Selasa, 21 November 2017

Al-Hafiz Muhammad bin Yusuf al-Solihi : Pengarang Subul al-Huda Wa al-Rasyad


- Al-Hafiz Muhammad bin Yusuf al-Solihi al-Syami al-Syafi’e (w. 942H) merupakan pengarang kitab al-Sirah al-Syamiyyah yang terkenal dengan nama Subul al-Huda Wa al-Rasyad Fi Sirah Khair al-‘Ibad (12 jilid).

- Kitab ini beliau karang hasil saduran lebih 300 buah kitab rujukan sebagaimana yang beliau nyatakan dalam mukadimah kitab.

- Beliau merupakan murid al-Hafiz al-Sayuthi (w. 911H) dan Syihabuddin al-Qasthalani (w. 923H), pengarang kitab Irsyad al-Sari Li Syarah Sahih al-Bukhari (10 jilid).

*Al-Imam Abdul Wahab al-Sya’rani (w. 973H) bercerita tentang beliau dalam kitab al-Thabaqat al-Sughra:

- Beliau seorang yang alim, soleh dan menguasai pelbagai lapangan ilmu.

- Beliau mengarang kitab al-Sirah al-Nabawiyyah yang masyhur. Orang ramai datang untuk menyalin kitab ini daripada beliau.

- Beliau hidup membujang, langsung tidak pernah berkahwin.

- Jika ada tetamu yang berkunjung, beliau akan menyediakan periuk belanga lalu memasak untuk tetamu tersebut.

- Beliau seorang yang lemah lembut dan baik tutur katanya. Beliau sangat dihormati oleh masyarakat.

- Beliau sangat banyak berpuasa dan bangun malam. Aku pernah bermalam di rumah beliau dan aku tidak melihat beliau tidur pada malam hari kecuali hanya sedikit.

- Jika ada anak murid beliau yang meninggal dunia dan meninggalkan anak-anak yang masih kecil, beliau akan mengambil alih tugas menjaga anak-anak tersebut.

- Beliau tidak menerima harta dan bantuan daripada penguasa. Beliau tidak makan sedikitpun makanan pemberian mereka.

- Akhlak beliau yang baik sangat banyak, masyhur di kalangan murid-muridnya dan sahabatnya.

رحمه الله تعالى

Tiada ulasan:

Catat Ulasan