Thiqah ialah seorang perawi yang ‘adil lagi dhabit.
Faedah Mengetahuinya:
Ia merupakan satu ilmu yang penting dan antara ilmu-ilmu
hadis yang paling agung kerana melaluinya, hadis yang sahih dapat dibezakan
daripada yang daif.
Maka, mengetahui keadaan para perawi dari sudut ketepatan (dhabt)
dan keadilan ('adalah) mereka adalah asas dalam memastikan kesahihan
khabar-khabar yang disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, yang mana ia tidak sampai kepada
kita melainkan melalui mereka.
Syarat-syarat terpenting yang perlu ada pada seorang
perawi:
Antara syarat terpenting bagi seorang perawi ialah dia
mestilah seorang yang adil lagi dhabit.
1 - Al-'Adalah (Keadilan):
Satu sifat yang memastikan agar seorang perawi itu
dipercayai dalam urusan agamanya.
Untuk merealisasikan sifat 'adalah ini, seorang
perawi itu mestilah seorang:
i) Muslim.
ii) Baligh.
iii) Berakal.
iv) Selamat daripada sebab-sebab yang menyebabkan kefasikan.
v) Selamat daripada perkara-perkara yang mencemarkan maruah
(khawarim al-muru'ah).
Al-Muru'ah (maruah) ialah adab-adab jiwa yang
mendorong pemiliknya untuk menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji dan
meninggalkan sifat-sifat tercela.
Justeru, tidak diterima riwayat seorang kafir, kanak-kanak
yang belum mumayyiz, orang gila, orang fasik, dan sesiapa yang melakukan
perbuatan hina yang mencemarkan maruah, seperti kencing di jalanan awam dan
seumpamanya.
2 - Al-Dhabt (Ketepatan):
Iaitu seorang perawi itu dipercayai dalam riwayatnya,
seorang yang menghafal lagi teliti (mutqin) terhadap apa yang
diriwayatkannya jika dia meriwayatkannya daripada hafalannya.
Dia hendaklah seorang yang alim tentang makna-makna dan
pengertian lafaz-lafaz jika dia meriwayatkan secara makna, sehingga dia mampu
menyampaikannya dengan lafaznya atau maknanya pada bila-bila masa yang dia
kehendaki dan ini dinamakan dhabt sadr (ketepatan hafalan).
Adapun jika dia meriwayatkan daripada kitabnya, maka dia
mestilah menjaga kitabnya daripada sebarang tangan yang melakukan pengubahan (tahrif)
atau kesalahan tulisan (tashif), dan dia mampu menunjukkannya pada
bila-bila masa yang dikehendaki, dan ini dinamakan dhabt kitab
(ketepatan tulisan/kitab).
Bagaimanakah Sifat 'Adalah Diketahui?
1 - Ia dinyatakankan oleh salah seorang ulama al-Jarh wa
al-Ta'dil.
2 - Tersebar luas dan kemasyhuran.
Maka sesiapa yang masyhur sifat keadilannya dalam kalangan
ahli ilmu dan tersebar pujian terhadapnya, maka dia adalah seorang yang adil,
seperti Imam-imam yang Empat dan Sufyanain (Sufyan al-Thawri dan Sufyan ibn
Uyaynah).
Bagaimanakah Dhabt Seseorang Perawi Diketahui?
Ketepatan (dhabt) seorang perawi diketahui dengan
riwayatnya yang selari dengan para perawi thiqah yang teliti (mutqin).
Ini adalah pada kebiasaannya. Percanggahan yang jarang berlaku tidak
memudaratkannya, kerana ia termasuk dalam kategori syaz (kesalahan yang jarang-jarang
berlaku).
Adapun percanggahan yang banyak dan kerap berlaku, maka ia
termasuk dalam kategori nakarah, atau taghfil (kelalaian), atau fuhsy
al-ghalat (kesalahan yang keterlaluan), dan kesemuanya ini mencacatkan
sifat dhabt.
Apabila sifat 'adalah (keadilan) dan dhabt
(ketepatan) terdapat pada seorang perawi, dia disifatkan sebagai thiqah.
Maka lafaz thiqah sudah mencukupi dan tidak perlu lagi kita berkata: 'adl
dhabit.
Sumber:
Bulugh al-Amal Min Mustholah al-Hadith Wa al-Rijal oleh
Prof Dr Muhammad Mahmud Ahmad Bakkar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan