Selasa, 12 Disember 2017

Jangan Bermudah-Mudah beri Gelaran

- Setelah saya baca kitab al-Ittijahat al-Hadithiyyah karangan Syeikh Mahmud Sa’id Mamduh, apa yang saya dapati Syeikh Mahmud sangat menekankan disiplin pemberian gelaran keilmuan kepada seseorang ulama terutamanya gelaran keilmuan dalam bidang hadis. 

- Gelaran al-Muhaddith antara gelaran yang hampir sewenang-wenangnya diberikan kepada sesiapa sahaja daripada kalangan ulama yang terlibat dengan disiplin ilmu hadis.  Ulama yang terlibat dalam periwayatan sanad-sanad hadis digelar al-Muhaddith walaupun sepatutnya digelar al-Musnid sahaja. Begitu juga ulama yang alim dalam qawaid ilmu hadis turut digelar sebagai al-Muhaddith walaupun sepatutnya hanya digelar alim hadis sahaja kerana tidak mampu mempraktikkan qawaid ilmu hadis secara bebas.

- Al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami (m. 974H) antara ulama yang seringkali digelar al-Hafiz meskipun menurut Syeikh Mahmud dalam al-Ittijahat al-Hadithiyyah (1/588), Imam Ibnu Hajar al-Haitami adalah seorang faqih dan bukannya daripada kalangan muhaddithin. Ini antara punca kritikan Syeikh Mahmud terhadap Syeikh Abdul Hayy al-Laknawi (m. 1304H) yang berpegang dengan penilaian hadis Imam Ibnu Hajar al-Haitami sedangkan beliau bukan ahlinya.

- Syeikh Isma’il al-‘Ajluni (m. 1162H) yang merupakan pengarang kitab Kasyf al-Khafa’ antara ulama yang sering digelar al-Muhaddith dan ada yang menggelarkan beliau sebagai al-Hafiz. Kata Syeikh Mahmud dalam al-Ittijahat al-Hadithiyyah (1/90): “Beliau (al-‘Ajluni) bukanlah daripada kalangan nuqqad (pengkritik hadis). Beliau hanyalah menyimpul dan bertaklid kepada (penilaian) ahli hadis sebelum beliau.”

- Dalam kitab al-Mukhtasar Fi Maratib al-Musytaghilin Bi al-Hadith Fi al-Qarn al-Rabi’ ‘Asyar, pembaca akan mendapati Syeikh Mahmud tidak bermudah-mudah dan sewenang-wenangnya memberi gelaran hatta kepada guru-guru beliau sendiri.

- Begitu halnya di Malaysia apabila ustaz fulan dengan mudahnya digelar sebagai pengkaji hadis atau pakar hadis meskipun apa yang ustaz tersebut lakukan hanyalah menukilkan tashih dan tad’if syeikh fulan sahaja!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan