Soalan: Sesetengah orang mendakwa bahawa dia daripada golongan Asyraf (keturunan Nabi) walaupun dia banyak melakukan maksiat, dan dia berdalilkan dengan firman Allah Taala: “Sesungguhnya Allah hanyalah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, wahai Ahlul Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.” (Al-Ahzab: 33).
Jawapan Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari:
Melakukan maksiat tidak menunjukkan penafian nasab daripada
seseorang yang bernasab, kerana seorang Syarif tidak maksum, bahkan dia sama
seperti orang Islam yang lain. Tetapi, tidak selayaknya baginya melakukan
maksiat sebagai penghormatan kepada nasabnya.
Maka, apabila seorang Syarif melakukan maksiat dan
bersandarkan kepada (kedudukannya sebagai) seorang Syarif, dosanya akan
digandakan dan azabnya lebih dahsyat.
Kemudian, sesungguhnya Islam tidak membezakan antara seorang
Syarif atau selainnya dari sudut hukum-hakam agama. Allah Taala berfirman: “Sesungguhnya orang yang paling mulia
di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. (Al-Hujurat: 13).
Nabi Sallahu ‘alaihi
wasallam bersabda: "Manusia itu ada dua golongan: seorang
mukmin yang bertakwa lagi mulia di sisi Allah, dan seorang yang jahat lagi
celaka yang hina di sisi Allah."
Baginda telah memberi amaran kepada ahli baitnya agar tidak
bersandarkan kepada nasab, dan agar mereka berlumba-lumba dalam ketaatan dan
menjauhi maksiat.
Adapun firman Allah Taala: “Sesungguhnya Allah hanyalah bermaksud hendak menghilangkan dosa
dari kamu, wahai Ahlul Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya”, maka
telah sabit dalam hadis yang sahih bahawa ia diturunkan mengenai lima orang,
iaitu: Nabi Sallahu ‘alaihi
wasallam, Ali, Fatimah, al-Hasan dan al-Husain, ‘alayhimus salam.
Mereka ini benar-benar telah disucikan kerana mereka tidak pernah menderhakai
Allah sama sekali.
Sumber:
Al-Hawi Fi Fatawa Abdullah al-Ghumari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan