Isnin, 25 Februari 2019

Istilah Ilmu Hadis 31: Masyhur (المَشْهُورُ)


Hadis yang bilangan perawinya tidak kurang daripada tiga orang di setiap tabaqat sanadnya, atau terdapat pertambahan di sebahagian tabaqat sanad tetapi bukan pada keseluruhannya, atau terdapat pertambahan pada keseluruhannya dengan syarat tidak sampai kepada had mutawatir.

Dinamakan ‘Masyhur’ dengan sebab ia dikenali dalam kalangan orang ramai kerana diriwayatkan oleh sekurang-kurangnya 3 orang perawi di setiap tabaqat, dan 3 orang sudah dianggap satu jamaah.

Contohnya:

Hadis Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam melakukan qunut selama sebulan selepas rukuk mendoakan kehancuran golongan Ra’I dan Zakwan.

Ia diriwayatkan daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam oleh tiga orang Sahabat radiallahu ‘anhum iaitu: Anas bin Malik, Ibnu ‘Abbas dan Khafaf bin Ayma’ al-Ghirafi radiallahu ‘anhum.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik radiallahu ‘anhu oleh Qatadah, Abu Mijliz, Ishaq bin ‘Abdullah dan ‘Asim.

Diriwayatkan daripada Qatadah oleh Sa’ad bin Abi ‘Arubah, Syu’bah dan Yazid bin Zuray’i.

Dan daripada Syu’bah diriwayatkan oleh sekumpulan perawi yang ramai.

Begitu juga diriwayatkan daripada Abu Mijliz oleh Sulayman al-Taymi dan selainnya, dan diriwayatkan daripada Sulayman oleh sekumpulan perawi yang ramai.

Diriwayatkan juga daripada Ishaq oleh Malik, Hammad dan selain dari mereka, dan diriwayatkan daripada Malik oleh sekumpulan perawi yang ramai.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 508]



Tiada ulasan:

Catat Ulasan