Rabu, 15 November 2017

Ini pun engkau nak tulis?

- Al-Imam Ibnu Hibban (270H-354H) merupakan pengarang kitab al-Anwa' Wa al-Taqasim yang juga dikenali sebagai Sahih Ibnu Hibban. Beliau merupakan murid kanan kepada al-Imam Ibnu Khuzaimah (223H-311H) yang merupakan pengarang kitab Sahih Ibnu Khuzaimah.

- Ibnu Hibban sentiasa mendampingi gurunya itu sama ada ketika bermukim mahupun ketika bermusafir. Beliau akan bertanya dan mencatit apa sahaja yang diucapkan oleh Ibnu Khuzaimah. Sikap Ibnu Hibban ini kadangkala menyebabkan gurunya itu berasa rimas.

- Yaqut al-Hamawi dalam kitab Mu'jam al-Buldan [(1/497), c: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah] meriwayatkan daripada Abi Hamid Ahmad bin Muhammad bin Sa'id al-Naisaburi, beliau berkata:

"Kami bersama-sama dengan Abi Bakar Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah ketika dalam perjalanan dari Naisabur (Iran). Bersama-sama kami juga ada Abu Hatim al-Busti (Ibnu Hibban). Beliau banyak bertanya kepada Ibnu Khuzaimah sehingga menyebabkan Ibnu Khuzaimah berasa rimas.

Lalu Ibnu Khuzaimah berkata kepadanya: "Wahai si dungu, pergi jauh daripadaku. Jangan menggangguku."

Lantas Ibnu Hibban menulis kata-kata Ibnu Khuzaimah tersebut.

Lalu ditanya kepada Ibnu Hibban: "Ini pun engkau nak tulis?"

Ibnu Hibban menjawab: "Ya. Aku tulis semua yang Ibnu Khuzaimah cakap."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan