Ahad, 17 April 2016

Status Hadis: Mengingati Mati Sebanyak 20 kali Setiap Hari

هَلْ يَكُونُ مَعَ الشُّهَدَاءِ غَيْرُهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ؟ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ نَعَمْ: مَنْ ذَكَرَ الْمَوْتَ كُلَّ يَوْمٍ عِشْرِينَ مَرَّةً.

 “Adakah akan bersama para syuhada’ golongan lain selain mereka pada hari kiamat? Maka nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ya, sesiapa yang mengingati mati setiap hari sebanyak 20 kali.”

Hadis ini disebutkan oleh al-Ghazali dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din.

Menurut al-‘Iraqi dalam Takhrij Ahadith Ihya’, al-Fattani dalam Tazkirah al-Maudhu’at (ms. 213) dan al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu’ah (no. 175), tidak ditemui baginya sanad yang bersambung sehingga nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Oleh itu hadis ini dianggap sebagai hadis yang tidak ada sumber asal baginya (la asla lahu).

Imam Muhamamd Murtadha al-Zabidi dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin menyebutkan hadis berikut sebagai ganti hadis di atas:

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، لَيْسَ الشَّهِيدُ إِلَّا مَنْ قُتِلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، فَقَالَ: يَا عَائِشَةُ، إِنَّ شُهَدَاءَ أُمَّتِي إِذًا لَقَلِيلٌ، مَنْ قَالَ فِي يَوْمٍ خَمْسَةً وَعِشْرِينَ مَرَّةً: اللَّهُمَّ بَارِكْ فِي الْمَوْتِ، وَفِيمَا بَعْدَ الْمَوْتِ، ثُمَّ مَاتَ عَلَى فِرَاشِهِ، أَعْطَاهُ اللَّهُ أَجْرَ شَهِيدٍ.

Daripada Aisyah, beliau berkata: “Wahai Rasulullah, bukanlah seorang itu dikira sebagai syahid kecuali sesiapa yang terbunuh di jalan Allah.”

Rasululullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Wahai, sesungguhnya syuhada’ umatku jika demikian sangat sedikit. Sesiapa yang mengucapkan setiap hari sebanyak 25 kali:

 اللَّهُمَّ بَارِكْ فِي الْمَوْتِ، وَفِيمَا بَعْدَ الْمَوْتِ

 “Ya Allah, berkatilah ketika kematianku dan selepas kematianku.”

Kemudian dia mati di atas katilnya, Allah akan memberikannya pahala syahid.”

Diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath (no. 7676).

Namun begitu hadis ini juga sama ada sangat daif ataupun palsu. Dalam sanadnya ada perawi bernama Muhammad bin Musa al-Istakhri (محمد بن موسى الإصطخري). Menurut Ibnu Hajar dalam kitab Lisan al-Mizan (7/541), dia seorang perawi yang tidak dikenali (majhul) dan meriwayatkan hadis yang palsu. Begitu juga yang disebutkan oleh Ibnu ‘Arraq dalam kitab Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah (1/115). Dalam sanadnya juga terdapat perawi-perawi lain yang tidak dikenali sebagaimana kata al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (5/390).

Cukuplah hadis ini sebagai ganti kepada dua hadis di atas:

أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَادمِ اللَّذَّاتِ يَعْنِي الْمَوْتَ.

“Banyakkanlah mengingati penghancur segala kenikmatan, iaitu kematian.”

Riwayat al-Tirmizi (no. 2307) dan kata beliau: “Hadis ini hasan gharib.”

 Wallahu a’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan