Isnin, 28 Julai 2025

Terjemahan al-Sittin al-Mas’alah karya Imam Imam Ahmad al-Zahid

 
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang

[Kepentingan Ilmu Fardu Ain]

Ini adalah penjelasan tentang perkara-perkara fardu yang wajib diketahui menurut mazhab Imam al-Syafi'i, semoga Allah merahmatinya.

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Menuntut ilmu itu fardu (wajib) ke atas setiap Muslim dan Muslimah."

Ibnu 'Abbas – semoga Allah meredai keduanya - berkata: "Cukuplah bagimu daripada ilmu agama itu dengan engkau mengetahui apa yang tidak boleh engkau jahil tentangnya."

Para ulama - semoga Allah Ta'ala merahmati mereka - berkata: "Sesiapa yang solat dalam keadaan jahil tentang kaifiat (cara) wuduk dan solat, maka tidak sah solatnya, sekalipun kebetulan bertepatan dengan yang sah pada keduanya."

Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, nescaya akan Dia berikannya kefahaman (fiqh) dalam agama".

Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Tidaklah Allah disembah dengan sesuatu yang lebih utama daripada kefahaman (fiqh) di dalam agama".

[Asas-Asas Iman]

Asas-asas iman kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala ada lapan, yang wajib diketahui oleh seorang hamba dengan hatinya, iaitu bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala:

1 - Hidup.

2 - Berkuasa.

3 - Berkata-kata.

4 – Mendengar.

5 - Melihat

6 – Mengetahui.

7 – Berkehendak.

8 - Kekal.

[Asas-Asas Islam]

Asas-asas Islam ada lima:

1 - Persaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

2 - Mendirikan solat.

3 - Menunaikan zakat.

4 - Berpuasa pada bulan Ramadan.

5 - Menunaikan haji ke Baitullah bagi sesiapa yang berkemampuan.

[Hukum dan Cara Istinjak]

Istinjak itu wajib bagi setiap sesuatu yang keluar dari dua jalan (qubul dan dubur) yang kotor, dengan menggunakan air atau batu, atau apa-apa yang boleh menggantikan kedua-duanya daripada setiap benda yang keras lagi suci, yang dapat menghilangkan najis, bukan dengan sesuatu yang boleh dimakan, bukan dengan sesuatu yang dimuliakan dan bukan dengan yang basah.

[Doa Masuk dan Keluar Tandas]

Membaca doa ketika masuk ke tandas:

بِاسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْخُبْثِ وَالْخَبَائِثِ

“Dengan nama Allah, ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada syaitan-syaitan jantan dan syaitan-syaitan betina.”

Apabila keluar, membaca doa:

غُفْرَانَك الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَذْهَبَ عَنِّي الْأَذَى وَعَافَانِي

“Aku memohon keampunan-Mu. Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan daripadaku kotoran dan telah menyihatkan aku.”

[Fardu-fardu Wuduk]

Fardu-fardu wuduk ada enam:

1 - Niat di dalam hati dan wajib menyertakannya ketika membasuh bahagian pertama daripada muka.

2 - Membasuh muka, dari tempat tumbuh rambut kepala yang kebiasaannya hingga ke penghujung dagu pada panjangnya dan dari anak telinga ke anak telinga pada lebarnya.

Wajib membasuh sebahagian daripada kepalanya, bawah rahang dan dagunya.

Wajib juga membasuh setiap bulu mata, kening, misai, bulu di bawah bibir, jambang, dan bahagian luar dan dalam bagi janggut yang nipis, serta bahagian luar bagi janggut tebal yang terjurai.

3 - Membasuh kedua-dua tangannya berserta kedua-dua sikunya.

4 - Menyapu sebahagian kecil kulit kepala atau rambut yang tidak melepasi had kepala jika ditarik.

5 - Membasuh kedua-dua kakinya berserta kedua-dua buku lalinya.

6 - Tertib.

[Amalan Sunat dalam Wuduk]

Apa-apa selain daripada itu adalah amalan sunat, seperti:

1 - Membaca Bismillah.

2 - Membasuh kedua-dua tapak tangan sebanyak tiga kali.

3 - Berkumur-kumur.

4 - Memasukkan air ke dalam hidung (istinsyaq).

5 - Menyapu seluruh kepala.

6 - Menyapu bahagian luar dan dalam kedua-dua telinga dengan air yang baru dan selainnya.

[Perkara yang Membatalkan Wuduk]

Wuduk itu terbatal dengan lima perkara:

1 - Sesuatu yang keluar dari dua jalan (qubul dan dubur).

2 - Tidur dalam keadaan tidak tetap punggungnya di lantai.

3 - Hilang akal disebabkan mabuk, gila, atau pitam.

4 - Menyentuh kulit wanita dewasa yang bukan mahram.

5 - Menyentuh zakar atau faraj dan lubang dubur, dengan bahagian dalam tapak tangan atau bahagian dalam jari-jemari, sama ada kepunyaan sendiri atau orang lain.

[Fardu-fardu Mandi Wajib]

Fardu-fardu mandi wajib:

1 – Niat.

2 - Meratakan air ke seluruh badan dan kulitnya, sehinggalah ke bahagian bawah kulup orang yang tidak berkhatan, bahagian dalam kedua-dua telinga dan lubangnya serta lubang (tindikan) padanya, bahagian dalam pusat dan punggungnya

3 - Menghilangkan najis jika ada pada badannya.

[Sunat-sunat Mandi Wajib]

Apa-apa selain daripada itu adalah amalan sunat, seperti:

1 - Membaca Bismillah.

2 - Membasuh kedua-dua tapak tangan sebanyak tiga kali.

3 - Berkumur-kumur.

4 - Memasukkan air ke dalam hidung.

5 - Berwuduk dan selainnya.

[Perkara Haram Ketika Berhadas]

Haram ketika berhadas lima perkara:

1 – Solat.

2 – Tawaf.

3 - Khutbah Jumaat.

4 - Menyentuh Mushaf.

5 – Membawanya, kecuali jika ia dibawa bersama barangan lain.

[Perkara Haram Ketika Berjunub]

Haram ketika berjunub lapan perkara:

1-5 - Apa yang haram ketika berhadas.

6 - Membaca al-Quran – kecuali apa yang dikecualikan daripadanya, seperti: membaca ‘Bismillah’ ketika makan, ‘Alhamdulillahi Rabbil 'alamin’ setelah selesai makan dan ‘Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un’ ketika ditimpa musibah, dengan mengucapkannya bertujuan untuk mengambil berkat.

7 - Duduk di dalam masjid.

8 - Berulang-alik di dalamnya.

[Perkara Haram Ketika Haid]

Haram ketika haid sepuluh perkara:

1-8 - Apa yang haram ketika berjunub.

9 – Berpuasa.

10 - Talak.

[Tayammum: Hukum, Syarat dan Rukun]

Perkara yang mengharuskan tayammum ialah:

1 – Keuzuran.

2 - Ketidakmampuan menggunakan air.

Syarat-syaratnya:

1 - Masuk waktu.

2 - Mencari (air) jika perlu.

3 - Debu tanah yang suci.

Fardu-fardunya ada empat:

1 - Niat untuk mengharuskan solat.

2 - Menyapu muka.

3 - Menyapu kedua-dua tangan berserta siku.

4 - Tertib.

Sunat-sunatnya:

1 - Membaca Bismillah.

2 - Mendahulukan yang kanan daripada yang kiri.

3 - Menipiskan debu.

4 - Melakukannya secara berturut-turut dan selainnya.

[Perkara yang Membatalkan Tayammum]

Ia terbatal dengan apa-apa yang membatalkan wuduk.

Seseorang itu bertayammum untuk setiap solat fardu.

Dia boleh solat dengannya apa sahaja solat sunat yang dia mahu, sebelum solat (fardu) dan selepasnya, di dalam waktu (solat fardu tersebut) mahupun selepasnya.

[Syarat Wajib Solat]

Adapun solat, maka syarat-syarat wajibnya ada empat:

1 – Islam.

2 – Baligh.

3 – Berakal.

4 - Suci daripada haid dan nifas.

[Syarat Sah Solat]

Syarat-syarat sahnya ada lapan:

1 – Tamyiz.

2 - Mengetahui kewajipannya.

3 - Membezakan fardu-fardunya daripada sunat-sunatnya.

4 - Mengetahui masuknya waktu secara yakin atau sangkaan.

5 - Menutup aurat.

Aurat lelaki dan hamba perempuan ialah apa yang di antara pusat dan lutut dan aurat wanita merdeka ialah seluruh badannya kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan, bahagian luar dan dalamnya.

6 - Menghadap kiblat, kecuali ketika dalam ketakutan yang bersangatan dan solat sunat dalam permusafiran.

7 - Suci badan.

8 - Suci pakaian dan tempat solat.

[Fardu-fardu Solat]

Fardu-fardu solat ada lapan belas:

1 – Niat.

2 – Takbiratulihram.

3 - Berdiri bagi yang mampu.

4 - Membaca al-Fatihah.

5 – Rukuk.

6 – Tamakninah (diam sebentar) padanya.

7 – Iktidal.

8 - Tamakninah padanya.

9 – Sujud.

10 - Tamakninah padanya.

11 - Duduk di antara dua sujud.

12 - Tamakninah padanya.

13 - Duduk untuk Tasyahud akhir.

14 - Membaca Tasyahud di dalamnya.

15 - Berselawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam di dalamnya.

16 – Tertib.

17 - Mualat (berturut-turut).

18 - Salam yang pertama.

[Lafaz-lafaz Tasyahud]

Lafaz-lafaz Tasyahud ada lima kalimah:

1 -  التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ

“Segala kehormatan bagi Allah.”

2 - السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

“Salam sejahtera ke atasmu wahai Nabi, serta rahmat Allah dan keberkatan-Nya.”

3 - السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ

“Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh.”

4 - أَشْهَدُ أَنَّ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.”

5 - اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ

“Ya Allah, limpahkanlah rahmat ke atas Nabi Muhammad.”

Inilah yang wajib.

Lafaz "وآلِه" (dan ke atas keluarganya) dan apa yang selepasnya adalah sunat.

[Pembahagian Fardu Solat]

Fardu-fardu solat terbahagi kepada tiga bahagian:

1 – Hati.

2 – Lidah.

3 - Anggota badan.

Yang pertama (hati) ialah niat.

Yang kedua (lidah) ialah takbiratulihram, membaca al-Fatihah, Tasyahud, berselawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan salam yang pertama.

Yang ketiga (anggota badan) ialah baki fardu-fardu yang lain.

[Sunat Abadh dalam Solat]

Sunat-sunat solat pula terbahagi kepada Ab'adh dan Hai'at.

Maka sunat-sunat Ab'adh ada enam:

1 – Qunut.

2 - Berdiri untuknya (Qunut).

3 - Tasyahud Awal.

4 - Duduk untuknya (Tasyahud Awal).

5 - Berselawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam di dalamnya (Tasyahud Awal).

6 - Berselawat ke atas keluarga Nabi pada Tasyahud Akhir.

[Lafaz Qunut Subuh]

Lafaz-lafaz Qunut ialah:

اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ، وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ، فَإِنَّكَ تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ، وَإِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ، وَلَا يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ، تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ، وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى النَّبِيِّ الأُمِّيِّ مُحَمَّدٍ وَآلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ.

“Ya Allah, berilah aku petunjuk sepertimana orang yang telah Engkau beri petunjuk. Afiatkanlah aku sepertimana orang yang telah Engkau afiatkan. Pimpinlah aku sepertimana orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah untukku pada apa yang telah Engkau kurniakan. Peliharalah aku daripada keburukan yang telah Engkau tentukan. Kerana sesungguhnya Engkaulah yang menentukan dan bukan yang ditentukan ke atas-Mu. Sesungguhnya tidak akan hina orang yang Engkau pimpin, dan tidak akan mulia orang yang Engkau musuhi. Maha Berkat Engkau wahai Tuhan kami dan Maha Tinggi. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan keselamatan ke atas Nabi yang Ummi, Muhammad, serta keluarga dan sahabatnya.”

[Sunat Hai’at dalam Solat]

Sunat-sunat Ab'adh yang enam itu, jika seseorang meninggalkannya sama ada dengan sengaja atau terlupa, dia sunat melakukan sujud sahwi. Jika dia meninggalkan sujud sahwi itu, tiada apa-apa ke atasnya.

Sunat-sunat Hai'at pula, tidak disunatkan sujud kerana terlupa melakukannya dan ia banyak, antaranya:

1 - Mengangkat kedua-dua tangan ketika takbiratulihram separas kedua-dua bahu.

2 - Meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri, di bawah dada dan di atas pusat.

3 - Memandang ke tempat sujudnya.

4 - Membaca doa iftitah dan yang paling ringkas ialah:

اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

“Allah Maha Besar dengan sebesar-besarnya. Segala puji bagi Allah dengan sebanyak-banyaknya. Maha Suci Allah pada waktu pagi dan petang.”

Dan selainnya daripada amalan-amalan sunat yang masyhur.

[Perkara yang Membatalkan Solat]

Perkara yang membatalkan solat ada sepuluh perkara:

1 - Berhadas dengan sengaja atau terlupa.

2 - Jatuhnya najis yang basah atau kering ke atas badan atau pakaiannya tanpa dihilangkan dengan serta-merta.

3 - Terbukanya aurat jika tidak ditutup dengan serta-merta.

4 - Bercakap dengan sengaja.

5 - Perbuatan yang banyak, seperti tiga langkah atau tiga gerakan berturut-turut, dan lompatan yang keterlaluan.

6 - Makan dan minum dengan sengaja.

7 - Membelakangi kiblat.

7 - Mengubah niat.

8 - Ketawa terbahak-bahak, menangis (sehingga keluar suara), menghembus angin (dengan hidung atau mulut sehingga keluar bunyi), merintih dan berdehem, kecuali ketika membaca al-Fatihah atau Tasyahud Akhir, apabila terhalang daripada membacanya secara sir (perlahan), disebabkan kahak dan seumpamanya.

9 - Memotong rukun sebelum menyempurnakannya.

10 - Menambah fardu daripada fardu-fardunya dengan sengaja, kecuali pada al-Fatihah dan Tasyahud akhir.

[Beza Solat Lelaki dan Wanita]

Wanita adalah seperti lelaki dalam semua yang telah disebutkan, cuma bezanya:

1 - Dia tidak perlu melaungkan azan atau iqamah. Jika dia azan atau iqamah, ia adalah harus, tetapi tidak dengan suara yang tinggi.

2 - Dia mengangkat kedua-dua tangannya ketika takbiratulihram sehingga ke paras dadanya, manakala lelaki sehingga ke cuping telinganya.

3 - Dia merapatkan sebahagian badannya dengan sebahagian yang lain ketika rukuk dan sujud, berbeza dengan lelaki.

4 - Dia tidak menyaringkan bacaannya. Jika dia menyaringkannya seorang diri atau di hadapan wanita-wanita lain atau mahramnya, ia adalah harus.

5 - Jika dia perlu menegur dalam solat, dia menepuk bahagian dalam tapak tangan kanannya ke atas bahagian belakang tapak tangan kirinya.

6 - Dia duduk di dalam solat secara iftirasy, dalam semua duduk dalam solat (kecuali Tahiyat Akhir). Jika dia duduk bersila, ia adalah harus.

[Fardu-fardu Solat Jenazah]

Fardu-fardu solat jenazah ada sebelas:

1 - Berdiri bagi yang mampu.

2 – Niat.

3 - Menyertakan kefarduannya (semasa niat) dengan berkata: “Aku solat ke atas jenazah ini, yang telah difardukan, sebagai imam atau makmum.”

4-7 - Empat kali takbir.

8 - Membaca al-Fatihah.

9 - Berselawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

10 - Doa yang paling ringkas untuk si mati:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ

Ya Allah, ampunilah dia dan rahmatilah dia.

11 - Salam yang pertama.

Disyaratkan menanggalkan kedua-dua seliparnya (dalam solat) jika kedua-duanya bernajis dan dia boleh berdiri di atas bahagian luarnya jika kedua-duanya suci.

[Kewajipan Zakat]

Zakat itu wajib pada apa yang telah diwajibkan ke atasnya, dengan nisabnya yang diketahui.

[Kewajipan Puasa Ramadan]

Puasa Ramadan adalah wajib.

Fardu-fardunya:

1 - Melihat anak bulan.

2 - Atau menyempurnakan bulan Syaaban tiga puluh hari.

[Rukun dan Perkara yang Membatalkan Puasa]

Rukun-rukunnya:

1 - Niat bagi setiap malam.

2 - Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa iaitu:

i) Makan.

ii) Minum.

iii) Jimak.

iv) Mengeluarkan mani kerana bersentuhan atau onani.

v) Setiap benda yang masuk ke dalam rongga melalui saluran yang terbuka.

(Semua itu dilakukan) dalam keadaan dia mengetahui akan pengharamannya, ingat bahawa dia sedang berpuasa dan dengan pilihan sendiri.

[Kewajipan Menunaikan Haji]

Haji adalah wajib ke atas sesiapa yang berkemampuan untuk menunaikannya. Hukum-hakamnya adalah termaklum di dalam kitab-kitab Fiqh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan