Imam al-Ghazali ialah Hujjatul Islam, ahli fiqh umat ini, imam pada zamannya dan tokoh yang tiada tandingannya pada masanya.
Setiap ulama yang menulis biografinya telah memujinya dan
kaum Muslimin telah bersepakat (ijmak) bahawa beliau ialah mujaddid (pembaharu)
bagi kurun kelima Hijrah, sebagaimana yang dicatatkan oleh al-Nawawi,
al-Zahabi, al-Safadi, al-Yafi'i, al-Subki, al-Suyuti, dan lain-lain.
Sehinggakan al-Hafiz al-Suyuti berkata dalam nazamnya mengenai para mujaddid: “Dan
yang kelima, al-Hibr (sarjana agung) ialah al-Ghazali. Dan pengiraannya
(sebagai mujaddid) tiada pertikaian padanya.”
Sesiapa yang membaca biografinya akan mengetahui
kedudukannya dan akan menyedari kebatilan sesetengah golongan pada masa kini yang
tidak menghargai Hujjatul Islam, semoga Allah meredainya.
Adapun mengenai perkataan beliau yang memberitahu bahawa
modalnya dalam ilmu Hadis adalah terhad (muzjah), maka sesungguhnya
beliaulah, semoga Allah merahmatinya, yang telah menyatakannya dalam kitabnya, Qanun
al-Ta’wil. Beliau telah berkata: “Modalku dalam ilmu Hadis adalah terhad”. Hal
ini menunjukkan sifat insaf diri yang menakjubkan dan perkataan ini boleh
dianggap sebagai satu pujian buat beliau dan bukan suatu celaan.
Para imam juga telah menukilkan ungkapan tersebut. Akan
tetapi, kita ingin merenung kembali makna ungkapan itu, yang telah menyebabkan
sesetengah pihak pada zaman kita bertindak melampaui batas terhadap Hujjatul
Islam dan mencelanya hanya kerana perkataan yang telah diucapkannya tentang
dirinya sendiri.
Hujjatul Islam al-Ghazali telah mengatakan ungkapan tersebut
dan para ulama telah memperakuinya. Ia bukanlah satu tuduhan terhadapnya atau
suatu celaan sebaliknya, modalnya dalam ilmu Hadis adalah terhad jika
dibandingkan dengan para pakar terkemuka dalam bidang Hadis daripada kalangan
ulama zamannya atau sebelumnya.
Modal beliau dalam ilmu Hadis adalah terhad jika
dibandingkan dengan ilmu Imam Malik, al-Syafi'i, Ahmad, atau al-Bukhari dan
yang setaraf dengan mereka atau jika dibandingkan dengan para ulama sezaman
dengannya seperti al-Baghawi dan Abu Tahir al-Silafi serta yang seumpamanya.
Ini tidaklah bermakna bahawa beliau jahil tentang ilmu tersebut atau
mengambilnya secara buta tuli seperti yang disangka oleh sesetengah pihak.
Meskipun kita yakin bahawa kedudukan al-Ghazali dalam bidang
Hadis adalah di bawah al-Baghawi, al-Silafi dan yang setaraf dengan mereka,
namun mereka berdua tidaklah setanding dengan Abu Hamid al-Ghazali dalam bidang
Fiqah, Usul dan Kalam. Beliau ialah Hujjah pada zamannya dalam bidang Fiqah
Mazhab Syafi'i dengan kesepakatan para ulama dan hal itu bukanlah suatu
kekurangan pada mereka berdua. Maka, perhatikanlah.
Maka, makna ungkapan tersebut bukanlah beliau tidak
mengetahui apa-apa dalam ilmu Hadis seperti yang disalah sangka oleh sesetengah
penuntut ilmu yang dangkal. Sebenarnya, al-Ghazali adalah seorang yang alim
tentang Hadis dan dalil-dalilnya. Beliau mempunyai pengetahuan dan wawasan tentang
para perawi dan matan, tahap penghukuman ke atas hadis dan seumpamanya.
Maka, sesiapa pada zaman kita ini yang mencela Hujjatul
Islam kerana hal itu, ilmu salah seorang daripada mereka tentang Hadis dan
ilmu-ilmunya tidaklah mencapai walau satu per seratus pun daripada apa yang
telah dicapai oleh Hujjatul Islam al-Ghazali. Antara yang membuktikan hal ini
adalah seperti yang berikut:
1 - Pengembaraan dan hadis-hadis yang didengarinya:
Hujjatul Islam al-Ghazali telah mengembara ke negeri Syam,
Iraq, Makkah dan Mesir. Beliau juga menetap di Iskandariah dan negeri-negeri
Islam yang lain untuk menuntut ilmu dan mendengar riwayat hadis. Beliau
bermajlis dengan para fuqaha, muhaddithin dan lain-lain, sehinggakan telah
dinyatakan dalam biografi Imam Abu Tahir al-Jurjani: “Beliau (al-Jurjani) biasa
menerima pelajaran daripada Imam al-Haramain dan sibuk dengan penulisan Hadis,
mendengar riwayat, dan membaca. Beliau bertuah dapat mendampingi Imam
al-Ghazali dan keluar bersamanya ke Iraq, lalu memperoleh ilmu mazhab dan
khilaf. Beliau juga menemaninya ke Hijaz dan Syam, serta mengembara bersamanya
sepanjang tempoh al-Ghazali berada di negeri-negeri tersebut.”
Hujjatul Islam al-Ghazali telah mengembara untuk mendengar
Hadis daripada Imam al-Hafiz Abu Nasr al-Isma'ili dan beliau mempunyai
majlis-majlis imlak dalam bidang Hadis. Beliau telah mengembara ke Jurjan untuk
mendengar daripada Abu Nasr al-Isma'ili dan mencatat karya al-Ta'liq
daripadanya.
Al-Hafiz Ibnu 'Asakir menyebutkan bahawa Hujjatul Islam
al-Ghazali telah mendengar Sahih al-Bukhari dan syarahnya daripada al-Hafiz
al-Jawwal 'Umar bin 'Abd al-Karim bin Sa'dawiyah ketika beliau singgah di Tus.
Lalu, al-Ghazali menempatkannya di rumahnya dan mendengar daripadanya al-Sahih
dan syarahnya.
Al-Hafiz al-Zahabi berkata: “Abu Hamid al-Ghazali telah
menyemak al-Sahihayn (dua kitab Sahih) daripadanya.”
Bahkan, beliau mendengar Sahih al-Bukhari daripada al-Syeikh
al-Musnid Abu Sahl Muhammad bin 'Ubaidillah al-Hafsi al-Marwazi, perawi Sahih
al-Bukhari, daripada Abu al-Haitham al-Kushmihani, murid al-Firabri.
Beliau juga mendengar Sunan Abi Dawud daripada al-Qadi Abu
al-Fath al-Hakimi al-Tusi dan mendengar daripada Abu 'Abdillah Muhammad bin
Ahmad al-Khawari, bersama kedua-dua anaknya, iaitu Syeikh 'Abd al-Jabbar dan
Syeikh 'Abd al-Hamid, kitab al-Mawlid oleh Ibnu Abi 'Asim, melalui
riwayat Abu Bakr Ahmad bin Mahmud bin al-Harith, daripada Abu al-Syeikh,
daripadanya (Ibnu Abi 'Asim).”
Hujjatul Islam al-Ghazali juga menumpukan perhatian kepada Muwatta'
Malik. Beliau telah mendengar al-Muwatta’ daripada Imam yang Agung,
Musnid dari Maghrib, Abu al-Hasan 'Ali bin Ahmad bin Hunayn al-Kinani
al-Qurtubi al-Maliki. Daripadanya, beliau mendengar al-Muwatta’ menurut riwayat
Yahya bin Bukayr, melalui pendengarannya daripada al-Faqih Nasr.
Perkara ini dan lain-lainnya menunjukkan bahawa Imam
al-Ghazali sememangnya mengambil berat tentang ilmu hadis dan mempunyai
pengetahuan yang baik mengenainya dan beliau bukanlah seperti yang disangkakan
oleh sesetengah golongan masa kini.
2 - Riwayat para pakar hadis (Huffaz) daripadanya:
Al-Hafiz Ibnu Kathir berkata dalam Tabaqat al-Syafi‘iyyin:
“Dan antara apa yang aku perolehi daripada riwayat al-Ghazali, semoga Allah
merahmatinya”.
Kemudian, al-Hafiz Ibn Kathir meriwayatkan daripada
syeikhnya, al-Hafiz al-Mizzi, daripada Abu ‘Abdillah al-Maqdisi, daripada Abu
al-Muzhaffar al-Sam‘ani, daripada al-Sayyid Abu al-Qasim al-Kufi, daripada Abu
‘Ali al-Farmazi, daripada Abu Hamid al-Ghazali, daripada Abu Bakr
Muhammad bin al-Qattan, daripada Abu Sa‘id al-Jurjani, daripada Muhammad bin
al-Hasan bin Qutaibah, daripada Muhammad bin Abi Muhammad bin Muhammad al-Laith
al-‘Asqalani, daripada al-Mu‘tamir bin Sulaiman, daripada ayahnya, daripada Sulaiman
bin Mihran, daripada Mahdi bin Wahb, daripada Ibn Mas‘ud, daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan bagindalah
yang benar lagi dibenarkan...”
Kemudian, Ibnu Kathir berkata: “Beginilah yang tercatat
dalam riwayat kami dan ia adalah sebuah hadis yang disepakati kesahihannya”.
Seumpamanya juga dilakukan oleh Imam al-Subki apabila beliau
membuka satu bab dengan judul: “Dan antara riwayat daripada Hujjatul Islam,
semoga Allah memberkati zamannya”.
3 - Al-Ghazali mensyaratkan bagi seorang mujtahid untuk
mengetahui Sunnah:
Beliau berkata tentang syarat seorang mujtahid pada kadar
paling minimum: “Bahawa dia mempunyai sebuah naskhah asal (kitab hadis) yang
telah disemak bagi kesemua hadis yang berkaitan dengan hukum-hakam, seperti Sunan
Abi Dawud dan Ma‘rifah al-Sunan oleh Ahmad al-Bayhaqi atau sebuah naskhah asal
yang menumpukan kepada himpunan semua hadis berkaitan hukum. Cukuplah baginya
untuk mengetahui kedudukan setiap bab agar dia dapat merujuknya ketika perlu
untuk berfatwa dan jika dia mampu menghafaznya, maka itu adalah lebih baik dan
lebih sempurna.”
Beliau juga pernah berkata: Kitab Abu Dawud sudah memadai
untuk seorang mujtahid. Nasnya, seperti yang disebutkan oleh al-Hafiz
al-Sakhawi, ialah: “(Kitab) yang telah ditegaskan oleh Hujjatul Islam
al-Ghazali sebagai sudah mencukupi bagi seorang mujtahid dalam bidang hadis.”
Maka, al-Ghazali tidaklah jauh daripada al-Sahihayn,
kitab-kitab Sunan dan Athar. Sebaliknya, beliau mempunyai riwayat-riwayat hadus
yang didengar, riwayat-riwayat yang disampaikan, dan majlis-majlis pengajian
hadisnya yang tersendiri. Beliau juga berpesan kepada para ahli fiqah agar
mempunyai pengetahuan tentang Sunan Abi Dawud dan Ma‘rifah al-Sunan wa al-Athar
oleh al-Baihaqi.
4 - Al-Ghazali tergolong dalam kalangan para Muhaddithin:
Beliau telah disenaraikan oleh al-Hafiz al-Zahabi dalam
kitab al-Mu‘in fi Tabaqat al-Muhaddithin, iaitu sebuah kitab yang
dikarang untuk menyenaraikan nama-nama tokoh agung pembawa riwayat-riwayat
kenabian. Beliau berkata: “Syeikh para ulama Syafi'i di Khurasan, Abu Hamid
Muhammad bin Muhammad al-Tusi al-Ghazali, pengarang pelbagai karya.”
Ibnu al-Najjar berkata tentangnya: “Imam para fuqaha secara
mutlak, pendidik umat ini dengan kesepakatan, mujtahid zamannya dan tokoh
terkemuka pada waktu dan masanya... dan beliau bangkit membela Sunnah serta
menzahirkan agama”.
Setelah semua ini, al-Ghazali merasakan bahawa beliau belum
memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada Hadis, lalu menuduh dirinya
memiliki modal yang sedikit dalam bidang itu. Maka, pada akhir usianya, beliau
menumpukan sepenuh perhatian kepadanya dan sentiasa mendampinginya. Sehinggakan
al-Hafiz al-Zahabi berkata: “Pengakhiran usianya ialah dengan menumpukan diri
kepada menuntut hadis al-Mustafa sallahu
‘alaihi wasallam, bermajlis dengan ahlinya dan menelaah al-Sahihayn.
Kalaulah beliau hidup lebih lama, nescaya beliau akan mengatasi semua orang
dalam bidang ini dalam masa yang singkat.”
Tidak syak lagi bahawa ungkapan al-Zahabi ini menyingkapkan
apa yang kita tegaskan, iaitu beliau sememangnya mempunyai pengetahuan yang
baik, tetapi bukan seperti pakar khusus dalam ilmu hadis dari kalangan
sezamannya, kerana kesibukannya dengan ilmu-ilmu akal. Namun, sekiranya beliau
hidup lebih lama sedikit, nescaya beliau akan menguasainya dan mendahului yang
lain.
Telah maklum bahawa ilmu Hadis tidak dapat dikuasai dalam
beberapa hari, yang mana ini menunjukkan bahawa al-Ghazali pada dasarnya adalah
seorang alim dalam hadis, kerana beliau mempunyai apa yang melayakkannya untuk
mengatasi para imam zamannya jika beliau menumpukan perhatian kepada ilmu ini
untuk tempoh yang singkat.
Al-Hafiz Ibnu ‘Asakir berkata: “Beliau mula mengarang
karya-karya masyhur yang tiada tandingannya sebelum itu seperti Ihya’ ‘Ulum
al-Din dan kitab-kitab ringkas seperti al-Arba‘in dan lain-lain, yang mana
sesiapa yang menelitinya akan mengetahui kedalaman ilmu lelaki itu (al-Ghazali)
dalam pelbagai cabang ilmu.”
Daripada ini, jelaslah bahawa golongan masa kini yang
mencela Hujjatul Islam tidaklah ilmu salah seorang daripada mereka dalam bidang
Hadis mencapai walau satu per seratus pun daripada ilmu beliau. Sesiapa yang
menelaah kitab-kitabnya dan apa yang diriwayatkannya daripada hadis-hadis dan
athar, akan mengetahui kedudukan tokoh ini dan sejauh mana pengetahuannya
tentang hadis dan perkataan-perkataan para Salaf.
Adapun bantahan terhadapnya bahawa beliau meriwayatkan hadis
sahih bersama yang daif dan adakalanya meriwayatkan hadis-hadis palsu, maka ini
adalah suatu perkara yang terdapat dalam kitab-kitab ramai ahli ilmu dan hal
itu bukanlah suatu celaan terhadap mereka mahupun terhadap ilmu mereka.
Rujukan:
Al-Kawasyif al-Jaliyyah Fi al-Radd 'Ala al-Wahabiyyah oleh Dr Ibrahim Sya'ban al-Mursyidi al-Azhari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan