مَنْ بَاتَ عَلَى
طَهَارَةٍ، ثُمَّ مَاتَ مِنْ لَيْلَتِهِ مَاتَ شَهِيدًا
“Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci kemudian dia mati pada malam itu
maka dia mati sebagai seorang syahid.”
Sumber Hadis:
Hadis ini telah diriwayatkan oleh Ibnu al-Sunni dalam ‘Amal
al-Yaum Wa al-Lailah daripada jalur perawi:
Sulaiman bin
Salamah al-Khabairi, daripada
Yunus bin ‘Ata’ bin ‘Uthman bin Sa‘id bin Ziyad bin al-Harith al-Suda’i,
daripada Salamah al-Laythi, dan Syarik bin Abi Namir, kedua-duanya daripada Anas
bin Malik.
Sulaiman bin Salamah al-Khabairi dan gurunya, Yunus bin ‘Ata’ al-Suda’i,
kedua-duanya adalah perawi yang bermasalah.
Pandangan Ulama
tentang Sulaiman bin Salamah al-Khabairi
Abu Hatim pernah
mendengar hadis daripadanya tetapi tidak meriwayatkan hadis daripadanya, dan
beliau berkata: "Dia matruk (ditinggalkan), tidak perlu disibukkan
dengannya."
Ibn al-Junaid
berkata: "Dia seorang pendusta, dan aku tidak akan meriwayatkan
daripadanya selepas ini."
Al-Nasa’i berkata:
"Dia tiada nilainya."
Ibn 'Adi berkata:
"Dia mempunyai beberapa hadis yang munkar, dan al-Baghandi serta
selainnya telah meriwayatkan kepada kami daripadanya."
Pandangan Ulama
tentang Yunus bin ‘Ata’ al-Suda’i
Ibn Hibban berkata: “Yunus bin 'Ata' meriwayatkan hadis-hadis
palsu (al-‘ajaib), tidak boleh berhujah dengan riwayatnya.”
Al-Hakim, Abu Sa'id al-Naqqash dan Abu Nu’aim berkata: “Dia
meriwayatkan hadis-hadis palsu daripada Humaid al-Tawil.”
Hukum Hadis
Hadis ini adalah palsu. Sulaiman bin Salamah
al-Khabairi ada meriwayatkan hadis-hadis yang lain yang telah dihukumkan sebagai
palsu oleh Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at dan dipersetujui oleh al-Hafiz
al-Suyuti dalam al-Laali al-Masnu’ah dan al-Ziyadat ‘Ala al-Maudhu’at
dan Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah.
Oleh itu hadis ini tidak boleh diamalkan dan disebarkan melainkan untuk dinyatakan kepalsuannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan