Khawarij adalah golongan Islam yang paling kuat mempertahankan akidah mereka dan paling bersemangat dengan pandangan mereka. Sikap fanatik terhadap fahaman mereka telah mendorong mereka untuk menempuh bahaya, keras hati terhadap orang lain, dan keinginan untuk mati demi keikhlasan terhadap akidah mereka. Ia adalah salah satu golongan yang melampau.
Kemunculan Khawarij
Golongan ini telah muncul disebabkan oleh peristiwa tahkim
dalam perselisihan antara Sayidina Ali Karamallahu Wajhah dan Sayidina
Muawiyah radhiyallahu 'anhu. Hal ini kerana apabila berlakunya
perselisihan antara mereka berdua dalam Perang Siffin, dan Sayidina Muawiyah
serta para sahabatnya meminta untuk menjadikan Kitab Allah Taala sebagai hakim
kerana takut akan kekalahan, para sahabat Sayidina Ali berselisih pendapat
dalam menyahut permintaan Sayidina Muawiyah. Kemudian, kesudahan perdebatan
tersebut adalah dengan penerimaan tahkim.
Maka Sayidina Ali Karamallahu Wajhah memilih Sayidina
Abu Musa al-Asy'ari radhiyallahu 'anhu untuk menjadi wakil bagi pihaknya
dan kaumnya, dan Sayidina Muawiyah radhiyallahu 'anhu memilih Sayidina
Amru bin al-'As radhiyallahu 'anhu sebagai wakil bagi pihaknya dan
sahabat-sahabatnya. Kemudian, sekumpulan tentera Sayidina Ali radhiyallahu
'anhu bangkit dan berkata: “Tahkim ini adalah satu kesilapan, kerana ini
bermakna kita meragui tujuan kita berperang, sedangkan setiap pihak berperang
kerana yakin bahawa kebenaran berada di pihak mereka.” Mereka berkata: “Tiada
hukum melainkan hukum Allah.” Mereka menuntut agar Imam Ali mengakui kesilapan
dirinya kerana menerima tahkim, namun beliau tidak memenuhi tuntutan mereka.
Maka mereka bersepakat untuk keluar dari Kufah menuju ke
sebuah kampung yang bernama Harura'. Ketika itu mereka dinamakan sebagai
al-Haruriyyah, dan mereka digelar dengan nama Khawarij, kerana mereka keluar
menentang Imam Ali dan para sahabatnya. Mereka menamakan diri mereka sebagai
asy-Syurah, bersempena dengan firman Allah Taala: “Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana
mencari keredaan Allah.”
Prinsip-Prinsip Utama Mereka:
1 - Sahnya kekhalifahan Sayidina Abu Bakar dan Umar, serta
Uthman pada awal pemerintahannya, dan wajib beliau dipecat apabila mengubah
cara Sayidina Abu Bakar dan Umar serta mengutamakan kaum kerabatnya.
2 - Sahnya kekhalifahan Sayidina Ali sehingga waktu tahkim,
dan apabila beliau melakukan kesilapan dalam tahkim, mereka mengkafirkannya
bersama kedua-dua orang hakim (Abu Musa al-Asy'ari dan Amru bin al-'As), serta
mencela mencela para sahabat yang terlibat dalam Perang Jamal.
3 - Kekhalifahan mestilah melalui pilihan bebas di antara
kaum Muslimin, sama ada yang dipilih itu seorang Quraisy atau seorang hamba
Habsyi, dan bukanlah hak seorang imam untuk meletakkan jawatan atau melakukan
tahkim. Beliau wajib tunduk sepenuhnya kepada perintah-perintah agama, jika
tidak, beliau wajib dipecat.
4 - Beramal dengan perintah-perintah agama adalah sebahagian
daripada iman, dan setiap orang yang menderhakai Allah adalah kafir, dan semua
dosa adalah dosa besar.
5 - Wajib keluar menentang imam yang zalim, dan mereka tidak
berpegang pada konsep taqiyyah seperti golongan Syiah. Inilah prinsip-prinsip
umum Khawarij.
Pecahan Khawarij
Khawarij telah berpecah kepada banyak golongan, antaranya
yang sederhana dan yang melampau. Antara pemimpin-pemimpin mereka ialah
Abdullah bin Wahb al-Rasibi, Hurqus bin Zuhair al-Bajali, Abdullah bin
al-Kawwa', Nafi' bin al-Azraq, dan Najdah bin 'Amir.
Golongan mereka yang melampau telah menyeleweng dari jalan
yang benar, dan keluar dari agama Islam dengan prinsip-prinsip mereka, seperti
al-Yazidiyyah yang mengatakan tentang kebangkitan seorang rasul dari kalangan
bukan Arab (Ajam) dengan sebuah kitab yang memansuhkan al-Quran, dan
al-Maimuniyyah yang menghalalkan perkahwinan dengan anak perempuan kepada anak
lelaki, dan anak-anak perempuan kepada saudara lelaki dan saudara perempuan,
serta mereka mengingkari bahawa Surah Yusuf adalah sebahagian daripada al-Quran.
Golongan mereka yang paling adil (sederhana) dan paling
hampir kepada agama Islam ialah golongan al-Ibadhiyyah, dan oleh sebab itu,
mereka ditakdirkan untuk kekal hingga ke hari ini. Adapun saki-baki Khawarij,
mereka telah diperangi oleh Bani Umayyah dan Bani Abbasiyah sehingga
pertengahan abad ketiga Hijrah.
Sumber:
مُذكرَة الفِرَق للصف الثانى الثانوى - لجنة إعداد وتطوير المناهج بالأزهر الشريف
Tiada ulasan:
Catat Ulasan