Imam Tajuddin al-Subki berkata: “Para sejarawan berada di tebing jurang yang hampir runtuh (mudah terjerumus dalam kesalahan besar) kerana mereka berkuasa ke atas maruah manusia dan adakalanya mereka hanya menukilkan apa sahaja yang sampai kepada mereka, sama ada daripada orang yang benar atau pendusta. Maka, seorang sejarawan mestilah seorang yang alim, adil dan mengetahui keadaan orang yang ditulis biografinya, tidak ada antara dia dan orang itu persahabatan yang boleh mendorongnya untuk bersikap fanatik kepadanya dan tidak pula permusuhan yang boleh mendorongnya untuk merendah-rendahkannya.”
Para penukil al-Jarh dan al-Ta'dil hukumnya
adalah sama seperti para sejarawan.
1 - Berwaspada daripada menukilkan kritikan (al-jarh)
semata-mata dan mendiamkan diri daripada penilaian thiqah (al-tawthīq):
Sekiranya penukil itu lemah pegangan agamanya, maka sekiranya dia
tidak mengubah, menukar, atau menimbulkan keraguan, dia mungkin akan menukilkan
kritikan terhadap orang yang ingin dikritiknya dan mendiamkan diri tentang penilaian
thiqah, atau sebaliknya, sedangkan apa yang didiamkannya itu adalah
sesuatu yang muktabar. Ini bercanggah dengan sifat warak dan amanah. Sebahagian ulama besar telah terjerumus dalam hal ini, seperti Ibn al-Jawzi,
semoga Allah Taala merahmatinya.
Al-Zahabi berkata dalam biografi ‘Abd al-Malik bin ‘Umair
al-Lakhmi al-Kufi: “Beliau seorang yang thiqah (dipercayai), tetapi
usianya lanjut dan hafalannya menjadi buruk.” Kemudian beliau menyebutkan
pandangan-pandangan orang yang menthiqahkannya dan yang mengkritiknya
dan berkata: “Adapun Ibn al-Jawzi, beliau telah menyebutkannya, lalu menukilkan
kritikan (al-jarh) dan tidak menyebutkan penilaian thiqah (al-tawthīq)!”
2 - Kewajipan untuk menyebutkan sanad dalam pandangan yang
dinukilkan:
Seorang penukil al-Jarh dan al-Ta'dil
hendaklah menyebutkan sanadnya dalam apa yang dinukilkannya - kecuali jika dia
menukil daripada sebuah kitab yang sahih penisbahannya kepada pengarangnya -
kerana mungkin di dalamnya terdapat perawi yang daif atau matruk, yang
menyebabkan riwayat itu gugur (nilainya) dengan disebutkannya.
Al-Zahabi telah menolak dan mendaifkan banyak pandangan
kerana terputus dan tidak bersambung sanadnya di dalam Mizan al-I'tidal.
Contohnya: Beliau berkata dalam biografi Kahmas bin al-Hasan
al-Tamimi al-Basri: “Hamba yang soleh, seorang yang thiqah. Al-Azdi
berkata: Ibnu Ma'in berkata: Daif. Demikian yang dinukilkan oleh Abu al-Abbas
al-Nabati dan al-Azdi tidak menyebutkan sanadnya daripada Yahya. Maka, tidak
diambil kira bagi pandangan yang terputus sanadnya, lebih-lebih lagi apabila
Ahmad berkata tentang Kahmas: Seorang yang thiqah, malah lebih daripada itu.”
3 - Kewajipan untuk menyebutkan sebab al-Jarh dan al-Ta'dil:
Penukil al-Jarh dan al-Ta'dil juga hendaklah
menyebutkan sebab bagi al-Jarh dan al-Ta'dil, kerana mungkin
orang yang mengkritik (jarh) dan memuji (ta'dil) itu hanya
bermaksud pada hadis tertentu atau perkara yang seumpamanya.
Wajib ke atasnya juga untuk menukilkan hal itu dengan lafaz,
bukan dengan makna.
Al-Subki berkata sepertimana yang dinukilkan oleh anaknya,
Tajuddin al-Subki: Disyaratkan bagi seorang sejarawan:
(i) Jujur (dan ia diungkapkan sebagai al-'adalah).
(ii) Apabila menukil, hendaklah berpegang pada lafaz, bukan
makna.
Syarat ini amat penting kerana penukil jika berpegang pada
lafaz, maka dia telah terlepas daripada tanggungan dan telah menunaikan amanah
sepertimana dia menerimanya dan melihatnya.
Adapun jika dia berpegang pada makna dan mengungkapkannya
dengan lafaz daripada dirinya sendiri, maka ungkapannya itu mungkin akan jauh
daripada hakikat yang diungkapkan oleh penutur asal, sama ada sedikit atau
banyak, maka berbezalah hukum antara ungkapan penutur dan ungkapan penukil.
(iii) Apa yang dinukilkannya itu bukan diambil semasa
perbincangan ilmu (muzakarah), lalu ditulis selepas itu (iaitu tanpa
mencatat secara langsung ketika ia disebutkan oleh sumber asalnya itu).
(iv) Hendaklah dia menyebut nama orang yang dinukilkan
daripadanya.
Sumber:
Al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.
Baca juga:
Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (7) - Sifat Orang yang Diterima dan Ditolak Riwayatnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan