Sabtu, 13 Julai 2019

Manhaj Kitab Sunan al-Nasai’i


- Imam al-Nasa’ie (m. 303 H) menamakan kitab ini sebagai al-Mujtaba Min al-Sunan.

- Dikatakan bahawa kitab ini adalah ringkasan kepada kitab beliau al-Sunan al-Kubra. Tetapi yang tepatnya adalah kitab ini adalah kitab yang tersendiri yang tidak berkaitan dengan al-Sunan al-Kubra kerana penulisnya meletakkan riwayat-riwayat baru yang tidak terdapat dalam al-Sunan al-Kubra serta cara penyusunan dan tajuk-tajuk bab di dalamnya juga berbeza.

- Kitab ini dikenali sebagai al-Sunan al-Sughra untuk membezakannya dengan al-Sunan al-Kubra. Selain itu ia juga dikenali dengan nama Sunan al-Nasa’ie, nisbah kepada pengarangnya dan dengan nama inilah kitab ini lebih dikenali.

- Kitab ini mengandungi hadis-hadis sahih, hasan dan sedikit hadis daif. Di kalangan Sunan al-Arba’ah, kitab ini paling sedikit hadis daifnya dan paling sedikit para perawinya yang dikritik.

- Imam al-Nasa’ie tidak menjelaskan manhaj beliau dalam kitab ini tetapi berdasarkan penelitian, beliau ingin mengeluarkan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh perawi-perawi thiqah.

- Beliau sangat jarang mengeluarkan hadis perawi daif sebagai hadis utama. Beliau lebih mengutamakan mengeluarkan hadis dengan sanad yang kuat walaupun sanadnya lebih panjang meskipun beliau mempunyai hadis yang lain yang lebih pendek tetapi tidak kuat.

- Beliau tidak banyak menyebutkan hukum beliau terhadap hadis dalam kitab ini kecuali hanya beberapa tempat sahaja dalam kitab ini.

- Selain itu, beliau juga tidak banyak menyentuh tentang ‘illal yang mencacatkan kesahihan hadis. Meskipun begitu terdapat beberapa tempat yang beliau sebutkan tarjih beliau terhadap hadis yang berlaku khilaf antara riwayat marfu’ atau mauquf  dan mursal  atau mausul.

[Al-Ta'rif al-Wajiz Bi Manahij Asyhar al-Musannifin Fi al-Hadith, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan