Jumaat, 19 September 2025

Terjemahan al-Risalah al-Jami'ah


[Mukadimah Pengarang]

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, pujian yang setimpal dengan nikmat-nikmat-Nya dan memadai dengan tambahan kurnia-Nya.

Selawat dan salam ke atas junjungan kita, Muhammad, serta ke atas keluarga dan para sahabatnya.

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Menuntut ilmu itu adalah satu kewajipan ke atas setiap Muslim dan Muslimah.”[1]

Baginda sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke syurga.”[2]

Seterusnya, maka ini adalah beberapa permasalahan ringkas yang kebanyakannya diambil daripada sebahagian kitab-kitab Hujjatul Islam al-Ghazali. Sesiapa yang mengetahuinya dan mengamalkannya, kami berharap kepada Allah agar dia tergolong dalam kalangan ahli ilmu, secara zahir dan batin. Dengan bantuan Allahlah diharapkan taufik.

[Rukun-Rukun Islam]

Rukun-rukun Islam ada lima: Penyaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan, dan menunaikan haji ke Baitullah bagi sesiapa yang berkemampuan, beserta ikhlas dan tasdiq (membenarkannya)[3].

Maka sesiapa yang tidak ikhlas, maka dia adalah seorang munafik. Sesiapa yang tidak membenarkan dengan hatinya, maka dia adalah seorang kafir.

[Asas-Asas Akidah]

Asas iman ialah: engkau beriktikad bahawa Allah Taala itu Wujud, dan bahawasanya Allah Taala Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, tiada yang serupa dengan-Nya dan tiada yang menyerupai-Nya. Tiada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya, dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.

Dia menciptakan langit dan bumi, dan menciptakan kematian dan kehidupan, dan ketaatan dan kemaksiatan, dan kesihatan dan kesakitan, dan seluruh alam semesta dan apa yang ada di dalamnya.

Dia menciptakan makhluk serta amalan-amalan mereka, dan menentukan rezeki dan ajal mereka, tidak bertambah dan tidak berkurang.

Tidak berlaku sesuatu kejadian melainkan dengan Qada’, Qadar, dan Iradah-Nya (kehendak-Nya).

Allah Taala Maha Hidup, Maha Mengetahui, Maha Berkehendak, Maha Berkuasa, Maha Berkata-kata, Maha Mendengar, Maha Melihat.

Dia mengetahui pandangan mata yang khianat[4] dan apa yang disembunyikan oleh hati. Dia mengetahui segala yang tersembunyi dan yang lebih tersembunyi. Pencipta tiap-tiap sesuatu, dan Dialah Yang Maha Esa, lagi Maha Perkasa.

Allah Taala mengutuskan junjungan kita, Muhammad, hamba dan rasul-Nya kepada seluruh makhluk, untuk memberi hidayah kepada mereka, dan untuk menyempurnakan kehidupan dunia dan akhirat mereka, serta menguatkannya dengan mukjizat-mukjizat yang nyata.

Baginda sallahu ‘alaihi wasallam benar dalam semua perkara yang dikhabarkannya daripada Allah Taala; seperti (kewujudan) titian Sirat, timbangan Mizan, telaga Haudh, dan lain-lain perkara berkaitan akhirat dan alam barzakh, serta soalan dua malaikat, dan azab serta nikmat kubur.

Al-Quran, dan semua kitab Allah yang diturunkan adalah benar. Para malaikat adalah benar. Syurga adalah benar. Neraka adalah benar. Semua yang dibawa oleh junjungan kita, Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam adalah benar.

[Fardhu-Fardhu Wuduk]

Fardhu-fardhu wuduk ada enam:

Pertama: Niat.

Kedua: Membasuh muka. Batasannya: dari tempat tumbuh rambut di kepala hingga ke penghujung kedua-dua tulang rahang dan dagu, pada bahagian panjangnya, dan pada bahagian lebarnya: dari telinga ke telinga.

Ketiga: Membasuh kedua-dua tangan hingga ke siku.

Keempat: Menyapu sebahagian daripada kulit kepala atau rambut yang berada dalam had (batas) kepala.

Kelima: Membasuh kedua-dua kaki berserta buku lali.

Keenam: Tertib mengikut urutan ini.

[Mandi Junub]

Jika seseorang itu berjunub disebabkan persetubuhan, atau keluar mani sama ada ketika tidur atau selainnya, maka wajib ke atasnya mandi seluruh badannya berserta niat mengangkat hadas junub.

[Pembatal-Pembatal Wuduk]

Wuduk terbatal dengan sebab sesuatu yang keluar dari salah satu dua jalan, qubul atau dubur, dalam apa jua bentuknya.

Wuduk terbatal dengan sebab hilang akal disebabkan tidur atau selainnya, kecuali tidur orang yang tetap punggungnya di lantai.

Wuduk terbatal dengan sebab menyentuh qubul atau dubur manusia, sama ada miliknya atau milik orang lain, dengan telapak tangan dan perut jari-jemari, sama ada (yang disentuh itu) dewasa atau kanak-kanak, walaupun anaknya sendiri dan walaupun mayat.

Wuduk terbatal dengan sebab bersentuhan kulit seorang lelaki dan seorang perempuan yang dewasa lagi ajnabi (bukan mahram) tanpa sebarang lapik, melainkan (sentuhan pada) kuku, rambut, atau gigi, maka ia tidak membatalkan wuduk.

[Syarat-Syarat Sah Solat]

Disyaratkan untuk sahnya solat: mengetahui masuknya waktu dengan yakin, ijtihad, atau sangkaan yang kuat. Maka jika dia solat dalam keadaan syak, maka solatnya tidak sah.

Disyaratkan: mengetahui arah kiblat.

Wajib menutup aurat dengan penutup yang suci lagi harus.[5]

Wajib menghilangkan najis daripada pakaian, badan, dan tempat.

Wajib ke atas orang yang mampu untuk menunaikan solat fardhu dalam keadaan berdiri.

[Fardhu-Fardhu Solat]

Niat, dan Takbiratul Ihram berserta niat.

Membaca al-Fatihah dengan Basmalah, serta (menjaga) empat belas tasydidnya, dan membezakan sebutan huruf Dhad daripada Zha', dan di dalam al-Fatihah tiada huruf Zha'.

Kemudian rukuk, dan wajib untuk dia membongkok sekira-kira kedua-dua telapak tangannya mencapai kedua-dua lututnya, dan tuma'ninah[6] di dalamnya adalah wajib sehingga tenang anggota-anggotanya.

Kemudian i'tidal, dan tuma'ninah di dalamnya adalah wajib.

Kemudian sujud dua kali, dan duduk di antara dua sujud, dan tuma'ninah adalah wajib pada kesemuanya.

Dia melakukan baki rakaat-rakaat yang lain sedemikian juga.

Tasyahud awal serta duduknya adalah sunat, manakala tasyahud akhir serta duduk di dalamnya adalah fardhu.

Selawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam selepas tasyahhud dan sebelum salam adalah fardhu.

Salam (untuk keluar) dari solat adalah fardhu, dan sekurang-kurang salam ialah: Assalamualaikum.

Sekurang-kurang tasyahud yang wajib ialah:

اُلتَّحِيَّاتُ للهِ، سَلَاَمٌ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَِّيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ، سَلَاَمٌ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ اُلصَّالِحِينَ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

“Segala penghormatan bagi Allah, sejahtera ke atasmu wahai Nabi serta rahmat Allah dan keberkatan-Nya, sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu hamba-Nya dan pesuruh-Nya.”

Sekurang-kurang selawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam ialah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ

“Ya Allah, limpahkanlah rahmat ke atas Muhammad.”

Seeloknya melakukan kesemua sunat-sunatnya, dan ia sangatlah banyak.

Seeloknya (hendaklah) disertai dengan ikhlas, iaitu: beramal kerana Allah semata-mata.

Seeloknya (disertai) hudhur (hadir hati)و iaitu: mengetahui apa yang diucapkan dan dilakukannya, dan khusyuk, iaitu: tenangnya anggota badan, hadirnya hati, serta menghayati bacaan dan memahaminya; kerana sesungguhnya Allah hanya menerima daripada solat itu sekadar mana (tahap) hadirnya hati.

Haram riyak dalam solat dan selainnya[7], iaitu: beramal kerana manusia.

[Pembatal-Pembatal Solat]

Solat terbatal dengan sebab berkata-kata dengan sengaja walaupun dengan dua huruf, dan (jika) kerana lupa, (terbatal) sekiranya banyak.

Membatalkan solat (dengan) perbuatan yang banyak, seperti tiga langkah, makan, dan minum, dan terbukanya aurat jika tidak ditutup serta-merta, dan jatuhnya najis jika tidak dibuang serta-merta tanpa menanggungnya/mengangkatnya.[8]

Membatalkan solat (dengan perbuatan) mendahului imam dengan dua rukun fi'li, dan begitu juga ketinggalan daripadanya dengan dua rukun tersebut tanpa uzur.

Tidak sah solat di belakang seorang kafir, seorang perempuan, dan seorang khunsa.

[Solat Jumaat dan Berjemaah]

(Solat) Jumaat adalah fardhu ain ke atas setiap Muslim yang lelaki, merdeka, bermukim, tanpa sebarang uzur syar'i, seperti sakit dan hujan.

Antara syarat-syarat (sah solat) Jumaat ialah: dua khutbah.

Rukun-rukun keduanya ialah: memuji Allah Taala, berselawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, berpesan agar bertakwa, membaca satu ayat al-Quran yang memberi faham pada salah satu daripada dua khutbah itu, dan berdoa untuk orang-orang mukmin pada khutbah yang kedua.

Wajib berkhutbah dalam keadaan berdiri, suci (daripada hadas), dan menutup aurat.

Wajib duduk di antara kedua-dua khutbah itu (dengan kadar tempoh) melebihi tuma'ninah solat.

Dan (wajib) muwalat (berturut-turut)[9].

Solat berjemaah, dan solat jenazah adalah fardhu kifayah.

[Solat-Solat Sunat]

(Solat) dua hari raya, dan (solat) dua gerhana, dan (solat) Witir adalah sunat-sunat muakkad. Begitu juga solat-solat sunat Rawatib.

(Solat) Dhuha dan Tarawih adalah sunat-sunat yang mempunyai kelebihan dan pahala yang besar.

[Puasa]

Adapun puasa, dan ia adalah rukun Islam yang ketiga, ia adalah menahan diri (imsak) yang sudah maklum dan dengan cara yang khusus[10].

Antaranya ialah: niat bagi setiap hari, dan menetapkannya pada waktu malam. Serta menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa: iaitu makanan dan minuman, persetubuhan, mengeluarkan mani (istimna’) dengan sentuhan lansung[11], dan sengaja muntah.

Antara kesempurnaan puasa ialah: menahan anggota badan daripada apa yang dibenci oleh Allah Taala, iaitu tujuh anggota badan yang akan disebutkan nanti. Dalam hadis (disebutkan): “Lima perkara yang membatalkan (pahala) puasa: berdusta, mengumpat, mengadu domba, sumpah palsu, dan memandang dengan syahwat.”[12]

Antara kesempurnaan puasa ialah: berusaha untuk berbuka dengan (makanan) yang halal, dan tidak makan secara berlebihan.

Seeloknya memperbanyakkan puasa, terutamanya pada hari-hari yang mulia di sisi syarak. Dan Allah lebih mengetahui, dan dengan bantuan Allahlah diharapkan taufik.

[Zakat]

Adapun zakat, dan ia adalah rukun Islam yang keempat: maka wajib ke atas seorang Muslim: mengetahui jenis-jenis harta yang diwajibkan zakat ke atasnya; iaitu: binatang ternakan, dua jenis mata wang (emas dan perak), perniagaan, harta karun (rikaz)[13], galian, dan al-mu’asyyarat iaitu: biji-bijian dan buah-buahan.

Maka tiada zakat pada (binatang ternakan) melainkan yang digembalakan.

Disyaratkan: haul (cukup setahun) baginya, dan begitu juga disyaratkan (haul) bagi mata wang dan perniagaan.

Disyaratkan nisab juga pada jenis-jenis (harta) ini.

Kadar wajib bagi dua mata wang dan perniagaan ialah: suku daripada sepersepuluh (2.5%).

Kadar wajib bagi biji-bijian dan buah-buahan yang disirami dengan mengeluarkan kos ialah: separuh sepersepuluh (5%), dan (yang disirami) tanpa kos ialah: sepersepuluh (10%).

[Zakat Fitrah]

Zakat fitrah adalah wajib ke atas setiap Muslim apabila (hartanya) melebihi keperluan makanan asasinya dan (makanan asasi) orang di bawah tanggungannya pada hari raya dan malamnya.

(Kadarnya ialah) empat mud mengikut sukatan mud Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

Wajib niat pada kesemuanya.[14]

[Golongan Penerima Zakat]

Tidak harus menyerahkan zakat dan fitrah melainkan kepada seorang Muslim yang merdeka yang mempunyai sifat salah satu daripada lapan golongan: seperti fakir, dan miskin, dan bukan daripada Bani Hasyim dan bukan daripada Bani Muttalib dan bukan mawla (bekas hamba) bagi kedua-duanya.

Wajib meratakan (pemberian) kepada (semua asnaf) yang wujud daripada kalangan mereka.

[Haji]

Adapun haji: maka ia adalah rukun Islam yang kelima, dan ia adalah fardhu ke atas setiap Muslim yang mukalaf lagi merdeka, dan begitu juga umrah, sekali seumur hidup.

Dengan syarat berkemampuan; iaitu: memiliki apa yang diperlukannya dalam perjalanannya ke haji, pergi dan balik, dan nafkah bagi orang yang wajib dinafkahinya sehinggalah dia kembali.

Amalan-amalan haji ada tiga jenis: rukun-rukun, wajib-wajib, dan sunat-sunat.

[Rukun-Rukun Haji]

Rukun-rukunnya ada lima: ihram, iaitu: niat masuk ke dalam (ibadah) haji atau umrah, dan disunatkan untuk mengucapkan bersamanya:

نَوَيْتُ الْحَجَّ أَوِ الْعُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِهِ للهِ تَعَالَىُ

“Sahaja aku menunaikan haji atau umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala.”

Tidak sah ihram haji melainkan pada bulan-bulannya; iaitu: Syawal, Zulkaedah, dan sepuluh (hari pertama) Zulhijjah, dan penghujungnya ialah: terbit fajar pada malam hari raya korban.

Baki rukun-rukun yang lain ialah: wuquf di Arafah, tawaf ifadah, sa'i, dan bercukur atau bergunting.

[Rukun-Rukun Umrah]

Rukun-rukun umrah ialah rukun-rukun haji kecuali wuquf, ia tidak termasuk daripadanya.

Diwajibkan untuk (sah) tawaf: menutup aurat, suci daripada dua hadas dan daripada najis, dan hendaklah ia sebanyak tujuh pusingan di dalam masjid, dan Baitullah berada di sebelah kirinya dalam keadaan dia berada di luarnya (Baitullah)[15].

Wajib bahawa sa'i itu sebanyak tujuh kali, dilakukan selepas tawaf, dan dimulakan di Safa dan diakhiri di Marwah.

[Wajib-Wajib Haji]

Wajib-wajib haji ialah berihram dari Miqat, bermalam di Muzdalifah pada malam hari raya korban, bermalam di Mina pada malam-malam Tasyrik, melontar, dan tawaf Wada'.

[Sunat-Sunat Haji]

Adapun sunat-sunatnya: maka ia adalah setiap perkara selain daripada rukun-rukun dan wajib-wajib.

Maka sesiapa yang meninggalkan satu rukun, maka tidak sahlah hajinya, dan dia tidak boleh bertahallul daripada ihramnya sehinggalah dia melakukannya, dan ia tidak boleh diganti dengan dam atau selainnya.

Tiga daripada rukun-rukun itu tidak luput (waktunya) selagi dia masih hidup; iaitu: Tawaf, sa'i, dan bercukur.

Sesiapa yang meninggalkan sesuatu daripada perkara-perkara wajib, maka sahlah hajinya dan wajib ke atasnya membayar dam, dan dia berdosa jika tiada uzur.

Sesiapa yang meninggalkan sesuatu daripada sunat-sunat, maka tiada apa-apa (tanggungan) ke atasnya, tetapi luputlah daripadanya kelebihan (fadhilat).

[Larangan-Larangan Ihram]

Haram menutup kepala bagi lelaki dan muka bagi perempuan yang sedang berihram, atau sebahagian daripadanya[16], membuang kuku dan rambut, meminyakkan rambut kepala dan janggut, dan memakai wangi-wangian pada seluruh badan.

Haram akad nikah, persetubuhan dan mukadimahnya, dan membinasakan (membunuh) setiap binatang buruan darat yang liar lagi halal dimakan.

Perempuan adalah seperti lelaki dalam (hal) larangan-larangan (ini).

[Menjaga Hati Daripada Maksiat]

Menjaga hati daripada maksiat adalah wajib ke atas setiap Muslim, dan begitu juga menjaga tujuh anggota badan adalah fardhu ain ke atas setiap Muslim.

Maka antara maksiat-maksiat hati ialah: syak terhadap Allah Taala[17], merasa aman daripada tipu daya (makar) Allah[18], berputus asa daripada rahmat Allah Taala[19], takabur terhadap hamba-hamba Allah Taala, riya' (menunjuk-nunjuk), 'ujub (kagum dengan diri sendiri) dengan ketaatannya kepada Allah Taala, hasad, dan dendam terhadap hamba-hamba Allah.

Makna hasad ialah: membenci nikmat yang ada pada seorang Muslim dan merasa tidak senang dengannya.

Antaranya lagi: berterusan melakukan maksiat kepada Allah, bakhil terhadap apa yang diwajibkan oleh Allah Taala[20], bersangka buruk terhadap Allah dan terhadap makhluk Allah, dan memandang remeh apa yang diagungkan oleh Allah, sama ada ketaatan atau maksiat[21], atau al-Quran atau ilmu, atau syurga atau neraka.

Semua itu adalah daripada maksiat-maksiat dan kejahatan-kejahatan yang membinasakan, bahkan sebahagian daripadanya termasuk dalam perkara yang boleh membawa kepada kekufuran, dan kita memohon perlindungan kepada Allah Taala daripada hal tersebut.

[Antara Ketaatan Hati]

Antara ketaatan hati ialah: iman kepada Allah, yakin[22], ikhlas, tawaduk, menginginkan kebaikan untuk kaum Muslimin, pemurah, bersangka baik, dan mengagungkan syiar-syiar Allah.

Syukur atas nikmat-nikmat Allah, seperti Islam, ketaatan, dan segala nikmat yang lain.

Sabar atas ujian, seperti penyakit-penyakit, cubaan-cubaan, kematian orang-orang yang dikasihi, kehilangan harta, dan kezaliman manusia.

Sabar dalam melakukan ketaatan, dan sabar (menahan) daripada melakukan maksiat.

Percaya pada rezeki daripada Allah.

Membenci dunia, dan memusuhi nafsu dan syaitan.

Mencintai Allah, Rasul-Nya, para sahabatnya, ahli baitnya, para tabi'in, dan orang-orang soleh.

Reda terhadap (ketentuan) Allah, dan bertawakal kepada-Nya, dan selain itu daripada kewajipan-kewajipan hati yang menyelamatkan.

[Maksiat Anggota Badan]

Adapun maksiat-maksiat anggota badan:

Maka maksiat-maksiat perut: seperti memakan riba, dan meminum setiap yang memabukkan, dan memakan harta anak yatim, dan setiap makanan dan minuman yang diharamkan oleh Allah.

Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah melaknat pemakan riba dan setiap orang yang membantunya untuk memakannya, dan melaknat peminum arak dan setiap orang yang membantunya untuk meminumnya sehinggalah kepada penjualnya.

[Maksiat Lidah]

Maksiat-maksiat lidah juga banyak: seperti mengumpat, iaitu: engkau menyebut tentang saudaramu yang Muslim dengan perkara yang dibencinya walaupun engkau benar.

Mengadu domba, dan berdusta, dan mencaci dan memaki, dan melaknat, dan selainnya.

[Maksiat Mata]

Maksiat-maksiat mata: seperti memandang wanita-wanita ajnabi, dan memandang aurat, dan memandang seorang Muslim dengan pandangan menghina, dan mengintai ke dalam rumah orang lain tanpa keizinannya.

[Maksiat Telinga]

Maksiat-maksiat telinga: seperti mendengar umpatan, dan selain itu daripada perkara-perkara yang diharamkan.

[Maksiat Tangan]

Maksiat-maksiat tangan: seperti mengurangkan sukatan dan timbangan, dan khianat, dan mencuri, dan segala muamalat (interaksi) yang diharamkan, seperti membunuh dan memukul tanpa hak (sebab yang dibenarkan syarak).

[Maksiat Kaki]

Maksiat-maksiat kaki: berjalan untuk melakukan hasutan terhadap seorang Muslim atau untuk membunuhnya, atau apa-apa yang memudaratkannya tanpa hak, dan selain itu daripada setiap perkara yang haram berjalan kepadanya.

[Maksiat Kemaluan]

Maksiat-maksiat kemaluan: seperti zina, dan liwat, dan beronani dengan tangan, dan selainnya daripada maksiat-maksiat kemaluan.

[Maksiat Seluruh Badan]

Maksiat dengan seluruh badan: seperti derhaka kepada kedua ibu bapa, dan lari dari medan perang dan ia termasuk dosa-dosa besar, dan selain daripada yang telah disebut; seperti memutuskan silaturahim, dan menzalimi manusia.

Allah jualah yang memberi taufik dan pertolongan kepada apa yang dicintai dan diredai-Nya. Selawat serta salam ke atas junjungan kita Muhammad, serta keluarga dan sahabatnya.

Baca juga: 

Al-Habib Ahmad bin Zain al-Habasyi: Pengarang al-Risalah al-Jami’ah


[1] Diriwayatkan oleh Ibn Majah (224) daripada Sayyidina Anas bin Malik radiallahu ‘anhu, dan di dalamnya tiada lafaz: “dan Muslimah.”

[2] Diriwayatkan oleh Abu Daud (3641), dan al-Tirmizi (2646) daripada Sayyidina Abu al-Darda' radiallahu ‘anhu.

[3] Iaitu hari menerima dan menganggap benar keseluruhan rukun-rukun Islam tersebut.

[4] Kerlingan mata dan mencuri-curi pandang terhadap apa yang tidak halal untuk dilihat dan pada perkara yang tidak disukai oleh Allah.

[5] Tidak disyaratkan untuk sahnya solat bahawa pakaian itu harus hukumnya, maka sah solat dengan memakai pakaian yang haram seperti pakaian yang dirampas, tetapi berserta dosa dan tiada pahala.

[6] Berhenti sekejap sekadar tempoh menyebut Subahanallah.

[7] Iaitu haram juga riyak dalam amalan yang lain selain solat.

[8] Sekiranya dia menghilangkannya serta-merta tanpa menanggungnya, maka solat tidak batal ketika itu, seperti jatuhnya najis kering ke atas pakaian orang yang sedang solat, lalu dia mengibasnya serta-merta, atau jatuhnya najis basah ke atas pakaiannya, lalu dia menolak pakaian itu dari bahagian yang suci daripada pakaian itu sehingga ia jatuh tanpa mengangkatnya dengan tangan atau memegang dan menariknya. Maka jika dia menghilangkannya dengan tangannya, atau dengan sebatang kayu yang ada padanya, atau dia memegang pada bahagian pakaian yang suci lalu menarik atau mengangkatnya, maka batallah solatnya.

[9] Iaitu muwalat di antara rukun-rukun khutbah, muwalat di antara kedua-dua khutbah, dan muwalat di antara khutbah dengan solat Jumaat.

[10] Iaitu menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa, dari waktu terbit matahari sehingga terbenam matahari, dengan niat yang khusus berserta syarat dan rukunnya.

[11] Puasa batal dengan perbuatan istimna’, dengan syarat air mani itu benar-benar keluar, sama ada istimna' itu dengan tangannya, atau dengan tangan isterinya, atau dengan selain keduanya, dan sama ada dilakukan dengan lapik ataupun tidak.

Jika air mani keluar disebabkan sentuhan sesuatu yang membatalkan wuduk apabila disentuh, seperti kulit isteri dan wanita ajnabi, maka batallah puasa jika sentuhan itu tanpa sebarang lapik, sama ada sentuhan itu dengan syahwat ataupun tanpa syahwat. Adapun jika sentuhan itu berlapik, maka tidak batal puasa dengan keluarnya mani selepas itu.

Jika air mani keluar disebabkan sentuhan sesuatu yang tidak membatalkan wuduk apabila disentuh, seperti mahram, maka tidak batal puasa, melainkan jika sentuhan itu dengan syahwat dan tanpa lapik.

Adapun keluarnya mani disebabkan berfikir atau memandang dengan syahwat, maka tidak batal puasa dengannya.

[12] Hadis ini diriwayatkan oleh al-Dailami dalam al-Firdaus (no. 2979) daripada Sayyidina Anas bin Malik. Hadis ini telah dihukumkan sebagai palsu oleh Abu Hatim, Ibnu al-Jauzi, al-Nawawi, Zakariyya al-Ansari dan Ibnu Hajar al-Haitami.

[13] Iaitu emas dan perak yang tertanam hasil tinggalan dari zaman sebelum diutuskan Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam.

[14] Iaitu: binatang ternakan, dua jenis mata wang, barangan perniagaan, harta karun (rikaz), galian, hasil tanaman dan buah-buahan, dan zakat fitrah.

[15] Iaitu: di luar Kaabah, Syazarwan dan Hijr Ismail. Syazarwan ialah sebuah dinding rendah di bahagian bawah Kaabah tempat dipasangnya Kiswah Kaabah, dan ia berada di sebelah pintu. Manakala Hijr Ismail ialah sebuah dinding rendah berbentuk separuh bulatan di antara dua Rukun Syami.

[16] Iaitu menutup sebahagian kepala bagi lelaki dan sebahagian muka bagi perempuan yang sedang berihram.

[17] Iaitu syak kewujudan Allah dan sifat-sifatNya.

[18] Iaitu seorang manusia itu tidak terfikir kemungkinan Allah akan mengazabnya.

[19] Iaitu seorang manusia itu tidak terfikir kemungkinan Allah akan merahmati dan mengampunkan dosa-dosanya.

[20] Iaitu kedekut dalam menunaikan tanggungjawabnya berkaitan hartanya seperti zakat.

[21] Iaitu memandang rendah terhadap kewajipan yang diperintahkan oleh Allah supaya melaksanakannya dan terhadap maksiat yang diharamkan Allah daripada melakukannya.

[22] Iaitu kekuatan dan keteguhan iman terhadap Allah dan ia tidak digoncang dan digoyahkan oleh keraguan dan sangkaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan