Rabu, 2 Julai 2014

Imam Abdul Wahab al-Sya’rani

Makam Imam Abdul Wahab al-Sya'rani
Abu al-Mawahib Abdullah bin Ahmad bin Ali al-Ansari, terkenal dengan nama al-Sya’rani merupakan seorang yang alim, zuhud, faqih, muhaddith. Beliau berasal dari negara Mesir. Beliau bermazhab al-Asy’ari dari segi akidah dan mazhab asy-Syafie dari segi fiqh dan bertarikat asy-Syazili.

Nasab beliau

Nasab beliau dapat diketahui dengan melihat di dalam kitab beliau sendiri, Lataif al-Minan, beliau berkata : “Sesungguhnya aku, dengan memuji Allah Ta’ala, Abdullah bin Ahmad bin Ali bin Muhammad bin Zarfa bin Musa bin Sultan Ahmad bin Sultan Sa’id bin Sultan Fashin bin Sultan Mahya bin Sultan Zaufa bin Sultan Rabban bin Sultan Muhammad bin Musa bin Sayyid Muhammad bin al-Hanifah bin Imam Ali bin Abi Thalib.”

Kelahiran dan pembesaran

Beliau dilahirkan di Qalqashandah, salah sebuah kampung di daerah al-Qalyubiyyah, Mesir pada 27 Ramadhan. Terdapat khilaf berkenaan tahun kelahiran beliau sama ada 897H atau 898H atau 899H. Beliau telah dilahirkan dirumah datuk sebelah ibu beliau. Selepas 40 hari selepas kelahirannya, bapa beliau telah membawa beliau pulang kampung Saqiyyah Abi Sya’rah dan nama kampung inilah yang dinasabkan kepada beliau iaitu asy-Sya’rani. Bapanya meninggal dunia ketika beliau masih kecil.

Menuntut ilmu

Beliau menghafaz al-Quran ketika berumur lebih kurang 7 atau 8 tahun. Kemudian beliau menghafaz matan al-Ajrumiyyah dalam ilmu nahu dan matan Abi Syuja’ dalam fiqh asy-Syafi’e. Kemudian beliau pergi ke masjid al-Ghamri untuk menuntut ilmu dan beliau bersungguh-sungguh menghafal kitab Minhaj at-Thalibin karya Imam an-Nawawi, Alfiyyah Ibnu Malik, at-Taudhih Syarh Alfiyyah Ibnu Malik karya Ibnu Hisyam, Alfiyyah al-‘Iraqi, kitab at-Talkhis dalam ilmu balaghah karya al-Quzwini, matan as-Syatibiyyah dalam ilmu qiraat, Qawaid Ibnu Hisyam, sehingga beliau menghafal kitab Raudhah  at-Thalibin karya Imam an-Nawawi sehingga bab Qadha. Usaha beliau untuk menghafal kitab Raudhah at-Thalibin ini bukanlah usaha yang mudah kerana kitab ini sangat tebal dan sekarang kitab ini dicetak lebih kurang 8 jilid. Ini menunjukkan karamah beliau.

Beliau telah menuntut dengan Syeikh Aminuddin, Imam masjid al-Ghamri dan beliau membaca kepadanya kitab Kutubus Sittah.

Kemudian, beliau turut belajar dengan Syeikh as-Syams ad-Dawakhili, Syeikh an-Nur al-Muhalla, Syeikh an-Nur al-Jawarihi, Syeikh Mulla Ali al-‘Ajmi, Syeikh Ali al-Qasthalani, Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari, al-Asymawi, dan Syihabuddin ar-Ramli.

Beliau kemudiannya jatuh cinta kepada ilmu hadith dan sentiasa menyibukkan diri dengannya dan mengambil hadith dari ahlinya.

Kemudian beliau melalui jalan ahli tasawwuf melalui Syiekh Ali al-Marsufi, Syeikh Muhammad asy-Syanawi dan Syeikh Ali al-Khawas.

Penulisan

1. Al-Fath al-Mubin fi Jumlah Min Asrar ad-Din

2. Al-Anwar al-Qudsiyyah fi Ma’rifah Qawaid as-Sufiyyah

3. Al-Kaukab asy-Syahiq fi al-Farq Baina al-Murid as-Sadiq wa Ghair as-Sadiq

4. Al-Bahr al-Maurud Fi al-Mawathiq wa al-‘Uhud

5. Al-Badr al-Munir fi Gharib Ahadith al-Bashir an-Nazir

6. At-Thabaqat as-Sughra

7. At-Thabaqat al-Kubra (Lawaqih al-Anwar fi Thabaqat al-Akhyar

8. Al-Anwar al-Qudsiyyah fi Bayan Adab al-‘Ubudiyyah



9. Al-Anwar al-Qudsiyyah fi Ma’rifah Qawa’id as-Sufiyyah

10. At-Thabaqat al-Wustha

11. Ad-Durar al-Manthurah fi Bayan Zubad al-Ulum al-Masyhurah

12. Kasyf al-Ghummah ‘an Jami’ al-Ummah

13. Lathaif al-Minan Wa al-Akhlaq fi Bayan Wujub al-Tahaduth bi Ni’mah Allah ‘Ala al-Itlaq



14. Lawaqih al-Anwar al-Qudsiyyah Fi Bayan al-‘Uhud al-Muhammadiyyah

15. Al-Mukhtar Min al-Anwar Fi Suhbah al-Akhyar

16. Mukhtasar al-Alfiyyah Li Ibnu Malik

17. Mukhtasar at-Tazkirah fi Ahwal al-Mauta wa Umur al-Akhirah

18. Mukhtasar Tazkirah al-Imam al-Suwaidi fi at-Tibb

19. Tazkirah Syihabuddin Ahmad Salaqah al-Qalyubi asy-Syafi’e

20. Mukhtasar Kitab Sifah as-Safwah

21. Masyariq al-Anwar Fi Bayan al-‘Uhud al-Muhammadiyyah

22. Al-Muqaddimah an-Nahwiyyah di ‘Lm al-‘Arabiyyah

23. Al-Mizan al-Kubra Fi al-Fiqh al-Islami

24. Al-Yawaqid al-Jawahir Fi Bayan ‘Aqaid al-Kabair



25. Al-Kibrit al-Ahmar Fi Bayan ‘Ulum al-Syeikh al-Akhbar

26. Durar al-Ghawas ‘Ala Fatawa Sayyidi ‘Ali al-Khawwas

Kematian

Beliau meninggal dunia di Kaherah pada tahun 974H dan dikebumikan berhampiran dengan  zawiyyahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan