Selasa, 26 April 2016

Hadis Kelebihan Puasa Hari Isnin Dan Khamis

Hadis Pertama

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ الِاثْنَيْنِ؟ قَالَ: ذَاكَ يَوْمٌ وُلِدْتُ فِيهِ، وَيَوْمٌ بُعِثْتُ أَوْ أُنْزِلَ عَلَيَّ فِيهِ.

Daripada Abi Qatadah, Nabi sallahu ‘alaihi wasallam ditanya tentang puasa hari Isnin. Baginda menjawab: 

“Pada hari tersebut aku dilahirkan dan hari aku diutuskan sebagai Rasul atau diturunkan kepadaku al-Quran.”

Riwayat Muslim (no. 1162).

Huraian Hadis

1 - Sahabat yang bertanya kepada baginda tentang puasa hari Isnin tersebut ialah Umar bin al-Khattab sebagaimana yang disebutkan namanya secara jelas oleh al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra.

2 - Soalan Umar bin al-Khattab tersebut ialah soalan berkenaan kelebihan dan hikmah berpuasa pada hari Isnin.

3 - Perkataan 'atau' pada bahagian hadis 'hari aku diutuskan sebagai Rasul atau diturunkan kepadaku al-Quran' ialah syak daripada perawi hadis yang tidak pasti sama ada baginda berkata: 'hari aku diutuskan sebagai Rasul' atau baginda berkata: 'diturunkan kepadaku al-Quran'. Kedua-duanya membawa maksud yang sama sahaja walaupun berbeza lafaznya.

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini menunjukkan kelebihan berpuasa pada hari Isnin pada setiap minggu kerana ia adalah hari yang agung kerana Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam dilahirkan pada hari tersebut dan pada hari ini jugalah baginda diutuskan sebagai Rasul dan diwahyukan al-Quran kepada baginda. Ini adalah satu kenikmatan yang besar yang Allah khususkan pada hari ini yang seharusnya disyukuri dengan melakukan ketaatan kepada Allah melalui berpuasa pada hari tersebut.

2 - Imam Ibnu Ruslan menyebutkan dalam Syarah Sunan Abu Daud: 

"Kata ulama: Berkumpulnya pada hari Isnin itu tujuh perkara: Pada hari ini baginda dilahirkan, diutuskan (sebagai rasul), diturunkan wahyu, baginda diwafatkan, baginda diisrakkan mengikut pendapat sebahagian ulama, baginda masuk ke Madinah dan amalan dipersembahkan (kepada Allah)...Ini menunjukkan kelebihan hari ini." 

Hadis Kedua

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

"Ditunjukkan amalan-amalan itu (oleh para malaikat kepada Allah Ta'ala) pada hari Isnin dan Khamis, maka saya suka jika amalanku itu ditunjukkan dalam keadaan aku berpuasa."

Riwayat al-Termizi (no. 747) dan beliau berkata: “Hadis hasan gharib.

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini menunjukkan hikmah dianjurkan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis kerana kerana amalan manusia dipersembahkan  kepada Allah pada dua hari tersebut, disamping kerana hari Isnin merupakan hari baginda dilahirkan dan diutuskan menjadi Rasul.

2 - Baginda suka agar amalan baginda dipersembahkan dalam keadaan berpuasa agar amalan tersebut dapat menjadi sebab diangkat darjat baginda di sisi Allah.

Hadis Ketiga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَصُومُ الِاثْنَيْنِ وَالْخَمِيسَ، فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّكَ تَصُومُ الِاثْنَيْنِ وَالْخَمِيسَ؟ فَقَالَ: إِنَّ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالْخَمِيسَ يَغْفِرُ اللَّهُ فِيهِمَا لِكُلِّ مُسْلِمٍ، إِلَّا مُتَهَاجِرَيْنِ، يَقُولُ: دَعْهُمَا حَتَّى يَصْطَلِحَا.

Daripada Abu Hurairah, (beliau meriwayatkan) bahawa sesungguhnya Nabi sallahu ‘alaihi wasallam berpuasa ada hari Isnin dan Khamis.

Sahabat bertanya kepada baginda: “Wahai Rasulullah, (mengapa) engkau berpuasa pada hari Isnin dan Khamis?”

Baginda menjawab: “Sesungguhnya Allah akan mengampunkan setiap Muslim pada  hari Isnin dan Khamis melainkan dua orang yang saling memutuskan hubungan. Allah berfirman (kepada malaikat): Kecualikan kedua mereka (daripada mendapat pengampunan dosa) melainkan setelah mereka berdua saling berdamai.”

Riwayat Ibnu Majah (no. 1740). Al-Hafiz al-Busiri mensahihkan hadis ini dalam kitab Misbah al-Zujajah.

Pengajaran Hadis:

1 - Kelebihan hari Isnin dan Khamis yang merupakan hari pengampunan dosa bagi setiap Muslim melainkan orang yang memutuskan hubungan kerana permusuhan.

2 - Bermusuhan dan memutuskan hubungan merupakan dosa besar yang tidak diampunkan dosanya oleh Allah melainkan setelah mereka berdamai.

3 - Imam al-Sindi menyebutkan: “Ada hadis yang menunjukkan bahawa dipersembahkan amalan (kepada Allah pada hari Isnin dan Khamis. Seolah-olah Allah mengampunkan Muslim itu ketika dipersembahkan amalan mereka kepadaNya.”

Hadis Keempat

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ.

Daripada Aisyah, beliau berkata: 

“Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam berusaha keras untuk berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.”

Riwayat al-Tirmizi dalam al-Jami’ (no. 745) dan al-Syamail (304), al-Nasa’ie (no. 2187) dan Ibnu Majah (no. 1739). Al-Tirmizi berkata: “Hadis hasan gharib.”

Pengajaran Hadis:

1 - Penekanan untuk melaksanakan puasa hari Isnin dan Khamis kerana Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam begitu bersungguh-sungguh untuk melaksanakan puasa pada dua hari tersebut kerana keistimewaan dua hari tersebut sebagaimana yang terkandung dalam tiga hadis sebelum ini.

*Tulisan ini saya telah kemas kini semula pada 3/9/2021. Alhamdulillah. Semoga bermanfaat. 

Baca juga: 

Hadis Kelebihan Solat Lima Waktu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan