Jumaat, 12 September 2025

Sejarah Maulid Nabi dan Hukumnya

Soalan: Siapakah orang pertama yang memulakan sambutan Maulid Nabi? Apakah hukum adat-adat yang diamalkan oleh orang ramai dalam sambutan itu, seperti mengadakan majlis-majlis, menghidangkan manisan dan sebagainya?

Jawapan Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari:

Al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti mempunyai sebuah fatwa yang bernilai mengenai perkara ini, yang kami ringkaskan seperti berikut.

Beliau rahimahullah berkata:

Sesungguhnya asal amalan Maulid, iaitu perhimpunan orang ramai, membaca apa yang mudah daripada al-Quran, dan meriwayatkan khabar-khabar yang warid tentang permulaan kehidupan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan apa yang berlaku pada hari kelahirannya berupa perkara-perkara ajaib, kemudian dihidangkan untuk mereka jamuan, untuk mereka makan lalu mereka bersurai tanpa sebarang tambahan ke atas yang demikian itu, ia adalah merupakan bid'ah hasanah (bidaah yang baik) yang pelakunya diberi ganjaran pahala, kerana di dalamnya terkandung pengagungan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam serta menzahirkan kegembiraan dan kesukaan dengan kelahiran baginda yang mulia.

Orang pertama yang memulakan perbuatan itu ialah pemerintah Irbil (Iraq) Raja al-Muzaffar Abu Sa'id Kukburi ibn Zainuddin Ali bin Sabuktakin, salah seorang raja yang agung dan pembesar yang pemurah. Beliau mempunyai peninggalan-peninggalan yang baik, dan beliaulah yang telah membina Masjid al-Muzaffari di kaki bukit Qasiyun.

Ibn Kathir berkata dalam kitab Tarikhnya: “Beliau mengadakan sambutan Maulid yang mulia pada bulan Rabiulawal dan menyambutnya dengan sambutan yang hebat. Syeikh Abu al-Khattab ibn Dihyah telah mengarang untuknya sebuah jilid (buku) mengenai Maulid Nabi yang dinamakannya: “At-Tanwir fi Mawlid al-Basyir an-Nazir", lalu beliau memberinya ganjaran atas usahanya itu dengan seribu dinar.

Tempoh pemerintahannya berpanjangan sehinggalah beliau wafat ketika sedang mengepung tentera Frank di kota Akka pada tahun 630 Hijrah, dalam keadaan terpuji sirah (perjalanan hidup) dan sirirah (batinnya).”

Sehinggalah beliau (Ibn Kathir) berkata: “Isterinya Rabi'ah Khatun binti Ayyub, saudari kepada Raja al-Nasir Salahuddin, menceritakan bahawa baju kemejanya diperbuat daripada kain kapas kasar yang tidak bernilai lima dirham. Beliau (isterinya) berkata: Maka aku menegurnya tentang hal itu, lalu beliau menjawab: Memakai baju berharga lima (dirham) dan bersedekah dengan bakinya adalah lebih baik daripada aku memakai baju yang mahal dan membiarkan orang fakir dan miskin."

Ibn Khallikan berkata dalam biografi al-Hafiz Abu al-Khattab ibn Dihyah: “Beliau adalah antara ulama terkemuka dan orang-orang terhormat yang masyhur. Beliau datang dari Maghrib lalu memasuki Syam dan Iraq, dan singgah di Irbil pada tahun 604 Hijrah. Lalu beliau mendapati rajanya yang agung, Muzaffaruddin bin Zainuddin, mengambil berat tentang Maulid, maka beliau mengarang untuknya sebuah kitab: "At-Tanwir fi Mawlid al-Basyir an-Nazir" dan membacakannya sendiri di hadapannya, lalu raja memberinya ganjaran seribu dinar. “

Abu Abdullah ibn al-Hajj telah membicarakan dalam kitabnya al-Madkhal mengenai amalan Maulid, dan beliau telah menghuraikannya dengan sangat teliti. Kesimpulannya adalah pujian terhadap apa yang terkandung di dalamnya (Maulid) berupa penzahiran syiar yang merupakan satu bentuk kesyukuran, dan celaan terhadap apa yang terkandung di dalamnya berupa perkara-perkara haram dan mungkar. Antaranya ialah kata-kata beliau:

“Sekalipun Nabi tidak menambahkan padanya (bulan Rabiulawal) sebarang ibadah melebihi bulan-bulan lain, dan tidaklah yang demikian itu melainkan kerana belas kasihan dan kelembutan baginda kepada umatnya, kerana baginda pernah meninggalkan sesuatu amalan kerana bimbang ia akan diwajibkan ke atas umatnya, sebagai satu rahmat daripada baginda kepada mereka.

Akan tetapi, baginda telah mengisyaratkan kepada kelebihan bulan yang agung ini dengan sabdanya kepada penanya yang bertanya kepada baginda tentang puasa hari Isnin: 'Itulah hari aku dilahirkan'. Maka, kemuliaan hari ini terkandung di dalamnya kemuliaan bulan di mana baginda dilahirkan, maka sewajarnya kita menghormatinya dengan sebesar-besar penghormatan dan melebihkannya sebagaimana Allah telah melebihkan bulan-bulan yang mulia, dan ini (bulanRabiulawal) adalah salah satu daripadanya, kerana sabda Baginda sallahu ‘alaihi wasallam: ‘Aku adalah penghulu anak Adam dan bukanlah untuk berbangga. Adam dan sesiapa sahaja selepasnya berada di bawah panji-panjiku.’

Kelebihan sesuatu masa dan tempat adalah dengan apa yang Allah telah khususkan padanya berupa ibadah-ibadah yang dilakukan di dalamnya, kerana telah diketahui bahawa tempat dan masa tidak menjadi mulia dengan sendirinya, sebaliknya kemuliaan itu terhasil dengan makna-makna (peristiwa penting) yang dikhususkan padanya. Maka lihatlah kepada apa yang Allah telah khususkan pada bulan yang mulia ini dan hari Isnin. Tidakkah engkau lihat bahawa puasa pada hari ini mempunyai kelebihan yang besar kerana baginda dilahirkan padanya.

Maka, berdasarkan ini, sewajarnya apabila masuknya bulan yang mulia ini, ia dimuliakan, diagungkan, dan dihormati dengan penghormatan yang selayaknya, sebagai mengikut (perbuatan) baginda yang mengkhususkan waktu-waktu yang mulia dengan menambahkan perbuatan baik dan memperbanyakkan kebajikan di dalamnya.

Tidakkah engkau lihat kepada kata-kata Ibn Abbas: ‘Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam adalah orang yang paling pemurah dengan kebaikan, dan baginda menjadi paling pemurah pada bulan Ramadan." Maka kita mencontohi (amalan) mengagungkan waktu-waktu yang mulia daripada apa yang telah dicontohi oleh baginda menurut kadar kemampuan kita.

Jika ada yang berkata: Baginda telah beriltizam (melakukan amalan khusus) pada waktu-waktu yang mulia dengan amalan-amalan yang telah diketahui, tetapi baginda tidak beriltizam pada bulan ini dengan amalan seperti yang baginda lakukan pada bulan-bulan lain, maka jawapannya ialah, yang demikian itu adalah kerana apa yang telah diketahui daripada kebiasaan baginda yang mulia, iaitu baginda ingin meringankan (beban) umatnya, lebih-lebih lagi dalam perkara yang berkaitan dengan diri baginda.

Tidakkah engkau lihat bahawa baginda ‘alayhis salatu wassalam telah menjadikan Madinah sebagai tanah haram sepertimana Ibrahim telah menjadikan Mekah sebagai tanah haram, dan meskipun begitu, baginda tidak mensyariatkan balasan (denda) bagi perbuatan membunuh binatang buruannya atau menebang pokoknya (Madinah), sebagai satu keringanan ke atas umatnya dan rahmat kepada mereka. Maka baginda melihat kepada perkara yang datang dari pihaknya, dan sekalipun ia suatu keutamaan pada zatnya, baginda akan meninggalkannya sebagai keringanan bagi mereka.[1]

Maka, atas dasar ini, mengagungkan bulan yang mulia ini hanyalah dengan menambahkan amalan-amalan yang suci di dalamnya, sedekah, dan lain-lain amalan yang mendekatkan diri (kepada Allah). Maka sesiapa yang tidak mampu berbuat demikian, maka sekurang-kurang keadaannya ialah agar dia menjauhi apa yang diharamkan ke atasnya dan menahan diri, sebagai mengagungkan bulan yang mulia ini, sekalipun perkara itu dituntut pada bulan-bulan lain, melainkan pada bulan ini ia lebih dituntut untuk dihormati, sepertimana ia lebih ditekankan pada bulan Ramadan dan pada bulan-bulan Haram.”

Syeikhul Islam al-Hafiz Ibn Hajar pernah ditanya tentang amalan Maulid, maka beliau menjawab dengan apa yang nasnya seperti berikut:

“Asal amalan Maulid adalah bidaah yang tidak dinukilkan daripada sesiapa pun dalam kalangan Salafus Soleh dari tiga kurun (generasi) terawal (para Sahabat, Tabi'in, dan Tabi' al-Tabi'in). Akan tetapi, meskipun begitu ia telah merangkumi kebaikan-kebaikan dan lawannya (yakni keburukan-keburukan). Maka sesiapa yang berusaha dalam melaksanakannya untuk melakukan kebaikan-kebaikan dan menjauhi lawannya, maka ia adalah bid'ah hasanah, dan jika tidak, maka tidak.”

Al-Hafiz al-Suyuti berkata: “Telah jelas bagiku untuk menyandarkannya kepada satu asas yang kukuh, iaitu apa yang telah sabit dalam Sahihain (Sahih al-Bukhari dan Muslim) bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam tiba di Madinah lalu baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari 'Asyura. Maka baginda bertanya kepada mereka, lalu mereka menjawab: 'Ia adalah hari di mana Allah menenggelamkan Firaun dan menyelamatkan Musa, maka kami berpuasa padanya sebagai tanda syukur kepada Allah Taala.'

Maka dapat diambil faedah daripadanya (tentang) perbuatan bersyukur kepada Allah atas apa yang telah Dia kurniakan pada hari tertentu, berupa pemberian nikmat-Nya atau penolakan bala-Nya, dan ia diulangi pada hari yang sama pada setiap tahun.

Syukur kepada Allah terhasil dengan pelbagai jenis ibadah seperti sujud, puasa, sedekah, dan bacaan (al-Quran). Nikmat manakah yang lebih agung daripada nikmat dengan kemunculan Nabi ini, Nabi Rahmat, pada hari itu.”

Sumber:

Al-Hawi Fi Fatawa Abdullah al-Ghumari.



[1] Ada amalan yang dari sudut baginda sendiri memang afdal dan sangat mulia (contohnya baginda boleh tambah pensyariatan baru), tapi baginda pandang dari sudut kesusahan umat, lalu baginda pilih untuk tidak tekankan atau tidak wajibkan, sebagai bentuk rahmat dan meringankan umatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan