Ahad, 10 April 2016

Imam al-Thabarani 2

Nama beliau Abu al-Qasim Sulaiman bin Ahmad bin Ayyub al-Thabarani. Dilahirkan di ‘Akka (Acre, sekarang merupakan wilayah Israel) pada bulan Safar tahun 260 Hijrah. Sebahagian ulama berpendapat beliau dilahirkan di Thabariyyah (Tiberias, juga merupakan wilayah Israel sekarang).

Mula belajar hadis ketika berusia 13 tahun dan mengembara bersama bapanya untuk mengumpulkan hadis. Pernah mengembara ke Baitul Maqdis, Homs, Yaman, Hijaz, Mesir, Iraq, Asbahan dan lain-lain.

Dalam kitab Irsyad al-Qasi al-Dani Ila Tarajim Shuyukh al-Thabarani dikumpulkan nama-nama guru beliau dan mencapai sebanyak 1168 orang, termasuk 4 orang guru beliau daripada kalangan wanita. 

Menghasilkan banyak kitab, antara yang terkenal:

1. al-Mu’jam al-Saghir. Dihimpunkan hadis-hadis yang diriwayatkan daripada seribu orang guru. Daripada setiap gurunya itu diriwayatkan satu atau dua hadis. Himpunan hadis dalam kitab ini mencapai 1200 buah hadis. Dicetak dalam 2 jilid.



2. al-Mu’jam al-Ausath. Disusun berdasarkan nama guru-guru beliau. Menghimpunkan 9489 buah hadis. Dicetak dalam 10 jilid. Imam al-Thabarani pernah berkata, kitab ini adalah rohku, kerana beliau bersusah payah menghimpunkan kitab ini.



3. al-Mu’jam al-Kabir. Disusun berdasarkan nama sahabat. Menghimpunkan sekitar 25 ribu buah hadis. Dicetak dalam 25 buah jilid. Jilid 13, 14, 15, 16, dan 21 tidak dicetak kerana manuskripnya tidak ditemui.



Kisah kehebatan Imam al-Thabarani

Ibnu al-‘Amid berkata: “Aku tidak menyangka bahawa ada sesuatu yang lebih lazat daripada kenikmatan memegang kepimpinan yang aku memegangnya sehinggalah aku melihat muzakarah antara Abu al-Qasim al-Thabarani dan Abu Bakar al-Ji’abi. Al-Thabarani mengalahkan Abu Bakar dari segi luasnya hafalan hadis beliau. Abu Bakar mengalahkan al-Thabarani dari segi kepintaran dan kecerdikannya sehinggalah mereka berdua saling meninggikan suara (berdebat).

Al-Ji’jabi berkata: “Aku mempunyai satu hadis yang hanya aku sahaja yang mempunyainya di dunia ini.”

Al-Thabarani berkata: “Bacakan hadis tersebut.”

Al-Ji’abi berkata: “Telah menceritakan kepadaku Abu Khalifah al-Jumahi, beliau (al-Jumahi) berkata, telah menceritakan kepadaku Sulaiman bin Ayyub…kemudian beliau (al-Ji’abi) membacakan hadisnya.”

Kemudian al-Thabarani berkata: “Telah menceritakan kepadaku Sulaiman bin Ayyub (nama Imam al-Thabarani sendiri), daripada akulah Abu Khalifah mendengar hadis tersebut. Dengarkan hadis tersebut daripada aku supaya pendek sanad kamu.”

Kemudian al-Ji’abi merasa sangat malu.

Ibnu al-‘Amid berkata: “Aku berharap agar aku tidak memegang kepimpinan. Aku berharap aku menjadi al-Thabarani dan aku gembira sebagaimana beliau gembira (kerana dapat mengalahkan al-Ji’abi).”

Dikatakan bahawa di akhir-akhir usia beliau, penglihatan beliau hilang. Al-Thabarani berkata: “Orang-orang zindiq (orang yang pura-pura masuk Islam) telah menyihirku.”

Al-Thabarani meninggal pada 2 malam terakhir daripada bulan Zulkaedah ketika berusia 100 tahun. Rahimahullah.


Rujukan: Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Zahabi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan