Isnin, 13 November 2017

Kewarakan al-Imam al-Bukhari

- Salah satu tanda kewarakan al-Imam al-Bukhari (194H-256H) ialah beliau jarang-jarang untuk mensifatkan seseorang perawi itu sebagai pendusta atau pemalsu hadith. Bahkan beliau akan gunakan istilah yang lain seperti فيه النظر (padanya ada pertikaian), سكتوا عنه (ahli hadith mendiamkan diri daripadanya), منكر الحديث (mungkar hadithnya) yang lafaz-lafaz ini membawa maksud kritikan berat di sisi beliau.

- Al-Imam al-Bukhari pernah berkata: “Aku berharap aku bertemu dengan Allah dan tidaklah aku dihisab bahawa aku pernah mengumpat seorang pun.”

- Kata al-Hafiz al-Zahabi: “Apa yang Al-Imam al-Bukhari kata itu benar. Sesiapa yang melihat kalam beliau berkenaan al-jarh wa al-ta’dil (kritikan dan pujian kepada perawi hadith) akan mengetahui kewarakan beliau ketika berbicara tentang manusia dan keserhanaan beliau pada perawi yang beliau daifkan. Beliau kerap kali gunakan istilah منكر الحديث, سكتوا عنه, فيه النظر dan yang seumpama dengannya. Jarang sekali beliau akan kata: Si fulan itu pendusta atau memalsukan hadith. Sehinggakan beliau berkata: Jika aku kata si fulan itu ada pertikaian pada hadithnya, maka dia adalah perawi yang dituduh (berdusta/memalsukan hadith) dan sangat daif. Inilah maksud perkataan beliau ‘tidaklah aku dihisab bahawa aku pernah mengumpat seorang pun’. Ini - demi Allah - adalah setinggi-tinggi sifat warak.”

- Sifat warak ini juga sebenarnya diwarisi daripada ayahnya. Ahmad bin Hafs berkata: “Aku bertemu dengan Abu al-Hasan, yakni Ismail (ayah al-Imam al-Bukhari) ketika beliau hampir wafat. Beliau berkata: Tidaklah aku tahu bahawa ada sedirham pun daripada hartaku bersumber daripada perkara haram dan sedirham pun daripada perkara syubhah.”

Sumber:

Siyar A’lam al-Nubala’ karangan al-Hafiz al-Zahabi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan