Isnin, 17 Jun 2019

Istilah Ilmu Hadis 41: Syaz (الشَاذٌ)

Sesuatu hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi yang thiqah atau maqbul, dan ia bertentangan dengan periwayatan perawi yang lebih utama daripadanya dari sudut hafalan, ketekunan atau banyaknya riwayat.

Dengan pengertian ini, maka sesuatu hadis yang syaz disyaratkan dengan syarat-syarat berikut:

1 – Mestilah perawinya thiqah, atau perawi maqbul yang bersendirian membawa riwayat tersebut.

2 – Mestilah bercanggah/bertentangan dalam periwayatannya dengan perawi yang lebih utama daripadanya, dari sudut penerimaan hadis. Maksud bertentangan ialah: Tidak dapat digabungkan antara riwayatnya dan riwayat selain daripadanya.

Pembahagian Syaz

Syaz berdasarkan kedudukannya dalam hadis dibahagikan kepada dua bahagian; Syaz pada sanad dan syaz dalam matan. Berikut ialah pengertian bagi setiap bahagian itu.

Bahagian Pertama: Syaz pada sanad:

Iaitu bertentangan/bercanggah seorang perawi thiqah dalam mengisnadkan sesuatu hadis dengan apa yang masyhur di sisi perawi-perawi thiqah yang lain.

Contohnya:

Dikeluarkan oleh al-Tirmizi melalui sanad: Sufyan bin ‘Uyainah daripada ‘Amr bin Dinar, daripada ‘Awsajah daripada Ibnu ‘Abbas radiallahu ‘anhuma

“Seorang lelaki meninggal dunia pada zaman Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Beliau tidak meninggalkan seorang pun pewaris kecuali seorang hamba yang telah dimerdekakan. Maka Nabi sallahu ‘alaihi wasallam menyerahkan harta pusaka peninggalannya kepadanya.”

Hadis ini diriwayatkan juga oleh al-Nasa’i melalui sanad Ibnu Juraij daripada ‘Amr bin Dinar daripada ‘Awsajah daripada Ibnu ‘Abbas radiallahu ‘anhuma : “Sesungguhnya seorang lelaki...”

Maka Sufyan bin ‘Uyainah dan Ibnu Juraij meriwayatkan hadis ini secara bersambung dan marfu’ (disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam), yang disandarkan kepada baginda oleh Abdullah bin ‘Abbas radiallahu ‘anhuma.

Tetapi Hammad bin Zayd – seorang perawi yang thiqah – meriwayatkan secara mursal (digugurkan nama Ibnu ‘Abbas) di mana beliau berkata dalam riwayatnya: 

Daripada ‘Amr bin Dinar daripada ‘Awsajah: “Sesungguhnya seorang lelaki...” (Diriwayatkan oleh al-Nasa’i)

Maka dengan ini jelas bahawa riwayat Hammad bin Zayd dihukumkan sebagai syaz, manakala riwayat ‘Abd al-Malik bin Juraij dan Sufyan bin ‘Uyainah dihukumkan sebagai terpelihara (mahfuz).

Bahagian Kedua: Syaz pada matan

Iaitu seorang perawi thiqah yang bertentangan dalam meriwayatkan lafaz-lafaz sesuatu hadis dengan seorang perawi yang lebih thiqah atau lebih utama daripadanya.

Contohnya:

Hadis al-Mughirah bin Syu’bah daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya baginda berwuduk dan menyapu di atas kedua khufnya.”

Riwayat ini dikeluarkan oleh sebilangan besar daripada perawi hadis, mereka ialah: ‘Urawah, Hamzah yang kedua-duanya ialah anak al-Mughirah, Masruq bin al-Ajda’, al-Zuhri, al-Aswad bin Hilal, Rawwad katib (penulis) al-Mughirah dan selain mereka, semuanya daripada al-Mughirah bin Syu’bah. (Hadis ini dikeluarkan oleh penyusun-penyusun Kutub Sittah kecuali al-Nasa’i).

Huzail bin Syurahbil meriwayatkan dengan cara yang bertentangan dengan kesemua perawi yang ada. Beliau meriwayatkan daripada al-Mughirah dengan lafaz: "Sesungguhnya Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam menyapu di atas dua stoking baginda dan dua seliparnya.” (Diriwayatkan oleh Abu Dawud).

Penambahan ini dianggap sebagai penambahan yang syaz dalam matan, maka dihukumkan riwayat Huzail sebagai syaz.

Hukum Syaz:

Hadis syaz adalah daif dan ditolak. Hal ini disebabkan perawinya walaupun seorang yang thiqah, tetapi kerana dia membawa sesuatu yang bertentangan dengan perawi yang lebih utama daripadanya, menunjukkan bahawa perawi tersebut tidak menghafal riwayat yang bertentangan tersebut. Oleh kerana itu, kita hanya menerima periwayatan seorang yang lebih hafal dan menolak riwayat yang bertentangan dengannya.

 [Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 291]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan