Jumaat, 15 April 2016

Status Hadis: Talak Menggegarkan Arasy

تَزَوَّجُوا وَلَا تُطَلِّقُوا فإِنَّ الطَّلاقَ يَهْتَزُّ مِنْهُ العَرْشُ

“Berkahwinlah dan jangan kamu bercerai. Sesungguhnya penceraian itu menggoncangkan arasy.”

Sumber Hadis

Hadis ini diriwayatkanlah oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad, Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil, Abu Nu’aim dalam Tarikh Asbahan dan al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus melalui sanad:

‘Amru bin Jumai’ daripada Juwaibir daripada al-Dahhak daripada al-Nazzal bin Sabrah daripada ‘Ali bin Abi Thalib daripada Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam.

Penilaian Hadis

Dalam sanadnya ada dua perawi yang sangat bermasalah: 

Pertama, ‘Amru bin Juma’i yang dinilai oleh Yahya bin Ma’in sebagai pendusta. Al-Daraqutni menilainya sebagai matruk (ditinggalkan hadisnya). Al-Bukhari menilainya mungkar al-hadis (perawi yang tidak halal diriwayatkan hadis daripadanya). Ibnu ‘Adi mengatakan bahawa dia dituduh memalsukan hadis. 

Kedua, gurunya, Juwaibir juga matruk.

Ia dinilai palsu oleh Ibnu Jauzi dalam al-Maudhu’at dan diterima tanpa bantahan oleh al-Sayuthi dalam al-Laali al-Masnu’ah dan Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah. 

Ulama lain yang menghukumkannya sebagai palsu ialah al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu’ah, Ahmad al-Siddiq al-Ghumari dalam al-Mughir, Abdul Aziz al-Siddiq al-Ghumari dalam al-Tahani, Dr Khaldun al-Ahdab dalam Zawaid Tarikh Baghdad dan lain-lain.

Syeikh Ahmad al-Siddiq al-Ghumari berhujah kepalsuan hadis ini dengan alasan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah menceraikan isterinya dan begitu juga dengan para sahabat.

Cuma agak menghairankan, al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah dan al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa cuma sekadar menilainya sebagai daif. Mungkin daif yang mereka maksudnya adalah sangat daif dan mereka berdua tidak mahu secara pasti menganggapnya sebagai palsu. Walau bagaimanapun lebih baik untuk dielakkan penggunaan hadis sebegini kerana ahli hadis telah meletakkan syarat-syarat beramal dengan hadis daif yang mana salah satunya mestilah hadis tersebut tidak terlalu daif.

Wallahu a’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan