Selasa, 22 April 2014

Syeikh Dr Yusri Rusydi Sayyid Jabr al-Hasani


Syeikh Dr Yusri Rusydi Sayyid Jabr al-Hasani merupakan salah seorang ulama yang mengajar di masjid al-Azhar asy-Syarif dan dalam masa yang sama beliau juga merupakan seorang doktor pakar bedah. Beliau mengajar Sahih al-Bukhari di masjid al-Azhar dari waktu pagi sehingga waktu tengahari.



Nama dan kelahiran

Nama beliau ialah Yusri bin Rusydi bin as-Sayyid bin Jabr al-Hasani. Nasab belia bersambung sehingga Saidina Hasan bin Ali radiallahu ‘anhu. Beliau dilahirkan pada 23 September 1954M di Hayyu Raudhul Faraj, Kaherah, Mesir. Beliau bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah (Asy’ari) dari segi akidah, bermazhab asy-Syafi’e dari segi fiqh dan berthariqat asy-Syazili as-Siddiqi.



Pendidikan

Beliau memulakan alam persekolahan di sekolah kerajaan sehinggalah menyambungkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Kaherah dan mendapat pangkat ‘Jayyid Jiddan’ pada Disember 1978. Kemudian beliau mendapat Ijazah Sarjana (M.A) dalam bidang ‘Pembedahan Am juga dari Universiti Kaherah pada November 1983 dan beliau mendapat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam ‘Pembedahan Am’ juga dari Universiti yang sama pada Mei 1991. Kemudian beliau meneruskan pengajian di bidang syariah (B.A) dalam kuliah Syariah wal Qanun, Universiti al-Azhar pada tahun 1992 dan mendapat pangkat ‘Jayyid Jiddan’ pada tahun 1997.



Menghafaz al-Quran

Beliau mula menghafaz al-Quran dengan riwayat Hafs ‘an ‘Asim semasa dalam pengajian di kulah perubatan melalui guru beliau Fadhilat as-Syeikh Abdul Hakim bin Abdul Salam Khatir (sekarang bertugas sebagai panel rujukan al-Quran di Madinah) dan berjaya mengkhatamkannya secara hafazan pada tahun 1985. Guru al-Quran beliau yang lain ialah Syeikh Muhammad Adam, Syeikh Muhammad Badawi as-Sayyid yang bersambung sanad mereka dengan Rasulullah s.a.w.melalui Saidina Jibril a.s. dari Luh Mahfuz dari Allah s.w.t.



Guru-guru

1. Syeikh Muhammad Hafiz at-Tijani rahimahullah, beliau menghadiri pengajian kitab al-Muwatta’ Imam Malik selama 2 tahun (1976-1978)



2. Syeikh Muhammad Najib al-Muti’ie rahimahullah (pelengkap kepada kitab al-Majmu’ bi Syarhi al-Muhazzab), beliau menghadiri pengajian Sahih al-Bukhari, kitab Hasyiyyah Qalyubi wa ‘Umairah ‘ala al-Minhaj (Fiqh asy-Syafi’ie) dan kitab Ihya’ ‘Ulumuddin karya Imam al-Ghazali dari tahun 1978 sehingga tahun 1981.

3. Syeikh Abdullah as-Siddiq al-Ghumari al-Hasani rahimahullah, beliau menghadiri pengajian kitab as-Syamail al-Muhammadiyyah karya Imam at-Termizi pada bulan Ramadhan tahun 1980, al-Muwatta’ karya Imam Malik, al-Luma’ fi Ilmi al-Usul yang dibacakan oleh Syeikh Dr Ali Jum’ah. Beliau mengambil sanad tariqat as-Siddiqi ad-Darqawiyah as-Syazuliyyah dari gurunya ini.



4. Syeikh Ahmad al-Mursi an-Naqsyabandi rahimahullah, salah seorang dari ulama Al-Azhar. Beliau kerap menziarahinya dan mengambil banyak faedah darinya.

5. Syeikh Isma’il Sodiq al-Adawi rahimahullah, bekas imam besar Masjid Al-Azhar. Beliau menghadiri pengajian kitab al-Muwatta’ di Masjid Imam Ahmad al-Dardir dan tafsir sebahagian surah daripada al-Quran di Masjid al-Husaini. Beliau sentiasa bersama dengan gurunya ini untuk beberapa tahun dan sering bermusafir bersama ke pedalaman Mesir untuk ziarah para solihin. Beliau banyak mempelajari mengenai hakikat ilmu tasawuf darinya.



6. Syeikh Prof Dr Ali Jum’ah hafizahullah, beliau menghadiri pengajian kitab al-Waraqat karya Imam al-Juwaini, kitab Jam’u al-Jawami’, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Muqaddimah Ibnu Solah, Mughni al-Muhtaj karya al-Khatib asy-Syirbini, al-Asybah wa an-Nazair karya Imam as-Sayuthi, Kharidah al-Bahiyyah karya Imam Ahmad as-Dardir dan kitab Fath al-Qarib al-Mujib karya Imam Ibn Qasim al-Ghazi. Dr Ali Juma’ah juga merupakan sahabat seperguruan beliau dengan Syeikh Abdullah as-Siddiq al-Ghumari al-Hasani rahimahullah.



7. Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim al-Husaini rahimahullah.




8. Syeikh as-Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani rahimahullah.



9. Syeikh Muhammad Ibrahim Abdul Ba’ith al-Husaini al-Kittani hafizahullah, muhaddith dan musnid Iskandariah.



10. Prof Dr Muhammad Rabi’e al-Jauhari hafizahullah (mantan Dekan Kuliah Usuluddin, Universiti al-Azhar). Beliau menghadiri pengajian ilmu akidah.

11. Habib Ali al-Jufri hafizahullah



12. Syeikh Muhammad Hassan Osman hafizahullah, Professor Bahasa Arab di Universiti al-Azhar. Beliau menghadiri pengajian kitab al-Ajrumiyyah dan Alfiyyah Ibnu Malik dan ilmu ‘Arudh.

13. Syeikh Kamal al-‘Inani, Pensyarah Fiqh di Kuliah Syariah.  Beliau menghadiri pengajian ilmu Nahu.

Kitab-kitab yang diajar oleh Syeikh Yusri

1. Al-Syifa’ bi Ta’rif Huquq al-Mustafa karya Qadhi ‘Iyyad.

2. Asy-Syamail al-Muhammadiyyah karya Imam at-Termizi.

 3. Al-Hikam al-‘Athaiyyah karya Imam Ibnu ‘Athaillah as-Sakandari.

4. Ar-Risalah al-Qusyairiyyah karya Imam al-Qusyairi di Masjid al-Azhar.

5. Sahih al-Bukhari di Masjid al-Asyraf.

6. Sahih Muslim bi Syarhi an-Nawawi di Masjid al-Asyraf.

7. Hasyiyyah al-Baijuri ‘ala Ibnu Qasim al-Ghazi di Masjid al-Asyraf.

8. Al-Tibyan fi Adab Hamalatul Qur’an karya Imam an-Nawawi.

9. Riyadh as-Salihin karya Imam an-Nawawi di Masjid al-Husri.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan