Isnin, 8 Julai 2019

Para Ulama Bergolok Bergadai Untuk Ilmu

1 - Amir al-Mu'minin Fi al-Hadith Syu'bah bin al-Hajjaj berkata: 

"Aku menjual besen ibuku dengan harga tujuh dinar (untuk menampung belanja pengajianku)"

[Tazkirah al-Huffaz, al-Zahabi]

2 - Kata Abu Hatim al-Razi:

"Aku tinggal di Basrah selama lapan bulan iaitu ketika tahun 214 (Hijrah). Aku berhasrat untuk tinggal selama setahun (di situ). Wang belanjaku telah habis lalu aku menjual pakaian yang berada di badanku satu demi satu sehinggalah aku tidak mempunyai wang lagi (kerana habis pakaian yang telah dijual)."

3 - Abu Hatim al-Razi berkata lagi:

"Aku mengembara ke Mesir. Bilamana aku melihat banyaknya ilmu di situ aku berazam untuk tinggal di situ. Aku mengirim kepada seorang juru tulis di Mesir untuk menyalin bagiku kitab-kitab al-Syafi'e. Di Mesir aku telah beli dua helai pakaian yang aku ingin menjahit keduanya untuk diriku apabila aku sudah pulang ke negeriku kelak. Bilamana aku telah berazam untuk menyalin kitab-kitab al-Syafi'e, aku mendapati aku sudah tidak mempunyai wang lagi. Maka aku jual kedua-dua pakaian tersebut dengan harga 60 dirham dan aku beli kertas dengan harga 10 dirham. Aku berikan baki wang yang aku ada kepada juru tulis yang menyalin kitab-kitab al-Syafi'e untukku." 

[Al-Jarh Wa al-Ta'dil, Ibnu Abi Hatim]

4 - Syeikh Bakri al-Katib berkata ketika menceritakan biografi Syeikh Ahmad al-Hajjar:

"Beliau - semoga Allah merahmatinya - sangat suka memiliki kitab-kitab. Sehinggakan kami pernah mendengar (kisah) beliau terlihat sebuah kitab dijual dan tidak ada padanya wang. Beliau memakai beberapa helai pakaian ketika itu lalu beliau tanggalkan sebahagiannya dan beliau menjualnya. Beliau terus membeli kitab tersebut ketika itu juga."

[I'lam al-Nubala' Bi Tarikh Halab al-Syabha', Muhammad Raghib al-Tabbakh]

5 - Kata Abu Zaid al-Dabbagh ketika menceritakan biografi Abu Ja'far Ahmad al-Qusari (القصري):

"Beliau kadang-kadang menjual sebahagian pakaiannya dan membeli dengan wang tersebut kitab dan helaian kertas untuk menyalin kitab."

[Ma'alim al-Iman Fi Ma'rifah Ahl al-Qairawan, al-Dabbagh]

6 - Ali bin Harb berkata:

"Kami bertemu dengan Imam Zaid bin al-Hubbab al-Khurasani  (untuk menuntut ilmu). Beliau tidak mempunyai sebarang pakaian untuk bertemu dengan kami. Beliau menjadikan pintu sebagai penghadang antara kami dengannya. Beliau menyampaikan hadis kepada kami dari balik pintu tersebut."

[Siyar A'lam al-Nubala', al-Zahabi]

 7 - 'Umar bin Hafs al-Asyqar berkata:

"Kami kehilangan Imam al-Bukhari ketika hari-hari kami mempelajari hadis di Basrah. Kami mencarinya dan kami mendapati beliau berada di dalam rumahnya dalam keadaan tidak berpakaian. Telah habis segala (hartanya) sehingga tidak tinggal apa pun. Kami lalu berkumpul dan menghimpunkan wang. Kemudian kami membelikan baginya pakaian dan memberikan kepadanya pakaian tersebut. Beliau lalu keluar untuk mengajarkan hadis kepada kami."

[Tarikh Baghdad, al-Khatib al-Baghdadi]

8 - Abu al-'Abbas al-Jurjani berkata: 

"Abu Ishaq al-Syirazi tidak memiliki sesuatu pun daripada perkara keduniaan. Kefakiran beliau sehingga ke tahap beliau tidak mempunyai makanan dan pakaian. Kami bertemu dengannya ketika beliau tinggal di al-Qathi'ah (sebuah tempat di Baghdad). Beliau bangun bertemu dengan kami dalam keadaan separuh berdiri. Beliau tidak berdiri betul kerana tidak berpakaian. Dibimbangi terlihat sesuatu (daripada auratnya)."

[Thabaqat al-Syafi'eyyah al-Kubra, al-Subki]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan