Dosa besar adalah apa yang terdapat padanya salah satu daripada sifat-sifat berikut:
1 - Apa yang datang nas (dalil) yang menyatakan ia adalah
dosa besar, seperti menderhakai kedua-dua ibu bapa.
Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam telah bersabda: “Dosa-dosa besar ialah:
Menyekutukan Allah, menderhakai kedua-dua ibu bapa, membunuh jiwa, dan sumpah
yang dusta.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6298)
Terdapat hadis-hadis lain yang menyebutkan dosa-dosa selain
ini dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada dosa-dosa besar.
2 - Apa yang Allah tetapkan ke atasnya hukuman had (hudud),
seperti mencuri.
Allah Taala berfirman: “Dan orang lelaki yang mencuri serta orang perempuan yang
mencuri, maka potonglah tangan mereka berdua. [Al-Ma'idah: 38]
3 - Apa yang Allah Taala ancam ke atasnya dengan azab di
akhirat, seperti memakan harta anak yatim tanpa hak.
Allah Taala berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim
secara zalim, sebenarnya mereka hanyalah menelan api ke dalam perut mereka dan
mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala. [An-Nisa': 10]
4 - Apa yang pelakunya dilaknat, seperti riba.
Daripada Jabir radhiyallahu 'anhu, beliau berkata:
((Rasulullah telah melaknat pemakan riba, pemberi makan riba, penulisnya, dan
kedua-dua saksinya, dan baginda bersabda: Mereka semua adalah sama.” (Riwayat
Muslim, no. 1598)
5 - Apa yang Allah ancam pelakunya dengan kemurkaan, seperti
lari dari medan pertempuran di mana orang Islam memerangi orang kafir.
Allah Taala berfirman: “Dan sesiapa yang pada ketika itu membelakangi mereka (melarikan
diri), kecuali kerana muslihat peperangan, atau kerana hendak bergabung dengan
pasukan yang lain, maka sesungguhnya ia telah kembali dengan membawa kemurkaan
dari Allah, dan tempatnya ialah neraka Jahannam dan amatlah buruknya tempat
kembali itu.” [Al-Anfal: 16]
6 - Apa yang pelakunya disifatkan sebagai fasik secara nas,
iaitu dalam al-Quran atau Sunnah, seperti menuduh perempuan yang terpelihara
kehormatannya (dengan tuduhan berzina), dan berhukum dengan selain apa yang
Allah turunkan.
Allah Taala berfirman: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan
yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang
saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat, dan janganlah kamu menerima
persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka itulah orang-orang yang
fasik.” [An-Nur: 4],
Allah Taala berfirman: “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah
diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” [Al-Ma'idah: 47]
Sumber:
Al-Mukhtasar Al-Mufid Fi Syarh Jauharah Al-Tauhid – Syeikh Dr Nuh Ali Salman al-Qudhah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan