Khamis, 11 September 2025

Hukum Memuji Si Mati Setelah Solat Jenazah

Soalan: Adakah terdapat dalil yang mensabitkan amalan sesetengah orang selepas solat jenazah, iaitu memberikan kesaksian yang baik untuk si mati atau (menyatakan) bahawa dia termasuk dalam kalangan orang baik?

Jawapan Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari:

Dalam Sahih al-Bukhari, daripada Abu al-Aswad, beliau berkata: “Aku datang ke Madinah lalu duduk bersama Umar. Kemudian, sebuah jenazah diusung melintas, maka orang ramai memujinya dengan kebaikan.

Lalu beliau (Umar) berkata: Telah wajib.

Kemudian, sebuah jenazah lain diusung melintas, maka mereka mencelanya dengan keburukan.

Lalu beliau berkata: Telah wajib.

Maka aku bertanya: Wahai Amirul Mukminin! Apa yang telah wajib?

Beliau menjawab: Aku berkata sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasallam: Mana-mana orang Islam yang disaksikan oleh empat orang dengan kebaikan, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam Syurga.

Beliau (Abu al-Aswad) berkata: Maka kami bertanya: Bagaimana jika tiga orang?

Beliau menjawab: Dan tiga orang juga.

Kami bertanya lagi: Bagaimana jika dua orang?

Beliau menjawab: Dan dua orang juga.

Kemudian, kami tidak bertanya kepadanya tentang (kesaksian) seorang.”

Dalam Sahih Ibn Hibban dan Musnad Abi Ya'la, daripada Anas, beliau berkata: Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Tidak ada seorang Muslim yang meninggal dunia lalu empat buah keluarga daripada jiran terdekatnya menyaksikan bahawa mereka tidak mengetahui (tentang si mati) melainkan kebaikan, melainkan Allah akan berfirman: 'Sungguh, Aku telah menerima pengetahuan kamu tentangnya dan Aku telah mengampunkan baginya apa yang tidak kamu ketahui."

Berdasarkan ini, para ulama berkata: “Sewajarnya si mati dipuji dengan kebaikan dan didiamkan tentang keburukannya. Akan tetapi, dalam memberikan pujian, seseorang itu tidak sewajarnya memastikan bahawa si mati itu termasuk dalam kalangan ahli kebaikan. Sebaliknya, hendaklah dia berkata sebagaimana dalam hadis: ‘Aku tidak mengetahui melainkan kebaikan’, atau ‘aku berharap dia termasuk dalam kalangan ahli kebaikan’, dan menyerahkan urusan batin dan keadaan tersembunyi si mati kepada Penciptanya yang mengetahui segala rahsia dan apa yang lebih tersembunyi.”

Dan Allah lebih mengetahui.

Sumber:

Al-Hawi Fi Fatawa Abdullah al-Ghumari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan