatangkan mudarat.

Atau (ada pendapat lain mengatakan) perintah untuk membunuhnya telah dimansuhkan, seperti yang dinyatakan oleh ulama-ulama yang dipercayai dan mantap ilmunya. Inilah yang difatwakan oleh al-Ramli dan ia merupakan pendapat yang kuat bagi saya.

Sesetengah ulama berkata bahawa ia (perintah membunuh) tidak dimansuhkan. Maka telitilah perselisihan dalam perkara ini dan pilihlah (mana satu pendapat untuk dipegang). Demikianlah pendapat gurunya, (Syeikhul Islam) Zakaria (al-Ansari) dan ia telah menjadi pendapat yang diterima olehnya.

Kecuali jika kita mendapat gangguan daripada anjing-anjing tersebut, maka menolak mudarat itu walaupun dengan membunuhnya pada ketika itu dibenarkan.

Inilah yang jelas dalam jawapan ini dan Tuhan kita Maha Mengetahui akan kebenaran.

Sumber:

Qurrah al-'Ain Bi Fatawa Isma'il al-Zain

Hukum Merokok di Masjid

Soalan: Apakah hukum merokok di masjid tanpa mengotorinya, seperti jika terdapat tempat abu rokok yang disediakan untuk tujuan tersebut?

Soalan tersebut dijawab oleh Syeikh Isma’il Uthman al-Zain seperti berikut:

Merokok pada asasnya adalah makruh menurut mazhab Syafie dan sebahagian ulama. Manakala menurut sebahagian ulama yang lain, ia adalah haram kerana ia termasuk dalam perkara-perkara yang berbau busuk, di samping ia mengotori mulut dan dada (paru-paru) serta membazirkan sebahagian harta.

Adapun jika ia dilakukan di masjid seperti yang disebutkan dalam soalan atau di tempat-tempat majlis ilmu yang lain, maka ia adalah haram kerana ia melanggar kehormatan tempat tersebut, kerana Allah Ta'ala berfirman: "Di rumah-rumah yang Allah izinkan untuk diangkat dan disebut nama-Nya di dalamnya", iaitu Allah mewajibkan dan memerintahkan agar masjid itu diagungkan dan dihormati dan merokok di dalamnya bertentangan dengan penghormatan dan pengagungan dan dikhuatiri pelakunya akan mendapat akibat yang buruk.

Ini jika tidak ada niat untuk melanggar kehormatan. Jika tidak, sekiranya perokok di masjid berniat untuk menentang dan melanggar kehormatan, maka tidak diragukan bahawa dia menjadi murtad. Kita berlindung kepada Allah.

Masjid-masjid adalah sebahagian daripada syiar Allah yang wajib diagungkan. Allah Ta'ala berfirman: "Demikianlah, dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya ia terbit dari ketakwaan hati". Maka orang yang merokok di masjid dianggap tidak mengagungkannya, sehingga hatinya kosong dari ketakwaan dan digantikan dengan kelancangan dan kurang adab. Kita memohon kepada Allah kesejahteraan dan keselamatan.

Dan Allah Subhanahu wa Ta'ala Maha Mengetahui.

Sumber:

Qurrah al-'Ain Bi Fatawa Isma'il al-Zain

Sinopsis Surah al-Qadr

 


Surah al-Qadr adalah surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah). Ia membicarakan tentang sejarah permulaan turunnya al-Quran dan tentang kelebihan Lailatul Qadar berbanding seluruh hari dan bulan yang lain.

Ini kerana pada malam itu para malaikat dan Jibril turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka Yang Maha Suci dengan setiap perkara yang telah ditetapkan oleh Allah untuk tahun tersebut, sama ada rezeki, kematian, kelahiran atau perkara-perkara lain yang ditentukan oleh Allah.

Penurunan mereka itu juga dengan membawa keselamatan, keamanan, keberkatan, dan kebaikan kepada hamba-hamba Allah yang beriman lagi soleh, dari Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang yang melimpahkannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki, sebagai memuliakan penurunan al-Quran pada malam itu.

Surah ini juga menceritakan bahawa turunnya para malaikat yang mulia itu menyebabkan malam itu dipenuhi dengan kebaikan dan keamanan sehinggalah terbit fajar. Ini menggambarkan alangkah besarnya malam yang penuh kemuliaan itu di sisi Allah, yang mana ia lebih baik daripada seribu bulan.

Selasa, 22 April 2025

Sinopsis Surah al-Bayyinah

 

Surah al-Bayyinah, yang juga dinamakan “Surah Lam Yakun”, ialah surah Madaniyyah (diturunkan selepas Hijrah) yang membahaskan perkaraperkara berikut: 

1 – Sikap Ahli Kitab terhadap risalah Nabi Muhammad Sallahu ‘alaihi wasallam. 

2 – Keikhlasan dalam beribadah kepada Allah ʿAzza wa Jalla. 

3 – Nasib golongan yang bahagia dan yang celaka di akhirat. 

Surah mulia ini dimulakan dengan pembicaraan tentang (Yahudi dan Nasrani) serta pendirian mereka terhadap dakwah Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasallam walaupun setelah kebenaran terserlah dan cahayanya bersinar serta mereka telah mengetahui sifatsifat nabi yang diutus pada akhir zaman dan menantikan kemunculannya. Namun, ketika baginda diutus, mereka mendustakan risalahnya, kufur dan membangkang. 

Surah ini kemudian membicarakan satu unsur penting iman, iaitu keikhlasan ibadah kepada Allah. Dia memerintahkan seluruh penganut agama supaya mengkhususkanNya dengan zikir serta menjadi-Nya sebagai tujuan dan tumpuan dalam semua kata, perbuatan dan amalan. 

Surah ini juga turut menyentuh tentang kesudahan para penjahat yang merupakan seburukburuk makhluk dari kalangan Ahli Kitab dan musyrikin yang kafir, iaitu kekekalan mereka ketika berada dalam api Jahim. Begitu juga disebut tentang kesudahan orangorang beriman yang merupakan pemilik darjat tinggi dan sebaikbaik makhluk yang kekal di syurga-syurga kenikmatan bersama para nabi, siddiqin, syuhada dan salihin, sebagai balasan atas ketaatan dan keikhlasan mereka kepada Tuhan semesta alam.

Sinopsis Surah al-Zalzalah

 

Surah al-Zalzalah ialah surah Madaniyyah (diturunkan selepas Hijrah), tetapi dari segi gaya bahasanya ia menyerupai surah-surah Makkiyyah (diturunkan selepas Hijrah) kerana memuatkan gambaran dahsyat dan kesukaran Hari Kiamat.

Surah ini menceritakan tentang gempa yang sangat dahsyat menjelang tibanya saat tersebut, ketika setiap bangunan tinggi runtuh, setiap gunung kukuh hancur lebur dan berlaku perkara-perkara pelik lagi mengagumkan yang membuat manusia tercengang seperti bumi mengeluarkan semua mayat yang terkandung di dalamnya, menumpahkan segala khazanah berharga berupa emas dan perak yang terpendam di perutnya, serta menjadi saksi atas setiap insan terhadap apa yang dilakukannya di atas permukaannya sambil berkata: “Pada hari sekian, engkau melakukan begini dan begitu.” Semua itu merupakan keajaiban hari yang mengerikan itu.

Surah ini juga menceritakan tentang peralihan seluruh makhluk dari padang mahsyar menuju sama ada syurga atau neraka, serta pembahagian mereka kepada golongan yang celaka dan yang bahagia.

Sinopsis Surah Al-‘Adiyat

 

Surah Al-‘Adiyat ialah surah Makkiyyah (diturunkan sebelum Hijrah) yang membicarakan tentang kuda para mujahid di jalan Allah ketika mereka menyerbu musuh. Terdengar daripadanya saat berlari pantas, bunyi yang kuat dan kuku kakinya memercikkan batu hingga terbit api, lalu ia menerbangkan debu dan habuk.

Surah ini bermula dengan sumpah Allah dengan kuda para pejuang (untuk menampakkan kemuliaan dan keutamaan mereka di sisi Allah) bahawa manusia benarbenar kufur terhadap nikmat Allah Taala, ingkar terhadap pelbagai kurnia dan limpahan rahmatNya. Manusia itu menzahirkan kekufuran dan keingkaran itu melalui tingkah laku dan ucapannya.

Surah ini juga membicarakan tabiat manusia yang sangat mencintai harta dan diakhiri dengan penjelasan bahawa seluruh makhluk akan kembali kepada Allah untuk dihisab dan dibalas. Harta serta kedudukan tidak akan berguna di akhirat dan yang bermanfaat hanyalah amal soleh.

Isnin, 21 April 2025

Sinopsis Surah al-Qari’ah

 

Surah al-Qariah adalah surah Makkiyyah (diturunkan sebelum Hijrah). Surah ini membincangkan tentang kegetirannya Hari Kiamat serta kesusahannya dan apa yang akan berlaku pada hari itu berupa peristiwa ngeri seperti bertebarannya manusia pada hari yang menakutkan itu seperti kupu-kupu yang berterbangan, tersebar di sana sini, berkecamuk tanpa aturan kerana kebingungan dan ketakutan yang amat dahsyat.

Surah ini juga membincangkan tentang kehancuran dan berterbangan gunung-ganang sehingga menjadi seperti bulu yang terbang di udara, yang mana sebelum itu ia berdiri keras dan kukuh di atas bumi. Surah ini mengaitkan antara manusia dan gunung-ganang sebagai peringatan tentang kesan Hari Kiamat terhadap gunung-ganang sehingga menjadi seperti bulu yang ditiup, maka bagaimanakah keadaan manusia pada hari yang sukar itu?

Surah yang mulia ini diakhiri dengan menyebutkan tentang timbangan yang akan menimbang amalan manusia serta pembahagian makhluk kepada golongan yang bahagia dan golongan yang celaka berdasarkan berat dan ringan timbangan kebajikannya. Sesiapa yang berat timbangan kebaikannya akan masuk ke syurga dan sesiapa yang ringan timbangan kebaikannya akan masuk ke neraka.

Surah ini dinamakan al-Qariah (hari yang mengetuk) kerana ia menggetuk hati dan pendengaran dengan kedahsyatannya.

Ahad, 20 April 2025

Syeikh Salahuddin al-Idlibi

Nama beliau ialah Salahuddin bin Ahmad bin Muhammad Sa’id al-Idlibi.

Beliau dilahirkan di bandar Aleppo, Syiria pada tahun 1367H/1948M.

Pendidikan:

Beliau belajar di Sekolah Menengah Syariah di Aleppo, kemudian di Fakulti Syariah di Universiti Damsyik, kemudian di Dar al-Hadith al-Hasaniah di Rabat dan memperoleh Diploma Pengajian Tinggi (Master) dalam Ilmu-ilmu Islam dan Hadis pada tahun 1395H/1975M dan Doktor  Falsafah dalam Ilmu-Ilmu Islam dan Hadis pada tahun 1401H/1980M.

Guru

Guru beliau yang diceritakan sendiri oleh beliau ialah Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah. Namun begitu, beliau tidak pernah belajar secara langsung mana-mana kitab ilmu daripadanya, tetapi semasa kecil beliau sering menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Khusrawiyyah tempat Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah berkhutbah, iaitu salah satu masjid yang berdekatan dengan rumah beliau di Aleppo. Kadang-kadang beliau duduk selepas solat Jumaat dalam majlis tafaqquh yang diadakan oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah di masjid yang sama, di mana Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah menjawab soalan-soalan bertulis yang diterima daripada para jemaah.

Beliau juga mengunjungi Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah di rumahnya di Riyadh semasa beliau tinggal di sana selama sepuluh tahun dan majlis-majlis Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah adalah majlis-majlis ilmu, kelebihan dan adab.

Mengajar

Beliau mengajar subjek hadis dan ilmu-ilmunya selain beberapa subjek syariah lain di beberapa universiti dan kolej Islam, antaranya

1 - Dua tahun di Fakulti Bahasa Arab, Universiti al-Qarawiyyin di Marrakesh, Maghribi.

2 - Sepuluh tahun di Universiti Imam Muhammad bin Saud al-Islamiyyah di Riyadh, Arab Saudi.

3 - Empat tahun di Kolej Pengajian Islam dan Arab di Dubai.

4 - Tiga tahun di Fakulti Syariah di Ra’s al-Khaimah.

5 - Satu semester di Universiti Terbuka Makkah al-Mukarramah di Jeddah.

Menyelia Tesis

Beliau menyelia beberapa tesis sarjana dan turut serta dalam perbincangan beberapa tesis lain di Jabatan Sunnah di Fakulti Usuluddin di Universiti Imam Muhammad bin Saud al-Islamiyyah di Riyadh dan di Universiti Terbuka Makkah al-Mukarramah di Jeddah.

Penulisan

a - Bidang Hadis:

1 - Manhaj Naqd al-Matn 'inda 'Ulama' al-Hadith al-Nabawi. Diterbitkan oleh Dar al-Fath di Amman, Jordan pada tahun 1434H/2013M. (Muat Turun)

2 - Kasyf al-Ma'lul mimma Summiya bi Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. Diterbitkan oleh Dar al-Fath di Amman, Jordan pada tahun 1431H/2010M. (Muat Turun)

3 - Mutanazzah al-Anzar Fi Syarah Muntakhab al-Afkar. Diterbitkan oleh Dar Ibn Hazm di Beirut, Lubnan pada tahun 1434H/2013M. (Muat Turun)

4 - Manhaj al-Imamain al-Bukhari wa Muslim fi I'lal al-Marwiyyat al-Hadithiyyah. Diterbitkan oleh Dar al-Fath di Amman, Jordan pada 1434H/2013M. (Muat Turun)

5 - Hadith 'Kana Allah wa lam yakun shay' ghayruhu' Riwayah wa Dirayah wa 'Aqidah. Diterbitkan oleh Dar al-Basha'ir di Damsyik, 1423H/2002M. Kemudian Dar al-Fath di Amman, 1434H/2013M. (Muat Turun)

6 - Ahadith Fada'il al-Syams: Dirasah Naqdiyyah. Diterbitkan oleh Dar al-Fath di Amman, 1434H/2013M.

7 - Mu'jam al-Jarh wa al-Ta'dil min Kalam al-Hafiz al-Tabarani fi al-Mu'jam al-Saghir. Diterbitkan oleh Maktabah al-Istiqamah di Makkah al-Mukarramah, 1992. (Muat Turun)

8 - Al-Fihris al-Mutaqassi li Ahadith wa Athar al-Mu'jam al-Saghir li al-Tabarani. Diterbitkan oleh Maktabat al-Istiqamah di Makkah al-Mukarramah, 1992. (Muat Turun)

9 - Al-Muntakhab min Kalam al-Hafiz Ibn Khuzaimah fi al-Jarh wa al-Ta'dil. Diterbitkan oleh Dar al-Basha'ir al-Islamiyyah di Beirut, 1992. (Muat Turun)

10 - Al-Muntakhab min Kalam al-Hafiz al-Bazzar fi al-Jarh wa al-Ta'dil. Diterbitkan oleh Dar al-Huda di Riyadh, 1994. (Muat Turun)

b - Bidang Akidah

1 -  ‘Aqa'id al-Asya'irah fi Hiwar Hadi' ma'a Shubuhat al-Munawi'in. Diterbitkan oleh Dar al-Salam di Kaherah, 1429H/2008M. (Muat Turun)

2 – ‘Aqa'id al-Asya'irah fi al-Jawlah al-Thaniyah min al-Hiwar. Dicetak dengan tajuk: "Aqa'id al-Asha'irah wa Jawlah Jadidah min al-Hiwar. Diterbitkan oleh Dar al-Fath di Amman, 1433H/2012M. (Muat Turun)

3 - Al-Bid'ah al-Mahmudah baina Shubuhat al-Munawi'in wa Adillat al-Mujizin. Diterbitkan oleh Dar al-Fath di Amman, 1430H/2009M. (Muat Turun)

4 - Takfir man la Yastahiqq al-Takfir. Diterbitkan oleh Dar al-Nur al-Mubin, Jordan. (Muat Turun)

5 - Mukhtasar Takfir man la Yastahiqq al-Takfir. Diterbitkan oleh Dar al-Hadith al-Kattaniyyah di Beirut, 1436H/2015M. (Muat Turun)

6 - Nawaqid al-Iman fi Mizan al-Kitab wa al-Sunnah. Dicetak edisi permulaan di Turki, 1435H/2014M. Kemudian diterbitkan oleh Dar al-Nur al-Mubin di Amman, 1436H/2014M. (Muat Turun)

7 - Bida' al-I'tiqad fi al-Tajsim wa al-Irja, bersama: Hadith Su'al al-Jariyah bi Lafz 'Aina Allah?: Riwayah wa Dirayah. Diterbitkan oleh Dar al-Nur al-Mubin di Amman, 1436H/2014M. (Muat Turun)

c - Topik-Topik Lain:

1 - Libas al-Mar'ah al-Muslimah wa Zinatuha. Diterbitkan oleh Dar al-Fath di Amman, 1431H/2010M. (Muat Turun)

2 - Tahqiq kitab Bughyah al-Ra'id lima fi Hadith Umm Zar' min al-Fawa'id oleh al-Qadi 'Iyad, diterbitkan oleh Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam di Rabat, 1975 dan ditulis bahawa ia adalah dengan kerjasama beberapa pengkaji lain. (Muat Turun)

3 - Istiqbal al-Qiblah wa Tahdid Samtiha fi al-Manatiq al-Ba'idah 'anha. Dicetak edisi permulaan di Montreal, Kanada, 2000. (Muat Turun)

Beberapa Bentuk Pemikiran Beliau

1 - Keperluan untuk berpegang teguh dengan al-Quran dan Sunnah Nabi yang sahih dari Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

2 - Mencintai Salaf Soleh, para imam yang terkemuka dan ahli takwa dan kebaikan.

3 - Keperluan untuk menggalakkan penyelidikan ilmiah dengan metodologi al-Quran dalam penyelidikan.

4 - Menolak fanatisme dalam semua bentuk dan rupanya.

5 - Menolak taklid buta.

6 - Meneruskan pembinaan di atas apa yang telah dibina oleh ulama terdahulu tanpa merobohkannya atau meremehkannya.

7 - Berbaik sangka terhadap orang Islam dan membawa perkataan dan perbuatan mereka kepada tafsiran yang terbaik selagi mungkin.

8 - Menyeru kepada saling menasihati untuk merealisasikan makna-makna al-Quran dan yang paling penting dalam realiti kita hari ini adalah "berkasih sayang sesama mereka (orang Islam)" dan "bersikap lemah lembut terhadap orang-orang beriman dan bersikap keras terhadap orang-orang kafir".

9 - Menghidupkan semangat kritikan ilmiah yang adil tanpa menyebut nama-nama ulama kontemporari untuk mengelakkan terjebak dalam perangkap hawa nafsu.

10 - Menyeru kepada "Mari kita semua bekerja dalam perkara yang kita sepakati dan berdialog antara satu sama lain dalam perkara yang kita berselisih", bukannya "saling memaafkan antara satu sama lain dalam perkara yang kita berselisih."

Metodologi Beliau dalam Ilmu Hadis

1 - Metodologi beliau dalam ilmu hadis adalah apa yang dikatakan oleh para imam kita, semoga Allah memberikan mereka pahala yang banyak, terutama ulama terdahulu (mutaqaddimin) seperti Ahmad ibn Hanbal, Ali bin al-Madini, al-Bukhari, Muslim, Abu Hatim al-Razi, Abu Zur'ah al-Razi, al-Nasa'i, al-Daraqutni dan lain-lain.

2 - Perlu membaca ucapan-ucapan mereka untuk menemukan metodologi mereka, jika kita mendapati bahawa apa yang dinukilkan daripada mereka tidak cukup tepat.

3 - Perlu beramal dengan metodologi dan mengutamakannya setelah mengetahuinya, daripada hukum-hukum juz’i yang dikatakan oleh sebahagian imam tersebut.

4 - Ulama terkemudian (mutaakhirin) mempunyai kelebihan yang besar dan kita boleh mendapat manfaat daripada kajian dan penyelidikan mereka.

5 - Rujukan asas dalam semua ini dan selainnya adalah berpegang dengan petunjuk metodologi yang ditunjukkan dalam kalam Tuhan kita Yang Maha Agung dan kalam Rasul yang terpilih sallahu ‘alaihi wasallam dan apa yang bercabang daripada dua sumber ini, jauh daripada hawa nafsu dan tekanan penumpuan masa untuk perkataan sebahagian ulama yang mungkin melakukan beberapa kesilapan, yang mana setiap individu daripada kita terdedah untuk terkena kesilapan tersebut. 

Youtube Syeikh Salahuddin al-Idlibi

Blog Syeikh Salahuddin al-Idlibi

Facebook Syeikh Salahuddin al-Idlibi

Manhaj Kitab Sahih Ibnu Khuzaimah

Sahih Ibnu Khuzaimah merupakan karya Imam Abu Bakar Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah bin al-Mughirah al-Naisaburi al-Syafi'i (meninggal dunia tahun 311H).

Sahih al-Bukhari dan Muslim Tidak Meliputi Semua Hadis Sahih

Kedua-dua kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim tidak merangkumi semua hadis sahih yang diketahui oleh mereka, bahkan mereka telah meninggalkan banyak daripadanya di luar kitab mereka atas beberapa sebab, antaranya: Keinginan untuk hanya mencatat hadis yang telah disepakati kesahihannya.

Imam al-Bukhari berkata: “Aku tidak mengeluarkan dalam kitab ini melainkan yang sahih sahaja. Apa yang aku tinggalkan daripada hadis sahih adalah banyak.”

Imam Muslim pula berkata: “Bukan semua yang sahih di sisiku aku letakkan di sini (yakni dalam kitab sahihnya). Aku hanya meletakkan apa yang telah mereka (ahli hadis) sepakati.”

Ibnu Khuzaimah Dan Ulama Lain Cuba Mengumpul Hadis Sahih

Maka, masih terdapat sejumlah besar hadis sahih yang tidak dimuatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim. Hal ini telah mendorong sekumpulan ulama hadis untuk mengumpulkan dan menyusunnya dan antara tokoh terawal dalam kalangan pakar-pakar hadis ialah Imam Ibnu Khuzaimah dalam kitab Sahihnya.  

Caranya kemudian diikuti oleh muridnya Ibnu Hibban dalam kitabnya al-Taqasim wa al-Anwa’. Kemudian datang pula murid Ibnu Hibban iaitu al-Hakim al-Naisaburi yang mengarang kitabnya, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain. Syarat yang mereka gunakan adalah meriwayatkan hadis sahih semata-mata.

Syeikh Ahmad Syakir berkata mengenai tiga buah kitab ini: “Sahih Ibnu Khuzaymah, al-Musnad al-Sahih ‘ala al-Taqasim wa al-Anwa’ karya Ibn Hibban dan al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain karya al-Hakim, tiga buah kitab ini adalah kitab yang paling penting yang dikarang mengenai hadis sahih semata-mata selepas Sahih al-Bukhari dan Muslim.”

Adapun Sahih Ibn Khuzaimah, maka ia merupakan antara kitab yang paling dipercayai dalam meriwayatkan hadis sahih selepas al-Bukhari dan Muslim. Kitab ini dinamakan (seperti yang diriwayatkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar) sebagai: Al-Musnad al-Sahih bi al-Naql al-‘Adl ‘an al-‘Adl min Ghairi Qat‘in fi al-Sanad wa la Jarhin fi al-Naqalah (Musnad yang sahih dengan periwayatan perawi yang adil daripada perawi yang adil tanpa sebarang terputus dalam sanad dan tanpa sebarang kritikan pada perawi).

Ketelitian Ibnu Khuzaimah

Muridnya, Ibn Hibban, berkata tentang beliau: “Aku tidak pernah melihat di muka bumi ini seseorang yang mahir dalam ilmu hadis dan menghafal lafaz-lafaz hadis yang sahih serta tambahannya (selain yang sahih), seolah-olah hadis-hadis itu berada di hadapan matanya, melainkan Muhammad bin Ishaq (Ibnu Khuzaimah).”

Beliau adalah seorang yang sangat teliti dan penuh berhati-hati. Al-Suyuti berkata tentangnya: “Sehingga beliau berhenti daripada mensahihkan sesuatu hadis hanya kerana sedikit keraguan pada sanadnya, lalu beliau berkata: Jika hadis ini sahih’ atau ‘Jika hadis ini sabit.”

Kedudukan Sahih Ibnu Khuzaimah Dalam Kalangan Kitab-kitab Sunnah

Ibn al-Salah berkata: "Kemudian, sesungguhnya tambahan hadis sahih selain yang terdapat dalam dua kitab sahih (al-Bukhari dan Muslim) boleh diambil oleh pencarinya dari apa yang terkandung dalam salah satu karya yang muktamad. Sudah memadai jika ia terdapat dalam kitab-kitab pengarang yang mensyaratkan kesahihan pada hadis yang mereka kumpulkan, seperti kitab Ibnu Khuzaimah...”

Al-Suyuti berkata: "Sahih Ibnu Khuzaimah lebih tinggi kedudukannya daripada Sahih Ibnu Hibban kerana ketelitiannya yang tinggi, di mana beliau berhenti dalam mensahihkan hadis walaupun kerana sedikit kritikan pada sanad, lalu beliau berkata contohnya: “Bab makruhnya sekian perkara jika benar khabar itu, atau jika sabit demiakian itu..."

Al-Zahabi berkata: "Imam ini adalah seorang yang padkar dan mahir tentang perawi-perawi...” Kemudian al-Zahabi menyebutkan bahawa Ibnu Khuzaimah berkata: “Saya tidak berhujah dengan Syahr bin Hawsyab, tidak juga dengan Hariz bin Uthman, tidak juga dengan Abdullah bin Amr, tidak juga dengan Baqiyyah, tidak juga dengan Muqatil bin Hayyan...”, kemudian beliau menyebutkan sekumpulan perawi yang terdapat perselisihan antara para imam dalam berhujah dengan riwayat mereka. Ini menunjukkan ketelitian Ibnu Khuzaimah yang tinggi, dan kehati-hatiannya dalam meriwayatkan dalam kitab sahihnya.

Adakah Kitab Ini Ditemui Secara Lengkap?

Malangnya, kitab ini tidak ditemui secara lengkap sehingga kini dan Sahih Ibnu Khuzaimah yang ada di tangan kita hanya mewakili kira-kira satu perempat daripada kitab tersebut, yang terhad kepada bab-bab ibadat sahaja.

Kehilangan baki kitab ini telah berlaku sejak dahulu dan orang pertama yang menyebut tentang kehilangannya ialah al-Dimyati (m. 705H) dalam pengenalan kitabnya, al-Matjar al-Rabih, di mana beliau tidak mendapati daripadanya kecuali suku pertama.

Ibnu al-Mulaqqin (m. 804H) berkata: “Saya melihat sebahagian daripada Sahih Ibnu Khuzaimah sehingga kitab jual beli.”

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: “Saya tidak menemui daripadanya kecuali suku ibadat secara lengkap, dan beberapa tempat yang terpisah-pisah daripada selainnya.”

Al-Sakhawi berkata: “Sesungguhnya kebanyakan Sahih Ibn Khuzaimah telah hilang.”

Ibnu Fahd al-Makki berkata: “Sahih Ibn Khuzaimah tidak ditemui kecuali kira-kira seperempatnya.”

Syarat Ibnu Khuzaimah Dalam Kitabnya

Ibnu Khuzaimah mensyaratkan dalam kitab ini bahawa beliau tidak akan mengeluarkan melainkan hadis yang sahih sahaja. Beliau telah menyatakan perkara ini dalam tajuk kitabnya, di mana beliau berkata: “Mukhtasar al-Mukhtasar min al-Musnad al-Sahih ‘an al-Nabi bi Naql al-‘Adl ‘an al-‘Adl Mausul ilaih min ghairi qat‘in fi asna’ al-isnad, wa la jarhin fi naqli al-akhbar allati nazkuruha bi masyi’atillah ta‘ala.” (Ringkasan bagi ringkasan al-Musnad al-Sahih, daripada Nabi, melalui periwayatan perawi yang adil, daripada perawi yang adil, yang bersambung kepada Baginda, tanpa sebarang terputus dalam sanad dan tanpa sebarang kritikan pada perawi-perawi hadis, yang kami sebutkan dengan izin Allah Ta‘ala).

Sahih Ibnu Khuzaimah Adalah Kitab Ringkasan

Melalui penamaan yang disebutkan sebelum ini, jelas bahawa Ibnu Khuzaimah meringkaskan kitab ini daripada ringkasan yang lebih besar daripadanya, yang merupakan ringkasan kepada kitab lain miliknya yang berjudul al-Musnad al-Kabir.

Manhajnya Dalam Menyusun Hadis Sahih 

Beliau menyusunnya mengikut kitab dan bab, dimulakan dengan Kitab al-Wudu’, kemudian Kitab al-Solah dan seterusnya. Di bawah setiap kitab, beliau menyusun beberapa bab dan berkata: “Bab sekian...”, dan kadang-kadang beliau berkata: “Bab-bab sekian...”

Beliau menyebut hadis-hadis secara musnad (bersanad) hingga sampai kepada Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasallam. Jika sesuatu hadis mempunyai lebih daripada satu sanad, beliau akan menyatakannya. 

Beliau sering memberikan komentar terhadap hadis, sama ada pada sanad atau matannya, dan sangat teliti dalam menyemak lafaz-lafaz hadis serta perbezaan lafaz yang diriwayatkan perawi. Kebiasaannya, beliau memulakan komentarnya dengan berkata: “Qala Abu Bakr...” (Abu Bakr berkata).

Beliau juga kerap menyebut pendapat yang rajih (yang lebih kuat) menurut pandangannya dalam tajuk-tajuk bab, mengikut gaya fuqaha dalam kalangan ahli hadis seperti al-Bukhari, Abu Daud dan selain mereka.

Kritikan Terhadap Sahih Ibnu Khuzaimah

Walaupun Ibnu Khuzaimah memiliki ketelitian yang tinggi dan kitabnya mempunyai nilai yang berharga dari sudut kesahihannya, namun ia tidak terlepas daripada kritikan. Al-Hafiz Ibnu Kathir berkata: “Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban beriltizam untuk (meriwayatkan) hadis sahih dan mereka berdua jauh lebih baik daripada al-Mustadrak (karya al-Hakim), dengan sanad-sanad dan matan yang lebih bersih. Namun begitu, tetap perlu dibuat penelitian untuk membezakan (antara hadis yang benar-benar sahih dan sebaliknya), kerana dalam kitab Ibnu Khuzaimah juga terdapat hadis yang dihukum sahih olehnya, sedangkan ia tidak mencapai darjat hasan.”

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: “Berapa banyak hadis dalam kitab Ibn Khuzaimah yang dihukum sahih sedangkan ia tidak mencapai tahap hasan.”

Beliau juga berkata: “Hukum hadis-hadis yang terdapat dalam kitab Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban adalah sesuai untuk dijadikan hujah; kerana ia berkisar antara sahih dan hasan, selagi tidak jelas pada sebahagiannya kecacatan yang menjejaskan kesahihannya.”

Rabu, 16 April 2025

Manhaj Kitab al-Mustadrak al-Hakim



Kitab jenis Mustadrak adalah kitab yang pengarangnya ingin mengumpulkan hadis-hadis yang mengikut syarat kitab tertentu, namun  hadis itu tidak dimasukkan dalam kitab itu sedangkan hadis itu mengikut syaratnya. Misalnya kitab al-Mustadrak ‘Ala al-Sahihain yang ingin menghimpunkan hadis-hadis yang mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim namun tidak diriwayatkan oleh mereka.

Al-Mustadrak merupakan karya Imam Abu Abdullah, Muhammad bin Abdullah bin Muhammad bin Hamdawayh, Ibnu Nu'aim bin al-Bayyi' yang terkenal dengan nama al-Hakim al-Naisaburi (meninggal dunia tahun 405 H). 

Sebab Penulisannya:

Al-Hakim telah menyatakan sebab penulisan kitab ini dalam pendahuluannya, di mana beliau berkata: 

“Telah muncul pada zaman kita ini sekumpulan ahli bidaah yang mencela para perawi hadis, dengan mengatakan bahawa semua hadis yang sahih pada kamu tidak mencapai sepuluh ribu hadis dan sanad-sanad yang terkumpul yang merangkumi seribu juzuk atau kurang atau lebih, semuanya lemah bukan sahih.

Sekumpulan tokoh ilmuwan di bandar ini dan lainnya telah meminta saya untuk mengumpulkan sebuah kitab yang mengandungi hadis-hadis yang diriwayatkan dengan sanad-sanad yang Muhammad bin Ismail dan Muslim bin al-Hajjaj berhujah dengan yang seumpamanya... Dan saya memohon pertolongan Allah untuk mengeluarkan hadis-hadis yang perawinya dipercayai, yang kedua-dua Sheikh (al-Bukhari dan Muslim) atau salah seorang daripada mereka telah berhujah dengan yang seumpamanya. Ini adalah syarat kesahihan menurut semua fuqaha Islam bahawa tambahan dalam sanad dan matan dari perawi-perawi yang thiqah (ziyadah al-thiqah) adalah diterima.”

Dari ucapan al-Hakim di atas, jelas bahawa sebab penulisan kitab ini adalah kerana dua perkara:

1 - Dakwaan sebahagian ahli bidaah bahawa hadis-hadis sahih adalah sedikit dan tidak mencapai sepuluh ribu, iaitu bilangan yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

2 - Permintaan ulama negerinya dan lain-lain kepadanya untuk mengumpulkan bagi mereka sebuah kitab tentang hadis-hadis sahih, selain yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim. 

Penyusunannya

Kitab al-Mustadrak disusun mengikut susunan kitab hadis jenis Jami'. Al-Hakim menyusunnya mengikut susunan fiqh pada kebiasaannya dan beliau mengikuti jejak al-Bukhari dalam hal tersebut. 

Beliau memulakannya dengan Kitab al-Iman kemudian al-Taharah dan mengakhirinya dengan Kitab al-Fitan dan al-Malahim, kemudian Kitab al-Ahwal

Beliau telah cuba untuk menambah hadis pada setiap kitab (tajuk besar) yang terdapat pada Sahih al-Bukhari dan Muslim. Tetapi terdapat juga tajuk-tajuk besar yang terdapat pada Sahih al-Bukhari dan Muslim namun tidak ada pada al-Mustadrak dan terdapat tajuk-tajuk besar yang terdapat pada al-Mustadrak namun tidak ada pada Sahih al-Bukhari dan Muslim, seperti Kitab Ma'rifat al-Sahabah yang beliau gabungkan di dalamnya bersama Kitab al-Fada'il yang telah dibawakan oleh al-Bukhari dan Muslim dalam Sahih mereka. 

Jenis Hadis Dalam al-Mustadrak

1 - Hadis-hadis yang beliau anggap sahih mengikut syarat al-Syaikhain (al-Bukhari dan Muslim) atau salah seorang daripadanya. Jumlahnya mencapai 2767 buah hadis. 

2 - Hadis-hadis yang beliau anggap sahih tetapi tidak mengikut syarat salah seorang pun daripada keduanya dan mereka tidak mengeluarkannya. Jumlahnya mencapai 2735 buah hadis. 

3 - Hadis-hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim dan menyebutkan beberapa kecacatannya, kemudian menyusulinya dengan syawahid (hadis sokongan) yang menjadikan hadis itu sahih secara keseluruhannya. 

4 - Hadis-hadis yang beliau riwayatkan kerana keunikannya dan beliau menyatakan bahawa salah seorang perawinya memenuhi syarat kitab. 

5 - Hadis-hadis yang beliau riwayatkan dan beliau menyatakan bahawa ia tidak mengikut syarat kitab, tetapi beliau mengeluarkannya kerana ada keperluan. 

Maksud Sahih Mengikut Syarat al-Syaikhain

Para ulama berbeza pendapat mengenai maksud al-Hakim dengan ungkapan: "Mengikut syarat al-Syaikhain, atau salah seorang daripada mereka".

Sebahagian mereka berpendapat bahawa ungkapan tersebut bermaksud rangkaian perawi dalam sanad dari sahabat hingga ke peringkat guru-guru al-Bukhari dan Muslim adalah mereka yang hadisnya diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim atau salah satunya.

Pendapat ini dipegang oleh Hafiz al-Zahabi yang telah meringkaskan al-Mustadrak dan sebahagian besar menerima penilaian al-Hakim terhadap hadis-hadis, tetapi kadangkala berbeza pendapat dengannya. Beliau mendedahkan percanggahan dalam penilaian al-Hakim terhadap para perawi antara al-Mustadrak dan Tarikh Naisabur yang juga karangan al-Hakim. Beliau berpendapat bahawa al-Mustadrak mengandungi banyak hadis yang memenuhi syarat al-Bukhari dan Muslim atau syarat salah seorang daripada mereka. Hadis-hadis sahih ini mencapai sepertiga daripada kitab tersebut, atau kurang.

Al-Hakim Longggar Mensahihkan Hadis

Al-Hakim bersikap longgar (tasahul) dalam menghukum kesahihan hadis. Banyak hadis yang disahihkan mengikut syarat mereka berdua atau salah seorang daripada mereka secara zahir mempunyai kecacatan tersembunyi yang memberi kesan kepada kesahihan hadis pada hakikatnya.

Terdapat hadis-hadis lain yang sanadnya boleh diterima (solih) atau hasan atau baik (jayyid). Jenis ini mencapai kira-kira seperempat daripada kitab tersebut.

Baki hadis dalam kitab tersebut adalah hadis-hadis munkar dan palsu (‘aja’ib) dan di antaranya terdapat kira-kira seratus hadis yang batil.

Oleh itu para ulama dan pakar hadis mengkritiknya dalam banyak hadis yang beliau sahihkan dan membuat pembetulan terhadapnya, antaranya ialah al-Hafiz al-Zahabi, yang telah meringkaskan kitab al-Mustadrak dan membuat koreksi terhadap perkara yang memerlukan koreksi.

Disebabkan kelonggaran beliau dalam mensahihkan hadis ini juga, al-Zahabi berkata: "Alangkah baiknya beliau tidak menyusun Al-Mustadrak, kerana ia telah mengurangkan kelebihannya dengan tindakan yang kurang tepat".

Beberapa imam pakar hadis yang lain telah mengkritik hadis-hadis dalam kitab ini, antaranya: Ibnu Abdil Hadi, Ibnu al-Mulaqqin, al-Iraqi, Sibt Ibn al-Ajami, Ibnu Hajar, dan al-Suyuti. 

Pandangan Para Ulama tentang Al-Mustadrak:

1 - Ibnu al-Salah berkata: "Al-Hakim (bersifat) luas (tidak ketat) dalam syarat (hadis) sahih, (dan) bersikap longgar dalam menghukuminya."

2 - Al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan dari Abu Ishaq al-Armawi, beliau berkata: "Orang ramai mengingkari (pendapat) Al-Hakim Abu Abdillah mengenai hadis-hadis yang dikumpulkannya dan beliau mendakwa ia sahih mengikut syarat al-Syaikhain, antaranya: Hadis al-Tair (Burung) dan: Sesiapa yang aku walinya maka Ali adalah walinya. Maka ahli hadis mengingkari perkara itu terhadapnya dan mereka tidak menerima perkataannya."

3 - Abu Sa'd al-Malini berkata: "Aku telah menelaah Al-Mustadrak 'ala Al-Syaikhain yang dikarang oleh Al-Hakim dari awal hingga akhir. Maka aku tidak melihat padanya walau satu hadis pun yang mengikut syarat keduanya."

Al-Zahabi mengulas ucapan Abu Sa'ad al-Malini dalam kitab al-Siyar dengan berkata: "Ini adalah pengingkaran fakta dan melampaui batas. Tidak layak bagi Abu Sa'ad untuk menghukumi begini. Bahkan di dalam al-Mustadrak terdapat banyak hadis yang mengikut syarat keduanya dan banyak hadis yang mengikut syarat salah seorang daripadanya. 

Mungkin jumlah keseluruhannya adalah satu pertiga kitab, bahkan kurang kerana dalam banyak daripadanya terdapat hadis-hadis yang pada zahirnya mengikut syarat salah seorang daripadanya atau kedua-duanya, dan pada batinnya mempunyai 'illah (kecacatan tersembunyi) yang memberi kesan. 

Sebahagian daripada kitab itu sanadnya salih, hasan dan jayyid. Itu kira-kira seperempatnya. 

Baki kitab itu adalah hadis-hadis munkar dan pelik. Di dalamnya terdapat hadis-hadis kira-kira seratus buah yang hati ini menyaksikan kebatilannya.  Aku pernah mengasingkan sebahagian daripadanya dalam satu juzuk. Hadis al-Tair berbanding dengannya (adalah umpama) langit (iaitu jauh lebih baik). Bagaimanapun ia adalah kitab yang bermanfaat yang telah aku ringkaskan dan ia memerlukan usaha dan penelitian semula."

Mengapa al-Hakim Longggar Mensahihkan Hadis

Al-Hafiz Ibnu Hajar memberi keuzuran bagi al-Hakim dengan berkata: "Kelonggaran al-Hakim berlaku kerana dia menulis draf kitab ini untuk disemak semula, tetapi kematian mendahuluinya. Saya telah mendapati hampir separuh daripada juzuk kedua - dari enam juzuk pembahagian al-Mustadrak -: Di sini berakhirnya imla' (dikte) al-Hakim."

Beliau berkata: "Selain itu daripada kitab tersebut tidak diriwayatkan daripada al-Hakim kecuali melalui ijazah. Kelonggaran dalam bahagian yang didiktekan sangat sedikit berbanding dengan bahagian selepasnya."

Menurut al-Sakhawi pula tasahul tersebut berlaku kerana al-Hakim menyusun kitabnya itu di penghujung usianya. Beliau berkata: "Bahkan dikatakan: Sesungguhnya sebab al-Hakim memasukkan hadis-hadis palsu dan lemah dalam al-Mustadraknya adalah kerana beliau menyusunnya pada akhir hayatnya dan telah berlaku padanya kelalaian dan perubahan ingatan. Atau kerana beliau tidak dapat menyemaknya dan memperhalusinya. Bukti yang menunjukkan kepada hal itu adalah bahawa kelonggaran beliau dalam kira-kira seperlima pertama daripadanya sangat sedikit berbanding dengan bakinya."

Bukti lain yang menyokong pendapat yang disebutkan oleh al-Sakhawi ini adalah bahawa kritikan al-Zahabi terhadap jilid pertama dari al-Mustadrak adalah lebih sedikit daripada jilid-jilid yang lain.

Sementara itu, Ibnu al-Salah berpendapat bahawa hadis yang dihukumkan sahih oleh al-Hakim dan tidak didapati sesiapa selainnya yang mengkritik atau mensahihkannya, maka ia termasuk dalam kategori hadis hasan yang boleh dijadikan hujah dan diamalkan kecuali jika terdapat kecacatan yang menyebabkan kelemahannya.

Isu “Disahihkan oleh al-Hakim dan Dipersetujui oleh al-Zahabi”

Perlu diambil perhatian bahawa al-Hafiz al-Zahabi telah meringkaskan al-Mustadrak dan mengkritik al-Hakim dalam banyak tempat seperti yang telah disebutkan sebelum ini, tetapi beliau membiarkan beberapa tempat yang lain.

Ringkasan al-Zahabi ini telah diterbitkan pada nota kaki al-Mustadrak.

Apabila al-Hakim berkata contohnya: "Hadis sahih mengikut syarat al-Syaikhain dan mereka tidak meriwayatkannya", al-Zahabi akan meringkaskannya dengan berkata: "Mengikut syarat mereka berdua.”

Maka ini bukanlah persetujuan dari al-Zahabi dan bukan juga percanggahan, tetapi ia adalah sikap berdiam diri. Maka tidak betul untuk dinisbahkan kepadanya perkataan persetujuan, lalu dikatakan tentang hadis tersebut: "Disahihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi." Yang betul adalah: "Disahihkan oleh al-Hakim dan al-Zahabi berdiam diri tentangnya." Al-Zahabi tidak menyatakan bahawa diamnya menunjukkan persetujuan. Maka ambil perhatikan tentang hal ini.

Cetakan al-Mustadrak

Al-Mustadrak ini pertama kali dicetak di Dairah al-Ma'arif al-Uthmaniyyah di Hyderabad (Deccan) India pada tahun 1334 H/1915 M.

Setelah itu kitab ini telah dicetak beberapa kali dan yang terbaru telah dicetak dalam 9 jilid oleh Dar al-Risalah al-‘Alamiyyah pada tahun 2018 dengan tahqiq oleh ‘Adil Mursyid. (Muat Turun)

Perhatian Para Ulama Terhadap al-Mustadrak:

Para ulama hadis telah memberi perhatian kepada al-Mustadrak dan memberikannya usaha yang selayaknya. Berikut adalah sebahagian usaha tersebut:

1 – Al-Hafiz Abu Abdullah, Muhammad bin Ahmad bin Uthman al-Zahabi (meninggal dunia tahun 748 H) telah meringkaskannya dalam kitabnya, Talkhis al-Mustadrak, dengan mengekalkan matan dan membuang sanad, serta memberikan ulasan dan banyak mengkritik penilaian al-Hakim terhadap hadis.

Beliau telah menyebut tentang karyanya ini semasa menulis biografi al-Hakim dalam Siyar A’lam al-Nubala’, dengan berkata: "Walau bagaimanapun, ia adalah kitab yang bermanfaat yang telah saya ringkaskan dan memerlukan penelitian dan penyemakan semula."

Ringkasan ini telah dicetak pada nota kaki al-Mustadrak.

2 – Al-Hafiz Sirajuddin Umar bin Ali, yang dikenali sebagai Ibnu al-Mulaqqin (meninggal dunia tahun 804 H) telah menulis biografi para perawinya dalam kitabnya, Ikmal Tahzib al-Kamal. Kitab ini masih dalam bentuk manuskrip.

3 - Ringkasan kritikan al-Zahabi terhadap al-Hakim oleh Imam Ibnu al-Mulaqqin. Ringkasan ini telah dicetak dalam tujuh jilid.

4 - Al-Nukat al-Litaf 'ala Ahadith al-Di'af oleh Ibnu al-Mulaqqin. Beliau hanya memfokuskan pada hadis-hadis yang dinilai lemah oleh al-Zahabi dan beliau telah mengkritiknya dalam beberapa tempat. Kitab ini masih dalam bentuk manuskrip dan belum dicetak.

5 - Al-Mustakhraj 'ala al-Mustadrak iaitu imlak oleh Hafiz Zain al-Din al-Iraqi (meninggal dunia tahun 806 H). Ia adalah takhrij bagi sebahagian hadis al-Mustadrak, mengikut kaedah imlak. Kitab ini telah dicetak.

6 - Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (meninggal dunia tahun 852 H) telah menyusun hadis-hadisnya mengikut atraf (permulaan hadis) dalam kitabnya, Ithaf al-Maharah bil-Fawa'id al-Mubtakarah min Atraf al-'Asharah.

7 - Faharis al-Mustadrak yang diusahakan oleh Muhammad al-Sa'id Basuni Zaghlul. Ia mengandungi empat indeks: Indeks hadis-hadis mengikut turutan abjad, indeks nama-nama sahabat dan tabi’in, indeks perawi yang dikritik oleh Imam al-Zahabi dalam al-Talkhis dari segi jarh dan ta'dil dan indeks istilah-istilah yang unik.