Khamis, 7 Februari 2019

Kedudukan kata-kata al-Imam al-Haithami dalam kitab beliau Majma’ al-Zawaid: ‘Perawi-perawinya thiqah’ - Bahagian 2


- Meskipun seseorang perawi itu daripada perawi Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, masih perlu lagi kepada pengkajian terhadap periwayatannya dan hal ehwal perawi tersebut.

-Misalannya perawi bernama Isma’il bin Abi Uwais. Dia telah dikritik oleh beberapa orang imam hadis sedangkan Imam al-Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan hadis daripadanya.

- Kata al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Hadyu al-Sari: “Kecuali mereka berdua tidak banyak mengeluarkan hadisnya. Al-Bukhari tidak mengeluarkan hadis yang dia bertafarrud (bersendirian) meriwayatkannya kecuali hanya dua buah hadis. Adapun Muslim, beliau mengeluarkan hadis Isma’il bin Abi Uwais lebih sedikit daripada apa yang dikeluarkan oleh al-Bukhari. Baki imam hadis yang lain (Abu Daud, al-Termizi dan Ibnu Majah) meriwayatkan hadis daripadanya kecuali al-Nasa’ie kerana beliau mendaifkannya....Kami meriwayatkan dalam Manaqib al-Bukhari dengan sanad yang sahih bahawa Isma’il mengeluarkan kitab catatan hadis beliau dan mengizinkan al-Bukhari memilih hadis daripadanya serta memaklumkan kepadanya hadis yang al-Bukhari ambil daripadanya supaya beliau dapat menyampaikan hadis tersebut (kepada orang lain) dan meninggalkan hadis-hadis yang lain (yang tidak dipilih oleh al-Bukhari). Beliau menyedari bahawa hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari daripada beliau ialah hadis yang sahih daripada hadis-hadisnya kerana al-Bukhari mengambil terus daripada catatannya sendiri. Disebabkan itu, tidak boleh berhujah dengan hadis beliau (Isma’il bin Abi Uwais) kecuali apa yang ada dalam kitab al-Sahih (Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim) disebabkan kritikan al-Nasa’ie dan imam hadis yang lain terhadapnya kecuali jika beliau bersepakat dengan perawi yang lain (dalam meriwayatkan sesuatu hadis), maka ketika itu boleh diambil kira hadisnya.”

- Jelas daripada ini bahawa perawi semisal Isma’il bin Abi Uwais walaupun daripada perawi Sahihain tidak semestinya hadis-hadisnya di luar Sahihain akan turut sahih.

- Kata-kata al-Haithami: ‘perawi-perawinya dithiqahkan (رجاله موثقون)’ menunjukkan berlakunya khilaf pada menghukum perawi-perawi tersebut dan tidak lazim daripada hukum al-Haithami ini bahawa sahih hadis tersebut sebagaimana yang telah lalu disebutkan. Ini kerana bagi setiap hadis ada bentuk kritikannnya yang tersendiri. Boleh jadi ada satu sanad yang para perawinya thiqah atau daripada perawi Sahihain yang tidak mempunyai ‘illah yang matan hadisnya sahih dan boleh jadi sanad yang sama dengan matan yang berbeza tetapi daif disebabkan ‘illah yang wujud di dalamnya.

- Misalnya hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim dalam Ma’rifah ‘Ulum al-Hadis daripada jalur Muhammad bin Muhammad bin Hayyan al-Tammar daripada Abi al-Walid al-Thayalisi daripada Malik bin Anas daripada Ibnu Syihab daripada ‘Urwah daripada ‘Aisyah, beliau berkata:

“Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah langsung mencela makanan. Jika baginda menyukainya beliau makan. Jika beliau tidak menyukainya beliau tinggalkan.”

Kata al-Hakim: “Hadis ini berlegar di kalangan para imam hadis dan perawi-perawi thiqah. Ia adalah batil daripada hadis Malik.”

Ini kerana hadis ini tidak dikenali daripada riwayat Malik. 

Sebenarnya ia adalah daripada riwayat al-A’masy daripada Abi Hazim daripada Abu Hurairah sebagaimana yang dikeluarkan oleh al-Syaikhain, Abu Daud, al-Termizi, Ibnu Majah, Ahmad, Ibnu Hibban dan selain mereka.

Tetapi sanad Imam Malik yang disebutkan di atas telah diriwayatkan dengan sanad tersebut beberapa buah hadis yang  lain yang berada pada tahap kesahihan yang tertinggi.

Bersambung...
__________________

*Tambahan

Menurut al-Hakim, beliau cuba mencari daripada siapakan punca kekeliruan meletakkan sanad ini tetapi beliau tidak menemuinya. Berat sangkaan beliau ia berpunca daripada Muhammad bin Muhammad bin Hayyan al-Tammar. Ibnu Hayyan al-Tammar ini menurut al-Hakim adalah seorang perawi yang soduq lagi maqbul. Ibnu Hibban menyebutkan beliau dalam kitab al-Thiqat dan menyatakan beliau kadang kala melakukan kesilapan. Boleh jadi ini adalah salah satu daripada kesilapan beliau. Wallahu a’lam.

Sanad hadis Muhammad bin Muhammad bin Hayyan al-Tammar daripada Abi al-Walid al-Thayalisi daripada Malik bin Anas daripada Ibnu Syihab daripada ‘Urwah daripada ‘Aisyah sebenarnya adalah untuk matan:

ما ضرب رسول الله صلى الله عليه وسلم بيده امرأة  قط....

“Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah langsung memukul wanita dengan tangannya....”

Ibnu Hayyan al-Tammar tersilap apabila meletakkan matan yang lain bagi sanad tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan