Sabtu, 26 Julai 2025

Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (8) - Definisi 'Adalah

a - Definisi ‘Adalah

Dari segi istilah ‘adalah ialah kelayakan untuk diterima kesaksian dan periwayatannya daripada Nabi SAW.

Kriteriannya secara ringkas ialah: Suatu sifat yang mendorong pemiliknya untuk bertakwa, menjauhi segala dosa dan apa-apa yang mencemarkan maruah (muru'ah) di sisi manusia.

Syarat-syarat 'Adalah:

Disyaratkan padanya perkara-perkara berikut:

1 - Islam:

Berdasarkan firman Allah Ta'ala: “(Orang yang dijadikan saksi mesti) daripada kalangan saksi-saksi yang kamu redai.” [Al-Baqarah: 282].

Orang bukan Islam sudah tentu bukan daripada golongan yang diredai.

2 - Baligh:

Kerana ia merupakan asas untuk menanggung tanggungjawab, melaksanakan kewajipan dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang.

3 - Berakal:

Kerana ia adalah suatu kemestian untuk mencapai sifat benar dan ketepatan dalam pertuturan.

4 - Takwa:

Iaitu menjauhi dosa-dosa besar dan meninggalkan perbuatan berterusan melakukan dosa-dosa kecil.

Adapun dosa-dosa besar, melakukannya adalah kefasikan secara pasti. Demikian juga berterusan melakukan dosa-dosa kecil, kerana perbuatan berterusan itu menjadikannya sebagai dosa besar – kita berlindung kepada Allah – sepertimana kata para ulama: “Tiada dosa kecil jika dilakukan secara berterusan.”

Dalil disyaratkannya takwa adalah firman Allah Ta'ala: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (kebenarannya) [Al-Hujurat: 6]

Firman Allah Ta'ala: Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu.”[At-Talaq: 2]

Firman Allah Ta'ala: Daripada kalangan saksi-saksi yang kamu redai.” [Al-Baqarah: 282].

Ayat-ayat ini, sekalipun berkaitan dengan urusan harta dan seumpamanya, maka sesungguhnya periwayatan hadis adalah agama. Sepertimana kata Imam Ibnu Sirin: “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka hendaklah seseorang itu melihat daripada siapa dia mengambil agamanya.”

Oleh itu, periwayatan hadis lebih utama daripada urusan harta untuk disyaratkan dengan syarat-syarat ini.

5 - Bersifat dengan Muru'ah (maruah):

Meninggalkan apa yang mencemarkannya, iaitu setiap perkara yang merendahkan martabat seseorang dalam pandangan masyarakat yang baik, seperti: kencing di jalanan, banyak mengejek dan meremehkan orang lain.

Ini kerana sesiapa yang melakukan perbuatan sedemikian adalah seorang yang tidak ambil peduli dan kita tidak merasa yakin bahawa dia tidak akan memandang ringan dalam menyampaikan Hadis Nabi.

Sifat-sifat ini, apabila ada pada seorang perawi, maka diketahui keadilannya dan dia adalah seorang yang benar. Ini kerana apabila sifat-sifat ini terkumpul, ia akan mendorong pemiliknya untuk berkata benar dan menjauhkannya daripada berdusta, disebabkan adanya pendorong-pendorong dari sudut agama, sosial, dan psikologi, di samping kesedaran penuh terhadap tindakannya dan kemampuan menanggung tanggungjawab.

Penetapan 'Adalah:

Ibnu al-Salah berkata: "Keadilan seorang perawi ditetapkan adakalanya dengan penegasan para ulama yang menilai ('mu'addilin) akan keadilannya dan adakalanya ditetapkan melalui kemasyhuran. Maka sesiapa yang masyhur keadilannya di kalangan ahli hadis atau seumpamanya dan tersebar pujian terhadapnya sebagai seorang yang dipercayai (thiqah) dan amanah, maka cukuplah dengan itu tanpa memerlukan bukti yang menyatakan keadilannya secara jelas. Inilah pendapat yang sahih dalam mazhab al-Syafi'i dan ia menjadi pegangan dalam ilmu Usul Fiqh."

Di antara mereka yang masyhur keadilannya ialah:

1 - Sufyan bin Sa'id al-Thawri (wafat tahun 161 H).

2 - Abd al-Rahman bin 'Amr al-Awza'i (wafat tahun 157 H).

3 - Imam Muhammad bin Idris al-Syafi'i (wafat tahun 204 H).

4 - Imam Ahmad bin Hanbal al-Syaibani (wafat tahun 241 H).

5 - Laith bin Sa'd al-Misri (wafat tahun 175 H).

6 - Syu'bah bin al-Hajjaj (wafat tahun 160 H).

7 - 'Abdullah ibn al-Mubarak (wafat tahun 181 H).

8 - Waki' bin al-Jarrah (wafat tahun 197 H).

9 - Yahya bin Ma'in (wafat tahun 233 H).

10 - 'Ali bin al-Madini (wafat tahun 234 H).

Sesiapa yang setara dengan mereka dari segi kemasyhuran nama dan keteguhan dalam urusan agama, maka tidak perlu dipersoalkan tentang keadilan mereka. Hanyasanya yang dipersoalkan ialah keadilan orang yang tersembunyi keadaanya.

Ahmad bin Hanbal pernah ditanya tentang Ishaq bin Rahuyah, lalu beliau berkata: “Patutkah orang seperti Ishaq dipersoalkan?!”

Ibnu Ma'in ditanya tentang Abu 'Ubaid, lalu beliau berkata: “Patutkah orang sepertiku ditanya tentang Abu 'Ubaid?! Abu 'Ubaidlah yang (sepatutnya) bertanya tentang orang lain.”

Demikian juga, keadilan ditetapkan melalui periwayatan oleh sesiapa yang beriltizam dengan kesahihan di dalam kitabnya, seperti al-Syaikhain (al-Bukhari dan Muslim) dan selain mereka berdua.

Maka, sekiranya mereka adalah daripada kalangan perawi al-Syaikhain, mereka dianggap adil sehinggalah terbukti pada salah seorang daripada mereka terdapat kritikan (jarh), lalu akan diteliti keadaannya.

Cukuplah bagi seorang pengkaji untuk berkata: "Si Fulan adalah daripada perawi al-Syaikhain, atau salah seorang daripada mereka berdua" kerana umat telah menerima kedua-dua kitab mereka dengan penuh penerimaan. Sekalipun mereka berselisih pendapat sama ada ia memberikan kepastian akan kesahihan setiap hadis (di dalam kedua Sahih tersebut), namun sesungguhnya sangkaan yang kuat (zhan) itu telah terhasil.

Kecacatan 'Adalah:

1 - Hadis Perawi yang Kafir:

Tidak diterima hadis perawi yang kafir, bahkan wajib dia menjadi seorang Muslim ketika meriwayatkan hadis. Kerana sesungguhnya kekafiran adalah penyebab terbesar permusuhan terhadap agama dan penganutnya.

2 - Riwayat Kanak-kanak atau Orang Gila:

Tidak diterima riwayat kanak-kanak dan orang gila kerana kedua-duanya tidak dipertanggungjawabkan. Maka, boleh jadi kanak-kanak itu sengaja berdusta atas sebab ini, atau memandang ringan (dalam periwayatan). Orang gila lebih utama (untuk ditolak) kerana dia dari asalnya lagi telah kehilangan syarat ketepatan (dhabit) dalam riwayat.

3 - Riwayat Orang Fasik:

Tidak diterima khabar orang fasik yang melakukan maksiat dan keluar dari ketaatan kepada Allah Ta'ala, sekalipun tidak kelihatan padanya sifat berdusta. Kecuali jika dia berhenti daripada dosanya, bertaubat dengan taubat nasuha dan keadaannya berubah kepada keadaan takwa, maka sesungguhnya khabarnya diterima dan keadilannya kembali. Ini berdasarkan firman Allah Ta'ala: “Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh, maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [Al-Furqan: 70].

Adapun sesiapa yang tidak melakukan dosa besar dan tidak dikenali sebagai seorang yang berterusan atau memandang ringan terhadap dosa-dosa kecil, maka sesungguhnya hadisnya diterima dan diampunkan baginya apa-apa kesilapan kecil yang mungkin kelihatan daripadanya dan kekurangannya dimaafkan kerana kelebihannya.

4 - Riwayat Orang yang Bertaubat daripada Berdusta:

Riwayat orang yang bertaubat daripada berdusta dalam hadis adalah ditolak. Para ulama telah menetapkan bahawa khabar orang yang bertaubat daripada berdusta secara sengaja dalam hadis Rasulullah SAW adalah tidak diterima.

5 - Riwayat Orang yang Melakukan Bid'ah (Mubtadi'):

Yang dimaksudkan dengan bid'ah di sisi ahli hadis ialah bid'ah yang berkaitan dengan akidah, bukan bid'ah tambahan dalam bab-bab cabang (fiqh).

Mubtadi' ialah sesiapa yang dianggap fasiq kerana menyalahi akidah Sunnah.

Bid'ah terbahagi kepada dua bahagian:

- Bid'ah yang menyebabkan kekufuran.

- Bid'ah yang tidak menyebabkan kekufuran.

Adapun orang yang melakukan bid'ah yang dituduh dengan bid'ah yang menyebabkan kekufuran, maka riwayatnya ditolak secara sepakat, berbeza dengan pendapat orang yang menyelisihinya.

Manakala orang yang melakukan bid'ah yang tidak sampai ke tahap keluar daripada agama dan melepaskan ikatan Islam, maka sebahagian ulama berkata mengenainya: Riwayatnya diterima sekiranya dia bukan seorang yang menyeru kepada bid'ahnya. Ini adalah pandangan ramai atau majoriti ulama.

Ibnu Hibban berkata: “Peyeru kepada bid'ah tidak boleh dijadikan hujah di sisi imam-imam kami secara keseluruhannya. Aku tidak mengetahui ada perbezaan pendapat di kalangan mereka mengenainya.”

6 - Riwayat orang yang mengambil upah atas meriwayatkan hadis:

Telah menjadi amalan para Sahabat dan Tabi'in - semoga Allah meredai mereka - untuk meriwayatkan hadis kepada orang ramai dengan mengharapkan ganjaran daripada Allah, sehinggakan tersebar kata-kata mereka: “Ajarlah secara percuma sebagaimana engkau diajar secara percuma.”

Kemudian, datanglah sebahagian perawi lalu mereka menyalahi kebiasaan ini, dan mula mengambil bayaran daripada para pelajar mereka untuk memperdengarkan hadis. Perbuatan ini telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan ulama hadis dan para pakarnya. Mereka mengecamnya dan memberi amaran agar tidak mendengar riwayat daripada mereka yang meniagakan periwayatan hadis, kerana perbuatan mereka ini mencemarkan maruah dan kerana dibimbangi sikap tamak terhadap bayaran akan mendorong seseorang daripada mereka untuk jatuh ke dalam syubhah berdusta atau berdusta secara terang-terangan agar diminati (orang ramai).

Akan tetapi, sebahagian para penghafal hadis yang dipercayai (thiqah) telah didesak oleh kesempitan hidup mereka untuk mengambil upah, kerana mereka menjadi tumpuan para penuntut ilmu, sehinggakan kesibukan mereka dengan ilmu dan penyebarannya telah menghalang mereka daripada mencari rezeki untuk keluarga mereka. Maka, para pakar hadis telah memaafkan mereka atas perkara itu kerana diketahui akan sifat benar dan amanah mereka, seperti: Abu Nu'aim al-Fadhl bin Dukain. Beliau adalah salah seorang guru Imam al-Bukhari dan 'Ali bin 'Abd al-'Aziz al-Makki dan beliau adalah salah seorang guru al-Nasa'i. Abu Nu'aim berkata: “Mereka mencelaku kerana mengambil upah, sedangkan di rumahku ada tiga belas orang dan tiada sekeping roti pun di rumahku!.”

Selain daripada segelintir golongan yang mengambil upah atas penyampaian hadis, seluruh ahli hadis yang lain tetap berpegang pada amalan menolak upah dan mereka telah menunjukkan teladan yang sangat mulia dalam hal ini.

Sumber:

Al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri. 

Baca juga: 

Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (9) - Definisi Dhabt

Tiada ulasan:

Catat Ulasan