Dari sudut istilah:
Maksud para ahli hadis dengan al-Dhabt ialah perawi
itu disifati dengan kewaspadaan, tidak lalai, dan mempunyai hafalan yang baik
jika dia meriwayatkan daripada hafalannya dan mempunyai ketelitian jika dia
meriwayatkan daripada kitabnya, serta mengetahui maknanya jika dia meriwayatkan
hadis dengan makna (bukan lafaz asal).
Ibn Hibban berkata: “Iaitu memahami ilmu hadis sehingga
tidak menjadikan hadis Mauquf sebagai Marfu', tidak menjadikan hadis
Mursal sebagai Mausul atau melakukan tashhif (kesilapan)
pada apa yang didengarinya.”
Jenis-jenis Al-Dhabt:
Para pakar hadis berpendapat untuk membahagikan al-Dhabt
kepada dua bahagian, iaitu: Dhabt al-Sadr dan Dhabt al-Kitab. Takrifkan
setiap satu daripadanya seperti berikut:
1 - Dhabt al-Sadr: Iaitu hafalan, di mana
perawi mengukuhkan apa yang didengarnya serta mampu untuk mengingatnya kembali
apabila diperlukan, sehinggakan ia sukar untuk hilang daripada daya ingatannya.
Syarat bagi jenis dhabt ini ialah perawi itu mestilah
seorang yang teguh hatinya, sentiasa tajam fikirannya, cepat tanggap, bukan
seorang yang lalai yang tidak dapat membezakan antara yang benar dengan yang
salah, seperti orang yang tidur atau yang pelupa kerana orang yang disifati
dengan sifat-sifat tersebut tidak boleh dipercayai dan lebih-lebih lagi untuk
dijadikan sandaran.
2 - Dhabt al-Kitab: Yang dimaksudkan dengannya
ialah pemeliharaan kitab di mana perawi menulis riwayat-riwayatnya, daripada
sebarang kecacatan yang mungkin berlaku, bermula dari waktu mendengar dan
menulis sehinggalah dia menyampaikan dan meriwayatkannya.
Ia juga merangkumi usaha menghalang sebarang perubahan pada
isinya, terutamanya jika dia hanya bergantung padanya ketika meriwayatkan
hadis, sama ada dari sudut penambahan, atau pengurangan, atau penukaran.
Selain itu, dia juga perlu merujuk kembali kepada apa yang
mungkin tersilap padanya sama ada pada matan hadis atau sanadnya dari segi
lafaz, atau nama dan tanpa menerima sebarang bentuk talqin[1].
Sesungguhnya, orang seperti ini dan yang seumpamanya,
riwayat mereka akan diterima daripada kitab-kitab mereka yang sahih
(terpelihara), walaupun mereka tidak dikurniakan hafalan dan pengetahuan hadis
seperti mana yang dikurniakan kepada orang lain.
Cara Mengetahui Dhabt Perawi:
Diketahui sama ada seorang perawi itu dhabit dengan
membandingkan riwayatnya dengan riwayat para perawi thiqah yang terkenal
dengan dhabt dan ketelitian.
Sekiranya kita dapati riwayatnya bersesuaian – walaupun dari
sudut makna – dengan riwayat mereka, atau bersesuaian pada kebanyakannya dan
percanggahan itu jarang berlaku, maka kita akan mengetahui pada ketika itu
bahawa dia seorang yang dhabit.
Kecacatan Dhabt:
Sesungguhnya bentuk-bentuk kecacatan dhabt adalah
banyak dan antara yang terpenting ialah:
1 - Al-Ikhtilat dan al-Taghyir (Kekeliruan dan
Perubahan):
Al-Ikhtilat ialah kerosakan akal atau perubahannya.
Kebanyakan perkara itu berlaku (iaitu al-Ikhtilat dan al-Taghyir)
selepas lanjut usia dan ia juga boleh berpunca daripada sebab yang lain.
Para ahli hadis berpendapat untuk menerima apa yang
diriwayatkan oleh perawi sebelum ikhtilatnya dan menolak apa yang
diriwayatkannya selepas ikhtilat atau apa yang diragui keadaannya, di
mana tidak diketahui adakah ia sebelum ikhtilat atau selepasnya.
Ini perlu mengambil kira peranan sebahagian murid kepada perawi
yang mukhtalit (mengalami ikhtilat) yang terdiri daripada kalangan perawi
thiqah yang sentiasa mendampinginya dan yang mampu membezakan hadisnya
yang sahih daripada yang lain, di samping qarinah-qarinah
(petunjuk-petunjuk) lain yang mengesahkan keselamatan riwayat tersebut.
2 - Periwayatan Hadis Gharib dan Afrad:
Ini berlaku selepas penelitian riwayat-riwayat perawi dan
perbandingannya dengan riwayat-riwayat lain, seperti terlalu banyak
meriwayatkan hadis Syaz dan Munkar.
Periwayatan seorang perawi thiqah secara bersendirian (tafarrud)
kadangkala tidak menjejaskannya sehinggalah ia menjadi terlalu kerap.
3 - Al-Ghalat dan al-Wahm (Kesalahan dan
Kekeliruan):
Al-Wahm (kekeliruan) boleh berlaku pada hafalan
sepertimana ia boleh berlaku pada penulisan.
Sesiapa yang banyak kekeliruan dan kesalahannya, maka keadaannya
akan diteliti, riwayatnya diberi perhatian dan riwayatnya ditulis untuk tujuan i'tibar
(perbandingan) dan mutaba'ah (sokongan).
Riwayatnya boleh jadi diterima jika ia turut datang melalui sanad-sanad
yang lain, sekiranya baki syarat-syarat periwayatan yang lain dipenuhi.
Akan tetapi, kesilapan itu boleh jadi mendominasi hadis
perawi sehingga lebih banyak daripada betulnya dan kadangkala lebih teruk
daripada itu, maka orang seperti ini hadisnya ditolak.
Kebanyakan al-ghalat (kesalahan) dan al-wahm
(kekeliruan) berlaku pada: Al-Idraj (sisipan dalam hadis), al-Qalb
(pemutarbalikan hadis), atau memafu’kan hadis Mursal dan
sebaliknya.
4 - Al-Sahwu dan al-Ghaflah (Kelupaan dan
Kelalaian):
Terutamanya apabila perawi meriwayatkan daripada hafalannya
dan dia tidak mempunyai kitab yang terjaga.
Termasuk dalam kategori ini ialah sesiapa yang dikenali
bermudah-mudah (tasahul) dalam proses mendengar, atau menyalin apa yang
diriwayatkannya, kemudian meriwayatkan daripadanya.
Contohnya, dia bergantung pada sebuah kitab yang tidak
disemak banding dengan naskhah-naskhah asal yang didengar daripada periwayat
asal (pemilik kitab tersebut) dan begitu juga sesiapa yang dikenali
bermudah-mudah dalam meriwayatkan hadis.
Sumber:
Al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh Sayyid
Abdul Majid al-Ghauri.
[1] Seorang perawi membaca kepada guru apa yang bukan daripada hadis guru tersebut, lalu mendakwa bahawa ia adalah daripada hadis guru itu, sambil cuba untuk mengelirukannya.
Guru itu selepas itu sama ada akan menyetujuinya, iaitu meriwayatkannya, atau menafikannya dan berkata: "Ini bukan daripada hadisku."
Adapun jika dia menyetujuinya, sama ada dia seorang yang fasik yang meriwayatkan hadis yang tidak didengarinya sendiri atau dia seorang yang sangat lalai sehingga akalnya cuai dan pemikirannya bercelaru sehingga tidak dapat membezakan hadis miliknya atau bukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan