Jumaat, 10 November 2017

Hadis palsu: Berkerjalah untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selamanya...

اعمل لدنياك كأنك تعيش أبداً واعمل لآخرتك كأنك تموت غداً

"Bekerjalah untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selamanya.Beribadahlah untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esoknya."

Lafaz seperti ini tidak diriwayatkan daripada Nabi sallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang ditegaskan oleh Sayyid Ahmad al-Siddiq al-Ghumari dalam Subul al-Huda dan Sayyid Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dalam ulasan beliau ke atas kitab al-Maqasid al-Hasanah. Sebaliknya ia diriwayatkan dengan sanad yang daif daripada kata-kata Abdullah bin 'Amru, itu pun lafaz yang berbeza.

Sayyid Ahmad al-Ghumari menulis dua buah risalah tentang kepalsuan hadis ini iaitu 'Iyyaka Min al-Ightirar Bi Hadith I'mal Li Dunyaka' dan ringkasannya yang berjudul 'Subul al-Huda Fi Ibthal Hadith I'mal Li Dunyaka Ka Annaka Ta'isyu Abada'.

Diriwayatkan oleh Ibnu al-Mubarak dalam az-Zuhd, Ibn Qutaibah dalam Uyun al-Akhbar dan al-Harith dalam Musnadnya dengan sanad terputus daripada Abdullah bin Amru, katanya:

"احرث لدنياك كأنك تعيش أبداً، واحرث لأخرتك كأنك تموت غداً".

"Bercucuk tanamlah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan bercucuk tanamlah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari”.

Manakala lafaz yang mirip yang diriwayatkan daripada hadis Nabi sallahu 'alaihi wasallam tetapi dengan sanad daif adalah seperti di bawah:

"اعمَلْ عملَ امريءٍ يظنّ أن لن يموت أبداً، واحذّرْ حذرَ امريءٍ يخشى أن يموت غداً."

"Beramallah seperti amalan orang yang menyangka dia tidak akan mati selama-lamanya dan berwaspadalah seperti waspada orang yang takut dia akan mati esok hari”.

Lafaz ini tak ada disebut 'dunia' dan 'akhirat'. Secara zahir, kesemuanya berkait dengan amal akhirat sahaja. Ia diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Sunannya secara lafaz panjang dan ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus secara lafaz pendek drp Abdullah bin Amru. Al-Hafiz as-Suyuti mengisyaratkannya sebagai daif dan Syeikh al-Munawi mengulas: "Demikian kerana pada sanadnya terdapat perawi majhul dan ada kelemahan”.

P/S: Sebahagian tulisan ini saya ambil dari tulisan Ustaz Khafidz Soroni dan sebahagian lagi tulisan saya sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan