Soalan: Adakah pembacaan al-Quran di atas kubur memberi faedah kepada si mati? Adakah sabit bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam atau salah seorang sahabat pernah membaca surah daripada al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati? Bagaimanakah ini selari dengan firman-Nya Taala: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi manusia melainkan apa yang diusahakannya (An-Najm: 39)?
Jawapan Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari:
Al-Quran dibacakan kepada si mati kerana dua perkara:
Pertama: Mengharapkan turunnya rahmat ke atas si mati,
kerana apabila al-Quran dibacakan di sesuatu tempat, nescaya rahmat akan turun
di tempat itu sepertimana yang sabit dalam hadis, maka ia meliputi mereka yang
hadir (termasuk si mati).
Perkara kedua: Si mati mendapat manfaat daripada pahala
bacaan jika si pembaca menghadiahkannya kepadanya.
Isu manfaat si mati dengan bacaan al-Quran ini banyak
berlaku perselisihan padanya. Yang benar, yang tidak syak padanya, adalah
pahala bacaan itu sampai kepada si mati jika si pembaca menghadiahkannya
kepadanya.
Dalilnya ialah telah sabit dengan nas dan ijmak bahawa si
mati mendapat manfaat daripada doa.
Telah sabit dengan hadis sahih, (sampainya pahala) haji bagi
pihak si mati, dan puasa bagi pihaknya.
Oleh itu, para ulama mazhab al-Syafi’i dan majoriti ulama
berpendapat bahawa apabila seseorang itumeninggal dunia dan sedangkan ke atasnya (ada hutang) haji atau
puasa fardu, maka walinya boleh mengerjakan haji dan berpuasa bagi pihaknya,
dan si mati mendapat manfaat daripadanya, serta gugurlah daripadanya kewajipan
haji dan puasa.
Bahkan, mazhab Zahiriyyah berpendapat bahawa wali si mati
wajib berpuasa bagi pihak si mati jika dia berhutang puasa fardu, dan mereka
berpegang pada sabda Baginda sallahu
‘alaihi wasallam: "Sesiapa yang meninggal dunia dan dia
mempunyai tanggungan puasa, maka walinya berpuasa bagi pihaknya." Hadis
ini sahih.
Maka, jika telah sabit sampainya (pahala) doa, haji, dan
puasa, maka sabitlah juga sampainya (pahala) bacaan al-Quran tanpa syak, kerana
kesemuanya adalah ibadah. Nembezakan antara ini dan itu adalah satu dakwaan
tanpa dalil.
Bahkan, dalam hadis mengenai haji, terdapat pemberitahuan
tentang sampainya (pahala) al-Quran kepada si mati, kerana ibadah haji
merangkumi solat sunat tawaf dua rakaat, dan ia sudah tentu mengandungi bacaan
al-Quran. Hadis tersebut telah memberitahu tentang sampainya (pahala) haji
kepada si mati, maka padanya terdapat pemberitahuan secara tersirat tentang
sampainya (pahala) bacaan kepadanya.
Dan juga, telah sabit daripada al-Sya'bi, seorang Tabi'I, bahawa kaum Ansar, apabila ada kematian dalam kalangan mereka, mereka akan berulang-alik ke kuburnya membaca al-Quran untuknya.
Bahkan, telah sabit riwayat yang lebih tinggi (martabatnya)
daripada ini, iaitu al-Lajlaj telah berwasiat kepada anaknya, al-'Ala', apabila
dia meninggal dunia dan dikebumikan, agar membaca di atas kuburnya penghujung
Surah al-Baqarah. Beliau berkata: "Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda
demikian." Ini adalah hadis yang hasan, yang mana al-Hafiz al-Haythami
berkata tentangnya: “Para perawinya adalah orang yang dipercayai.”
Terdapat athar-athar lain yang tidak cukup ruang untuk
disebutkan.
Adapun firman Allah Taala: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi manusia
melainkan apa yang diusahakannya”,
maka ia tidak menafikan sampainya pahala bacaan kepada si mati berdasarkan
dalil bahawa Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam telah memberitahu tentang sampainya pahala haji dan puasa
kepada si mati, dan berdasarkan dalil ijmak yang telah sepakat tentang
sampainya doa kepada si mati.
Doa, puasa, dan haji adalah usaha orang yang hidup, bukan
usaha si mati, maka bagaimana ia sampai kepadanya?
Penjelasan mengenai ayat yang mulia ini adalah ia
memberitahu kita tentang kesempurnaan keadilan Allah, dan bahawa Allah Subahanahu
wa Ta’ala, kerana keadilan-Nya, tidak mensia-siakan sedikit pun amalan
manusia. Maka, apa sahaja amalan yang dilakukan manusia, baik atau buruk, dia
akan mendapatinya di hadapannya tanpa ditambah atau dikurangkan, dan Tuhanmu
tidak menzalimi sesiapa pun.
Adapun menghadiahkan amalan kepada orang lain atas dasar
kasih sayang, maka tiada dalam ayat itu petunjuk yang menafikannya sama sekali.
Bahkan dalil menunjukkan sampainya amalan yang dihadiahkan itu kepada si mati,
iaitu hadis-hadis sahih yang telah kami sebutkan.
Ibn al-Qayyim berpendapat bahawa pahala bacaan sampai kepada
si mati, dan beliau menukilkannya daripada nas Imam Ahmad, dan beliau telah
menghuraikannya dengan panjang lebar dalam menetapkan dan berdalilkan dengannya
dalam kitab Ar-Ruh, maka bolehlah dirujuk.
Sumber:
Al-Hawi Fi Fatawa Abdullah al-Ghumari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan