Selasa, 1 April 2014

Syeikh Ismail Uthman al-Zain al-Yamani



Beliau merupakan bekas Mufti Mazhab asy-Syafie di Mekah al-Mukarramah dan beliau juga merupakan salah seorang guru yang rapat dengan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki.

Nama

Nama beliau ialah Ismail bin Ismail bin Uthman al-Zain. Perkataan “al-Zain” dinisbahkan kepada al-Zain bin Ismail bin Muhammad al-Hadrami. 

Kelahiran

Beliau dilahirkan pada bulan Rabiul Awwal tahun 1352H di negeri ad-Dhahi, Yaman.

Pembesaran

Beliau membesar sebagai seorang yang mencintai ilmu sejak dari kecil. Allah telah mengurniakan kepada beliau ingatan yang kuat sehingga dapat menghafal pelbagai matan-matan ilmu.

Beliau juga telah menghafal kitab Minhaj at-Thalibin karya Imam an-Nawawi dan menjadi kebiasaan beliau untuk mengulang hafalan kitab Minhaj at-Talibin pada waktu selepas solat Asar setiap hari.

Diceritakan juga bahawa beliau hanya tidur selama 30 minit sahaja sehari kerana sibuk dengan mengajar dan beribadat.

Guru-guru

Beliau telah menuntut dengan ramai para ulama dari negara Yaman, Hijaz (Mekah dan Madinah), Mesir, Sudan, Syam (Jordan, Syiria, Lubnan, Palestin), India, Pakistan, Parsi (Iran), dan Habsyah. Beliau juga menjadi khadam kepada Syeikh Hasan az-Ziwak di Yaman dan Syeikh Hasan al-Masyath di Mekah al-Mukarammah.



Aktiviti mengajar

Beliau terkenal sebagai seorang yang mencintai para penuntu ilmu dan mendidik mereka. Beliau telah mengajar di Yaman, Mekah, Masjidil Haram, Madrasah Syaulatiyyah, Madrasah at-Tauhidiyyah dan juga di rumah beliau di Mekah al-Mukarramah.

Beliau mula mengajar selepas solat Subuh sehingga waktu Dhuha, selepas Zohor, selepas Asar dan selepas solat Isyak. Beliau sibuk dengan aktiviti mengajar siang dan malam sehingga mampu mengajar 40 buah kitab dalam sehari dengan penerangan yang terperinci dan mendalam.

Beliau mengajar matapelajaran tafsir, qiraat, hadith, mustholah hadith, fiqh, usul fiqh, faraid dan ilmu-ilmu alat seperti nahu, sorof, arudh, balaghah dan mantik.

Murid-murid

Beliau mempunyai murid-murid yang ramai yang tidak dapat dihitung jumlahnya dari negara Yaman, Hijaz, Afrika, Asia (khasnya dari negara Indonesia) dan para murid beliau kebanyakannya menjadi ulama besar di tempat mereka.

Penulisan

Qurrah al-‘Ain bi Fatawa al-Syeikh Ismail al-Zain-Buku yang menghimpunkan fatwa-fatwa beliau dalam pelbagai masalah agama.

Keluarga

Beliau mempunyai empat orang anak lelaki iaitu, Muhammad, Abdul Rahman, Abdullah dan Nizar dan mempunyai lapan orang anak perempuan.

Kematian

Beliau meninggal dunia di Mekah al-Mukarramah pada petang hari Rabu 21 Zul Hijjah tahun 1414H dan dikebumikan berhampiran dengan Asma’ binti Abu Bakar as-Siddiq di Perkuburan al-Ma’lah.  



Tiada ulasan:

Catat Ulasan