Khamis, 13 Jun 2019

Istilah Ilmu Hadis 36: Al-Sahih (الصَحِيحُ)

Hadis yang bersambung sanadnya dengan dinukilkan oleh perawi yang adil lagi dabit (sempurna hafalan/jagaannya) daripada perawi yang ‘adil lagi dabit juga sehingga ke akhir sanadnya, serta ia tidak syaz dan tidak mempunyai ‘illah (kecacatan).

Jelas daripada pengertian ini, syarat-syarat hadis sahih yang wajib ada bagi menjadikan sesuatu hadis itu sahih ada lima, iaitu:

1. Sanad yang bersambung.

2. Para perawi yang ‘adil.

3. Para perawi yang dabit (sempurna hafalan/jagaannya).

4. Tidak mempunyai ‘illah (kecacatan).

5. Tidak ada syaz.

Jika salah satu daripada syarat yang lima ini tidak ada, maka hadis tersebut tidak dinamakan hadis sahih.

Contohnya:

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami ‘Abd Allah bin Yusuf, beliau berkata: Telah memberitahu kepada kami Malik daripada Ibnu Syihab daripada Muhammad bin Jubair bin Mut’im daripada bapanya, beliau berkata:

“Saya mendengar Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam membaca pada waktu Maghrib surah al-Tur.”

Hadis ini sahih berdasarkan kepada perkara berikut:

1. Sanadnya bersambung: Setiap perawi daripada semua perawinya mendengar daripada syeikh masing-masing. Manakala penggunaan ‘an (iaitu ‘daripada’ dalam sanad hadis) yang digunakan oleh Malik, Ibnu Syihab dan Ibnu Jubair, dihukumkan sebagai bersambung disebabkan perawi-perawi tersebut bukanlah bersifat mudallis (menyembunyikan keburukan sanad).

2. Kesemua perawinya memiliki sifat ‘adil dan hafiz. Berikut adalah sifat-sifat mereka di sisi ulama al-jarh wa al-ta’dil:

- ‘Abd Allah bin Yusuf: Thiqah. Mutqin.

- Malik bin Anas: Imam, Hafiz.

- Ibnu Syihab al-Zuhri: Faqih, Hafiz, disepakati kehebatan dan ketelitiannya.

- Muhammad bin Jubair: Thiqah.

- Jubair bin Mut’im: Seorang sahabat.

3. Tiada dalam sanad atau matan hadis sebarang ‘illah sama ada yang zahir atau tersembunyi.

Hukumnya:

Wajib beramal dengan hadis yang sahih berdasarkan ijmak ulama. Ia adalah hujah atau dalil daripada hujah-hujah syarak, tidak seharusnya bagi seorang muslim meninggalkannya.

Sumber-sumber hadis sahih:

Sumber-sumber hadis sahih cukup banyak, dan memadai di bawah ini disebutkan sumber-sumber yang hanya memuatkan hadis sahih semata-mata, iaitu:

1. Sahih al-Bukhari oleh al-Imam Muhammad bin Isma’il al-Bukhari (w. 256H).

2. Sahih Muslim oleh al-Imam Muslim bin al-Hajjaj (w. 261H).

Kedua-dua kitab ini merupakan kitab yang paling utama bagi hadis sahih. Di samping itu terdapat sumber-sumber lain yang dalamnya terdapat banyak hadis sahih, di samping jenis-jenis hadis yang lain, contohnya:

1. Al-Muwatta’ oleh al-Imam Malik bin Anas (w. 179H).

2. Al-Musnad oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal (w. 241H).

3. Sunan Abu Daud oleh al-Imam Abu Daud Sulaiman bin al-Asy’ath al-Sijistani (w. 275H).

4. Sunan Ibnu Majah oleh al-Imam Muhammad bin Yazid bin Majah al-Qazwini (w. 273H atau 274H).

5. Sunan al-Termizi oleh al-Imam Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa al-Termizi (w. 279H).

6. Sunan al-Nasa’ie oleh al-Imam Ahmad bin Syu’aib al-Nasa’ie (w. 303H).

7. Sahih Ibnu Khuzaimah oleh al-Imam Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah (w. 311H).

8. Al-Mustakhraj ‘Ala Sahih Muslim oleh al-Imam Abu ‘Awanah (w. 316H).

9. Sahih Ibnu Hibban oleh al-Imam Abu Hatim Muhammad bin Hibban al-Busti (w. 354H).

10. Al-Mustakhraj ‘Ala Sahih al-Bukhari oleh al-Imam Abu Bakr al-Isma’ili (w. 371H).

11. Al-Mustadrak ‘Ala al-Sahihain oleh al-Imam Abu ‘Abdillah al-Hakim al-Naisaburi (w. 405H).

12. Al-Mustakhraj ‘Ala al-Sahihain oleh al-Imam Abu Nu’aim al-Asbahani (w. 430H).

Kebanyakan hadis-hadis dalam kitab-kitab ini adalah sahih, malah kebanyakannya tiada dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, atau salah satu daripadanya.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 312]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan