[Mukadimah]
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, dan selawat
serta salam ke atas Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Selepas itu,
berkata hamba yang berhajat kepada rahmat Tuhannya Yang Maha Mengetahui lagi
Maha Melihat, Ibrahim al-Bajuri yang serba kekurangan:
Telah meminta kepadaku sebahagian saudara - semoga Allah
memperbaiki keadaanku dan keadaan mereka - supaya aku menulis untuknya satu
risalah ringkas yang merangkumi sifat-sifat Allah dan lawannya, serta apa yang
harus bagi-Nya Ta'ala dan mengenai apa yang wajib bagi para rasul, apa yang
mustahil bagi mereka dan apa yang harus.
Maka aku penuhi permintaannya itu, lalu aku berkata dengan
taufik Allah: Wajib ke atas setiap mukallaf untuk mengetahui apa yang wajib
bagi Allah Ta'ala, apa yang mustahil dan apa yang harus.
[Sifat Wajib, Mustahil dan Harus Bagi Allah]
1 - Maka wajib bagi Allah Ta'ala sifat Wujud.
Lawannya ialah ketiadaan (‘adam).
Dalil bagi sifat ini ialah kewujudan makhluk-makhluk ini.
2 - Wajib bagi Allah Ta'ala sifat Qidam, yang
bermaksud Allah tiada permulaan.
Lawannya ialah baharu (huduth).
Dalilnya ialah sekiranya Allah baharu, nescaya Allahmemerlukan
kepada yang mengadakanNya dan ini adalah mustahil.
3 - Wajib bagi Allah Ta'ala sifat Baqa', yang
bermaksud AllahTa'ala tiada pengakhiran.
Lawannya ialah fana.
Dalilnya ialah sekiranya Allahfana, nescaya Allah adalah baharu
dan ini adalah mustahil.
4 - Wajib bagi Allah Ta'ala sifat Mukhalafah lil
Hawadith, yang bermaksud Allah tidak serupa dengan makhluk. Maka tiada
bagi-Nya tangan, mata, telinga atau lain-lain daripada sifat-sifat makhluk.
Lawannya ialah persamaan (mumathalah).
Dalilnya ialah sekiranya Allah serupa dengan makhluk, nescaya Allahadalah makhluk dan ini adalah mustahil.
5 - Wajib bagi Allah Taala sifat Qiyamuhu Bi Nafsir
(Berdiri dengan Sendiri-Nya), yang bermakna bahawa Allah Taala tidak berhajat
kepada tempat dan tidak pula kepada yang menjadikan.
Lawannya ialah berhajat kepada tempat dan yang menjadikan.
Dalilnya ialah, sekiranya Allah berhajat kepada tempat,
nescaya Allah adalah sifat dan keadaan-Nya sebagai sifat adalah mustahil.
Sekiranya Allah berhajat kepada yang menjadikan, nescaya Allah adalah baharu dan
keadaan-Nya sebagai sesuatu yang baharu adalah mustahil.
Wajib bagi Allah Taala sifat Esa pada Zat, pada Sifat dan
pada Perbuatan.
Makna Esa pada Zat ialah Zat-Nya tidak tersusun
daripada bahagian-bahagian yang banyak.
Makna Esa pada Sifat ialah Allah tidak mempunyai dua
sifat atau lebih daripada jenis yang sama, seperti dua sifat Kuasa (Qudrah)
dan sebagainya dan tiada bagi yang lain sifat yang menyerupai sifat-Nya Taala.
Makna Esa pada Perbuatan ialah tiada bagi selain-Nya
suatu perbuatan pun.
Lawannya ialah berbilang-bilang (ta’addud).
Dalilnya ialah, bahawa jika Allah berbilang-bilang, nescaya
tidak akan wujud sesuatu pun daripada makhluk-makhluk ini.
6 - Wajib bagi Allah Taala sifat Kuasa (Qudrah),
iaitu sifat yang qadim yang ada pada Zat Allah Taala, yang dengannya Allah mengadakan dan meniadakan.
Lawannya ialah lemah (‘Ajz).
Dalilnya ialah, sekiranya Allah bersifat lemah, nescaya tidak
akan wujud sesuatu pun daripada makhluk-makhluk ini.
7 - Wajib bagi Allah Taala sifat Berkehendak (Iradah),
iaitu sifat yang qadim yang ada pada Zat Allah Taala, yang dengannya Allah menentukan perkara yang mumkin (boleh ada atau tiada) dengan kewujudan
atau ketiadaan, atau dengan kekayaan atau kemiskinan, atau dengan ilmu atau
kejahilan dan sebagainya.
Lawannya ialah terpaksa (karahah).
Dalilnya ialah, sekiranya Allah bersifat terpaksa, nescaya Allah lemah dan keadaan-Nya lemah adalah mustahil.
8 - Wajib bagi Allah Taala sifat Mengetahui (‘Ilm),
iaitu sifat yang qadim yang ada pada Zat Allah Taala, yang dengannya Allah mengetahui segala sesuatu.
Lawannya ialah jahil.
Dalilnya ialah, sekiranya Allah jahil, nescaya Allah tidak
berkehendak dan itu adalah mustahil.
9 - Wajib bagi Allah Taala sifat Hidup (Hayah), iaitu
sifat yang qadim yang ada pada Zat Allah Taala, yang membolehkan-Nya untuk
bersifat dengan Ilmu dan sifat-sifat yang lain.
Lawannya ialah mati.
Dalilnya ialah, sekiranya Allah mati, nescaya Allah tidak
berkuasa, tidak berkehendak dan tidak mengetahui dan itu adalah mustahil.
10 & 11 - Wajib bagi Allah Taala Taala sifat Mendengar
(Sama’) dan Melihat (Basar), iaitu kedua-duanya adalah
sifat yang qadim yang ada pada Zat-Nya Taala, yang dengan kedua-duanya
tersingkap segala yang wujud.
Lawan bagi kedua-duanya ialah Pekak dan Buta.
Dalilnya ialah firman-Nya Taala: “Dialah Yang Maha Mendengar
lagi Maha Melihat.”
12 - Wajib bagi Allah Taala sifat Berkata-kata (kalam),
iaitu sifat yang qadim yang ada pada Zat Allah Taala, yang tidak berhuruf dan
tidak bersuara.
Lawannya ialah Bisu.
Dalilnya ialah firman-Nya Taala: “Allah telah berkata-kata
kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung).”
13 - Wajib bagi Allah Taala keadaan-Nya Berkuasa.
Lawannya ialah keadaan-Nya Lemah.
Dalilnya ialah dalil sifat Kuasa.
14 - Wajib bagi Allah Taala keadaan-Nya Berkehendak.
Lawannya ialah keadaan-Nya Terpaksa.
Dalilnya ialah dalil sifat Berkehendak.
15 - Wajib bagi Allah Taala keadaan-Nya Mengetahui.
Lawannya ialah keadaan-Nya Jahil.
Dalilnya ialah dalil sifat Mengetahui.
16 - Wajib bagi Allah Taala keadaan-Nya Hidup.
Lawannya ialah keadaan-Nya Mati.
Dalilnya ialah dalil sifat Hidup.
17 & 18 - Wajib bagi Allah Taala keadaan-Nya
Mendengar lagi Melihat.
Lawan bagi kedua-duanya ialah keadaan-Nya Pekak dan Buta.
Dalilnya ialah dalil sifat Mendengar dan dalil sifat
Melihat.
19 - Wajib bagi Allah Taala keadaan-Nya Berkata-kata.
Lawannya ialah keadaan-Nya Bisu.
Dalilnya ialah dalil sifat Berkata-kata.
20 - Sifat yang harus bagi Allah Taala ialah melakukan
setiap perkara yang mumkin (boleh ada atau tiada) atau meninggalkannya.
Dalilnya ialah, sekiranya wajib ke atas-Nya Subhanahu wa
Taala melakukan sesuatu perkara atau meninggalkannya, nescaya perkara yang
harus itu menjadi wajib atau mustahil dan itu adalah mustahil.
[Sifat Wajib, Mustahil dan Harus Bagi Rasul]
1 - Wajib bagi para Rasul ‘alaihimus solatu wassalam sifat
benar.
Lawannya ialah dusta.
Dalilnya ialah, sekiranya mereka berdusta, nescaya khabar
daripada Allah Subhanahu wa Taala menjadi dusta dan itu adalah mustahil.
2 - Wajib bagi mereka ‘alaihimus solatu wassalam sifat
amanah.
Lawannya ialah khianat.
Dalilnya ialah, sekiranya mereka khianat dengan melakukan
perbuatan yang haram atau makruh, nescaya kita akan diperintahkan dengan yang
seumpama itu dan tidak benar kita diperintahkan dengan perkara yang haram atau
makruh.
3 - Wajib bagi mereka ‘alaihimus solatu wassalam menyampaikan
(tabligh) apa yang mereka diperintahkan untuk menyampaikannya kepada
makhluk.
Lawannya ialah menyembunyikannya.
Dalilnya ialah, sekiranya mereka menyembunyikan sesuatu
daripada apa yang mereka diperintahkan untuk menyampaikannya, nescaya kita akan
diperintahkan untuk menyembunyikan ilmu dan tidak benar kita diperintahkan
dengannya kerana orang yang menyembunyikan ilmu itu dilaknat.
4 - Wajib bagi mereka ‘alaihimus solatu wassalam
sifat bijaksana (fatanah).
Lawannya ialah bodoh.
Dalilnya ialah, sekiranya tiada pada mereka sifat bijaksana,
nescaya mereka tidak akan mampu untuk menegakkan hujah ke atas lawan dan itu
adalah mustahil kerana al-Quran telah menunjukkan di dalam banyak tempat
tentang bagaimana mereka menegakkan hujah ke atas lawan.
5 – Sifat yang harus bagi mereka ‘alaihimus solatu
wassalam ialah sifat-sifat kemanusiaan yang tidak membawa kepada
kekurangan pada martabat mereka yang tinggi, seperti sakit dan seumpamanya.
Dalilnya ialah kerana ia disaksikan berlaku pada diri mereka
‘alaihimus solatu wassalam.
[Kewajipan Mengetahui Nasab Nabi]
Wajib ke atas seseorang untuk mengetahui nasab Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dari pihak
bapanya dan dari pihak ibunya.
Adapun nasabnya dari pihak bapanya, baginda ialah Sayyidina
Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusai
bin Kilab bin Murrah bin Ka'b bin Lu'ay bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin
an-Nadr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudar bin Nizar
bin Ma'ad bin Adnan. Tiada bagi nasab selepasnya (Adnan) sehingga kepada Nabi
Adam sanad yang sahih dalam apa yang diriwayatkan.
Adapun nasabnya dari pihak ibunya, baginda ialah Sayyidina
Muhammad bin Aminah binti Wahb bin Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab. Maka, nasab
baginda dari pihak ibu bertemu dengan nasab dari pihak bapa pada datuknya,
Kilab.
[Telaga dan Syafaat Nabi]
Antara perkara yang wajib juga diketahui ialah bahawa
baginda mempunyai sebuah telaga (Haudh) dan baginda akan memberi syafaat
pada hari pemutusan pengadilan. Syafaat ini adalah khusus bagi baginda.
[Kewajipan Mengenal Para Rasul]
Antara perkara yang wajib juga diketahui ialah mengenali
para Rasul yang disebutkan di dalam al-Quran secara terperinci. Adapun selain
mereka, maka wajib ke atasnya untuk mengenali mereka secara umum. Sebahagian
ulama telah menyusun dalam bentuk nazam nama para Nabi yang wajib diketahui
secara terperinci, lalu berkata:
Wajib ke atas setiap mukalaf untuk mengetahui, para anbiya
yang telah dikenal pasti secara terperinci.
Dalam (ayat) 'Tilka Hujjatuna' terdapat lapan belas
daripada mereka, dan berbaki tujuh lagi, dan mereka ialah:
Idris, Hud, Syu’aib, Soleh, dan juga Dzulkifli, Adam, dan
ditutup dengan al-Mukhtar (Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam).
[Keutamaan Kurun Nabi]
Antara perkara yang wajib diyakini juga ialah bahawa kurun
baginda adalah sebaik-baik kurun, kemudian kurun yang selepasnya, kemudian
kurun yang selepasnya.
[Anak-Anak Nabi]
Sewajarnya bagi seseorang untuk mengetahui anak-anak
baginda, iaitu seramai tujuh orang menurut pendapat yang sahih: Sayyidina
al-Qasim, Sayyidatina Zainab, Sayyidatina Ruqayyah, Sayyidatina Fatimah,
Sayyidatina Ummu Kulthum, Sayyidina Abdullah yang digelar at-Tayyib dan
at-Tahir dan Sayyidina Ibrahim.
Kesemua mereka adalah daripada Sayyidatina Khadijah
al-Kubra, kecuali Sayyidina Ibrahim adalah daripada Mariyah al-Qibtiyyah.
[Penutup dan Doa]
Inilah akhir apa yang telah dipermudahkan oleh Allah dengan limpah kurnia dan kemurahan-Nya. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kita Muhammad dan ke atas keluarga serta para sahabat baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan