Soalan: Seperti yang diketahui, Iblis telah diusir dari rahmat Allah tanpa isteri, maka dari manakah datangnya keturunan syaitan ini, dan apakah cara pembiakannya?
Jawapan Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari:
Tidak terdapat nas yang sahih bahawa Iblis ketika diusir
adalah tanpa isteri atau keturunan. Malah, yang zahirnya adalah dia telah
mempunyai keturunan sebelum penciptaan Adam berdasarkan dalil firman Allah
Taala: “Dan sesungguhnya Kami
telah menciptakan manusia daripada tanah liat yang kering, yang berasal dari
lumpur hitam yang diberi bentuk. Dan jin pula, Kami ciptakan sebelum itu
daripada api yang sangat panas.” (Al-Hijr:
26-27).
Maka ayat ini menjelaskan bahawa jin telah wujud sebelum
Adam.
Telah disebutkan dalam beberapa athar bahawa mereka adalah
penduduk bumi. Maka apabila mereka melampaui batas, zalim dan berbuat
kerosakan, Allah mengutuskan malaikat kepada mereka yang telah mengusir mereka
ke gunung-ganang dan pulau-pulau, dan Iblis daripada kalangan mereka telah
menyertai para malaikat dalam beribadah kepada Allah sehinggalah terjadi
padanya apa yang telah terjadi.
Adapun cara pembiakan mereka, tidak ada hadis sahih yang
boleh dijadikan sandaran dalam menjelaskannya. Yang zahirnya adalah ia seperti
cara pembiakan manusia, berdasarkan dalil bahawa ada manusia yang berkahwin
dengan jin perempuan.
Sebahagian Tabi'in[1]
pernah berkata: "Ya Allah, kurniakanlah aku seorang jin perempuan untuk
aku kahwini."
Keadaan asal usul mereka yang daripada api tidak menghalang
untuk jasad mereka menjadi seperti kita, sebagaimana manusia diciptakan
daripada tanah liat. Akan tetapi, struktur tubuhnya pada masa kini tidak
kelihatan padanya sebarang unsur tanah atau tanah liat.
Sumber:
Al-Hawi Fi Fatawa Abdullah al-Ghumari.
[1] Tabi’in
tersebut ialah Zaid bin al-Hawari al-‘Ami. Diriwayatkan bahawa beliau pernah
berdoa sedemikian sebagaimana dalam kitab Masail Harb al-Kirmani.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan