Sabtu, 25 November 2017

Penting Tahu Sejarah Ulama

- Baru-baru ini saya dengar ceramah seorang ustaz dan beliau ditanya tentang Ibnu Taimiyyah. Ustaz tersebut dengan yakinnya menyatakan bahawa Imam Fakhruddin al-Razi menulis banyak kitab menolak Ibnu Taimiyyah. Menurut ustaz tersebut juga, murid-murid Ibnu Taimiyyah pernah berdebat dengan Imam al-Razi. Dan sekali lagi beliau dengan yakinnya menyatakan bahawa Imam Taqiyuddin al-Hisni - pengarang kitab Kifayah al-Akhyar – menyain surat penangkapan Ibnu Taimiyyah. Dan menurut ustaz tersebut lagi, ketika Ibnu Taimiyyah dihakimi, salah seorang ulama besar akidah iaitu Imam al-Isfarayini turut sama hadir.

- Imam Fakhruddin al-Razi lahir pada tahun 544H dan meninggal dunia pada 606H. Ibnu Taimiyyah lahir pada tahun 661H dan meninggal dunia pada tahun 728H. Bagaimana Imam al-Razi boleh tulis kitab untuk menolak Ibnu Taimiyyah yang baru lahir 55 tahun selepas kematian beliau? Yang betulnya Ibnu Taimiyyah menulis kitab Bayan Talbis al-Jahmiyyah untuk menolak kitab Ta'sis al-Taqdis karangan al-Imam al-Razi. 

- Imam Taqiyuddin al-Hisni lahir pada tahun 752H dan meninggal dunia pada 829H. Macam mana beliau nak sain surat penangkapan Ibnu Taimiyyah sedangkan Ibnu Taimiyyah dah lama meninggal sebelum beliau lahir? Yang betulnya beliau ada menulis kitab menolak Ibnu Taimiyyah yang bertajuk Daf'u Syubah Man Syabbah Wa Tamarrad.

- Imam al-Isfarayini yang terkenal dalam bidang akidah ialah Imam Abu Ishaq al-Isfarayini. Beliau meninggal dunia pada tahun 418H. Jarak antara beliau dan Ibnu Taimiyyah beratus tahun lamanya.

- Oleh sebab itu, dalam ilmu hadith sangat ditekankan untuk mengetahui sejarah hidup (معرفة تواريخ الرواة) perawi hadith dan ulama sehingga diletakkan bab khusus tentang cabang ilmu ini (bab yang ke-60 dalam Muqaddimah Ibnu al-Solah). Sejarah hidup ini meliputi tarikh lahir, tarikh meninggal dunia dan peristiwa penting berkaitan perawi hadith dan ulama. Kalau tidak mampu ingat tahun lahir dan meninggal dunia secara terperinci, sekurang-kurangnya anda mampu membezakan yang mana ulama yang terdahulu dan yang mana yang terkemudian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan