Khamis, 31 Julai 2025

Faraid: Islam Menzalimi Wanita?

Soalan:

Bagaimana seorang Muslim menjawab syubhah mereka yang mendakwa bahawa Islam telah menzalimi wanita dalam persoalan harta pusaka?

Jawapan Syeikh Dr Ali Juma’ah:

Sering kali kedengaran dakwaan sesetengah pihak: “Islam telah menzalimi wanita kerana menetapkan bahagiannya dalam harta pusaka adalah separuh daripada bahagian lelaki.”

Kita sebagai orang Islam beriman dengan prinsip-prinsip yang kukuh mengenai sifat-sifat Allah Taala, yang menyebabkan syubhah sebegini tidak akan terlintas di hati kita. Prinsip-prinsip ini adalah bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala merupakan Hakim yang Maha Adil, keadilan-Nya mutlak dan tidak ada dalam syariat-Nya sebarang kezaliman terhadap manusia atau mana-mana makhluk-Nya.

Firman Allah Taala: “Dan Tuhanmu tidak menzalimi seorang pun jua.” (Al-Kahf: 19)

Firman-Nya: Dan mereka tidak dianiaya sedikit pun.” (Al-Isra’: 72)

Firman-Nya: Dan bahawasanya Allah tidak sekali-kali menzalimi hamba-hamba-Nya.” (Al-Hajj: 10)

Firman-Nya: Dan Allah sekali-kali tidak hendak menzalimi mereka.” (Al-‘Ankabut: 40)

Firman-Nya: Sesungguhnya Allah tidak akan menzalimi walaupun seberat zarah.” (Al-Nisa’: 41)

Firman-Nya: Dan mereka tidak akan dianiaya walau sedikit pun.” (Al-Nisa’: 124)

Firman-Nya Subhanahu wa Ta'ala: “Maka Allah sekali-kali tidak akan menzalimi mereka.” (Al-Taubah: 70)

Perbezaan pada bahagian-bahagian pusaka adalah asas kepada persoalan harta pusaka dalam Fiqh Islam. Bahagian-bahagian ini tidak berbeza mengikut jantina, sebaliknya ia berbeza berdasarkan tiga kriteria:

Pertama: Darjah kekerabatan antara waris dengan si mati, sama ada lelaki atau perempuan. Semakin dekat pertaliannya, semakin besar bahagian pusaka dan semakin jauh pertaliannya, semakin kecil bahagian pusaka, tanpa mengambil kira jantina waris.

Contohnya, seorang anak perempuan mewarisi separuh harta peninggalan ibunya (seorang perempuan), manakala bapanya mewarisi satu perempat harta tersebut (seorang lelaki). Hal ini kerana anak perempuan itu lebih dekat pertaliannya berbanding si suami, maka atas sebab inilah bahagian pusakanya bertambah.

Kedua: Kedudukan generasi yang mewarisi. Generasi yang menempuh kehidupan dan bersedia untuk memikul tanggungjawabnya, kebiasaannya bahagian pusaka mereka lebih besar daripada bahagian generasi yang menuju penghujung kehidupan dan diringankan tanggungjawabnya, bahkan tanggungjawab mereka - kebiasaannya - terpikul oleh orang lain.

Hal ini adalah tanpa mengira kelakian atau keperempuanan waris-waris tersebut. Maka, anak perempuan si mati mewarisi lebih banyak daripada ibunya – dan kedua-duanya adalah wanita – dan anak perempuan si mati juga mewarisi lebih banyak daripada bapanya, sebagai contoh, dalam keadaan dia mempunyai saudara lelaki.

Ketiga: Beban Kewangan. Ini adalah satu-satunya kriteria yang mewujudkan perbezaan antara lelaki dan perempuan, tetapi ia adalah perbezaan yang tidak membawa kepada sebarang kezaliman terhadap wanita atau mengurangkan keadilannya, bahkan mungkin sebaliknya yang benar.

Apabila para waris berada pada kedudukan yang sama dari sudut dua faktor pertama (darjah kekerabatan dan kedudukan generasi) – seperti anak-anak si mati, lelaki dan perempuan – maka perbezaan beban kewangan menjadi sebab kepada perbezaan bahagian pusaka. Oleh sebab itu, al-Quran tidak menyamaratakan perbezaan ini antara lelaki dan perempuan bagi semua waris, sebaliknya mengehadkannya kepada keadaan yang khusus ini sahaja.

Hikmah di sebalik perbezaan dalam keadaan khusus ini adalah bahawa waris lelaki dipertanggungjawabkan untuk menanggung nafkah seorang wanita – iaitu isterinya – berserta anak-anak mereka. Manakala waris wanita (saudara perempuan kepada waris lelaki itu), nafkahnya dan anak-anaknya adalah menjadi tanggungjawab suaminya.

Maka, wanita tersebut – walaupun bahagian pusakanya lebih sedikit berbanding saudara lelakinya yang mewarisi dua kali ganda – sebenarnya lebih beruntung dan istimewa daripadanya dalam hal pusaka. Ini kerana harta pusaka yang diterimanya – dengan pelepasan daripada tanggungjawab untuk menafkahi sesiapa – adalah aset kewangan yang bersih dan simpanan khas untuknya. Ia bertujuan untuk membantu mengimbangi fitrahnya sebagai wanita dan menjamin kehidupannya daripada sebarang risiko dan ketidaktentuan. Inilah hikmah Ilahi yang mungkin tidak difahami oleh ramai orang.

Antara bebanan kewangan seorang lelaki adalah seperti berikut:

1.  Lelaki mempunyai bebanan kewangan pada permulaan kehidupan perkahwinannya dan ikatannya dengan isteri, di mana dia perlu membayar mahar. Firman Allah Taala: Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib.” (Al-Nisa’: 4)

Mahar adalah satu kewajipan kewangan yang dibayar oleh lelaki kepada wanita sebagai sebahagian daripada peraturan permulaan kehidupan berumah tangga. Wanita pula mempunyai keistimewaan berbanding lelaki, di mana lelaki tidak berhak menuntut mahar daripada wanita sekiranya wanita itu ingin berkahwin dengannya.

2.  Lelaki selepas berkahwin perlu menafkahi isteri, walaupun si isteri memiliki harta yang lebih banyak daripadanya. Lelaki tidak berhak menuntut isteri untuk menanggung perbelanjaan dirinya sendiri, apatah lagi menuntut agar isteri menafkahinya; kerana Islam telah memuliakannya dan memelihara hartanya, serta tidak mewajibkan dia untuk membelanjakannya.

3.  Lelaki juga dipertanggungjawabkan ke atas kaum kerabat dan selainnya yang wajib dinafkahinya, di mana dia memikul bebanan keluarga dan tanggungjawab sosial yang dahulunya dipikul oleh si mati, kerana dia dianggap sebagai sebahagian daripadanya, atau penyambungnya, atau waris asabahnya.

Sebab-sebab ini dan yang lain membuatkan kita melihat kepada wang atau harta kekayaan dengan pandangan yang lebih objektif, iaitu bahawa harta kekayaan, wang, atau pemilikan adalah konsep yang lebih luas daripada konsep pendapatan. Pendapatan ialah wang yang diterima yang menambah kepada kekayaan dan bukan kekayaan itu sendiri, di mana kekayaan melambangkan jumlah baki daripada pendapatan dan perbelanjaan.

Dengan pertimbangan ini, kita dapati bahawa Islam memberikan wanita separuh bahagian lelaki pada pendapatan yang diterima dan menjamin haknya untuk menyimpan pendapatan ini tanpa berkurang melainkan untuk hak Allah seperti zakat. Adapun lelaki, Allah memberikannya pendapatan yang lebih besar dan menuntutnya untuk menafkahi isteri, anak-anak dan ibu bapanya jika mereka telah tua, serta sesiapa sahaja yang wajib dinafkahinya daripada kalangan kaum kerabat dan khadam. Apa yang wujud pada zaman kita ini seperti pelbagai sewa dan bil; semua ini membuatkan kita yakin bahawa Allah telah melebihkan wanita berbanding lelaki dari segi kekayaan kerana Dia menjamin pemeliharaan hartanya dan tidak menuntutnya dengan sebarang bentuk perbelanjaan.

Oleh itu, apabila persoalan tanggungjawab kewangan tidak lagi wujud, seperti mana halnya dalam urusan pewarisan bagi saudara-saudara lelaki dan perempuan seibu, kita dapati bahawa Syarak yang Bijaksana telah menyamakan antara bahagian lelaki dengan bahagian perempuan dalam kalangan mereka dari segi pusaka. Firman Allah Taala: Dan jika seorang lelaki atau perempuan yang diwarisi itu kalalah (tidak mempunyai anak dan bapa), sedang dia mempunyai seorang saudara lelaki (seibu) atau seorang saudara perempuan (seibu), maka bagi tiap-tiap seorang daripada keduanya ialah seperenam. Tetapi jika mereka (saudara-saudara seibu itu) lebih daripada seorang, maka mereka bersekutu pada (bahagian) yang sepertiga itu.” (Al-Nisa’:12)

Maka, penyamaan di sini antara lelaki dan perempuan dalam harta pusaka adalah kerana asas pewarisan mereka di sini ialah pertalian darah dan mereka bukanlah asabah kepada si mati sehingga lelaki itu menjadi pemikul tanggungjawab tanpa melibatkan wanita. Oleh itu, tiada sebarang tanggungjawab atau bebanan yang terpikul di bahunya berdasarkan pertimbangan ini.

Melalui penelitian terhadap keadaan-keadaan dan persoalan-persoalan pusaka, tersingkap kepada sebahagian ulama dan pengkaji akan hakikat-hakikat yang mungkin memeranjatkan ramai orang; di mana terzahirnya perkara-perkara berikut:

Pertama: Terdapat hanya empat keadaan sahaja di mana wanita mewarisi separuh bahagian lelaki.

Kedua: Dalam keadaan yang berganda-ganda jumlahnya daripada keadaan tersebut, wanita mewarisi sama seperti lelaki.

Ketiga: Terdapat keadaan yang sangat banyak di mana wanita mewarisi lebih banyak daripada lelaki.

Keempat: Terdapat keadaan di mana wanita mewarisi, sedangkan waris lelaki yang setara dengannya tidak mewarisi.

Perincian bagi keadaan-keadaan tersebut adalah seperti berikut:

Pertama: Keadaan-keadaan di mana wanita mewarisi separuh bahagian lelaki:

1.  Anak perempuan bersama saudara-saudara lelakinya dan cucu perempuan bersama cucu lelaki.

2.  Bapa dan ibu, tanpa kehadiran anak-anak atau suami atau isteri.

3.  Saudara perempuan kandung bersama saudara-saudara lelakinya yang kandung.

4.  Saudara perempuan seayah bersama saudara-saudara lelakinya yang seayah.

Kedua: Keadaan-keadaan di mana wanita mewarisi sama bahagian seperti lelaki:

1.  Bapa dan ibu, dalam keadaan wujudnya waris cabang (anak).

2.  Saudara lelaki dan saudara perempuan seibu.

3.  Saudara-saudara perempuan bersama dengan saudara-saudara lelaki dan perempuan seibu.

4.  Anak perempuan bersama bapa saudaranya atau waris asabah terdekat kepada bapa (dengan syarat tiada penghalang).

5.  Bapa bersama nenek (sebelah ibu) dan anak lelaki kepada anak lelaki.

6.  Suami, ibu, dua orang saudara perempuan seibu dan seorang saudara lelaki kandung, berdasarkan keputusan Saidina Umar RA, maka kedua-dua saudara perempuan seibu dan saudara lelaki kandung itu berkongsi pada bahagian sepertiga.

7.  Seorang lelaki atau seorang wanita menjadi waris tunggal. Anak lelaki jika seorang diri akan mewarisi keseluruhan harta secara ta'sib (waris yang ambil baki harta selepas bahagian yang sudah ditetapkan telah diberikan kepada waris lain), manakala anak perempuan akan mewarisi separuh secara fardh (bahagian tetap yang disebut dalam al-Quran) dan bakinya secara radd (lebihan harta yang tidak diambil oleh waris lain akan dikembalikan kepada waris yang telah ambil bahagian tetap). Begitu juga, jika si mati hanya meninggalkan seorang bapa, dia akan mewarisi keseluruhan harta secara ta'sib dan jika hanya meninggalkan seorang ibu, dia akan mewarisi sepertiga secara fardh dan bakinya secara radd kepadanya.

8.  Suami bersama saudara perempuan kandung. Maka dia (saudara perempuan) akan mendapat bahagian yang sama sepertimana jika dia seorang lelaki. Maksudnya, jika si mati (wanita) meninggalkan suami dan seorang saudara lelaki kandung, suami akan mengambil separuh dan bakinya adalah untuk saudara lelaki itu secara ta'sib. Jika si mati meninggalkan suami dan seorang saudara perempuan, suami akan mengambil separuh dan saudara perempuan itu juga akan mengambil separuh.

9.  Saudara perempuan seibu bersama saudara lelaki kandung. Ini berlaku jika si mati (wanita) meninggalkan suami, ibu, seorang saudara perempuan seibu dan seorang saudara lelaki kandung, maka suami akan mengambil separuh, ibu seperenam, saudara perempuan seibu seperenam dan bakinya untuk saudara lelaki kandung secara `ta'sib`, iaitu seperenam.

10. Dzawil Arham (kaum kerabat jauh) dalam mazhab Ahli Rahim, yang mana ia diamalkan dalam undang-undang Mesir dalam Perkara 31 Undang-Undang No. 77 tahun 1943. Ia menetapkan bahawa jika tiada waris ashabul furud (waris yang telah ditetapkan bahagiannya secara khusus) atau asabah, maka Dzawil Arham menjadi waris. Harta pusaka dibahagikan sesama mereka secara sama rata, seperti jika si mati meninggalkan (cucu perempuan dari anak perempuan, cucu lelaki dari anak perempuan, bapa saudara sebelah ibu, dan ibu saudara sebelah ibu), maka kesemua mereka mewarisi bahagian yang sama.

11. Terdapat enam golongan yang tidak akan sekali-kali terhalang daripada mewarisi secara hajb hirman (halangan sepenuhnya), iaitu tiga daripada lelaki dan tiga daripada wanita. Daripada kalangan lelaki ialah (suami, anak lelaki, dan bapa) dan daripada kalangan wanita ialah (isteri, anak perempuan, dan ibu).

Ketiga: Keadaan-keadaan di mana wanita mewarisi lebih banyak daripada lelaki:

1.  Suami bersama anak perempuannya yang tunggal.

2.  Suami bersama dua orang anak perempuannya.

3.  Anak perempuan bersama bapa-bapa saudaranya.

4.  Jika seorang wanita meninggal dunia meninggalkan enam puluh ekar, dan waris-warisnya ialah (suami, bapa, ibu, dan dua orang anak perempuan), maka bahagian kedua-dua anak perempuan itu ialah 32 ekar, yang bermakna bahagian setiap anak perempuan ialah 16 ekar. Sedangkan jika dia meninggalkan dua orang anak lelaki sebagai ganti dua orang anak perempuan, setiap anak lelaki akan mewarisi 12.5 ekar kerana bahagian kedua-dua anak perempuan ialah dua pertiga harta dan bahagian kedua-dua anak lelaki ialah baki harta secara ta'sib selepas bahagian waris ashabul furud.

5.  Jika seorang wanita meninggal dunia meninggalkan 48 ekar dan waris-warisnya (suami, dua orang saudara perempuan kandung dan ibu), kedua-dua saudara perempuan itu mewarisi dua pertiga harta yang bermakna bahagian setiap seorang saudara perempuan ialah 12 ekar. Sedangkan jika dia meninggalkan dua orang saudara lelaki sebagai ganti dua orang saudara perempuan, setiap saudara lelaki akan mewarisi 8 ekar kerana mereka mewarisi baki harta secara ta'sib selepas bahagian suami dan ibu.

6.  Masalah yang sama jika dia meninggalkan dua orang saudara perempuan seayah, di mana mereka mewarisi lebih banyak daripada dua orang saudara lelaki seayah.

7.  Jika seorang wanita meninggal dunia dan meninggalkan (suami, bapa, ibu, dan seorang anak perempuan) dan hartanya ialah 156 ekar, maka anak perempuan itu akan mewarisi separuh harta iaitu bersamaan 72 ekar. Adapun jika dia meninggalkan seorang anak lelaki sebagai ganti anak perempuan, dia akan mewarisi 65 ekar kerana dia mewarisi baki secara ta'sib selepas bahagian-bahagian fardh (suami, bapa dan ibu).

8.  Jika seorang wanita meninggal dunia dan meninggalkan (suami, ibu dan seorang saudara perempuan kandung) dan hartanya ialah 48 ekar sebagai contoh, maka saudara perempuan kandung itu akan mewarisi 18 ekar. Sedangkan jika dia meninggalkan seorang saudara lelaki kandung sebagai ganti saudara perempuan itu, dia akan mewarisi 8 ekar sahaja kerana dia akan mewarisi baki secara ta'sib selepas bahagian suami dan ibu. Maka, dalam keadaan ini, saudara perempuan kandung itu mewarisi lebih daripada dua kali ganda bahagian saudara lelaki kandung.

9.  Jika seorang lelaki meninggalkan (isteri, ibu, dua orang saudara perempuan seibu, dan dua orang saudara lelaki kandung) dan hartanya ialah 48 ekar, kedua-dua saudara perempuan seibu – yang mana lebih jauh kekerabatannya – akan mewarisi 16 ekar, maka bahagian setiap seorang ialah 8 ekar. Sedangkan kedua-dua saudara lelaki kandung akan mewarisi 12 ekar, yang bermakna bahagian setiap seorang ialah 6 ekar.

10. Jika seorang wanita meninggalkan (suami, seorang saudara perempuan seibu, dan dua orang saudara lelaki kandung) dan hartanya ialah 120 ekar, saudara perempuan seibu itu akan mewarisi sepertiga harta, yang bersamaan dengan 40 ekar, manakala kedua-dua saudara lelaki kandung akan mewarisi 20 ekar. Ini bermakna saudara perempuan seibu, yang lebih jauh kekerabatannya, mendapat empat kali ganda bahagian saudara lelaki kandung.

11. Ibu dalam keadaan ketiadaan waris cabang (anak)dan kehadiran suami, menurut mazhab Ibnu Abbas RA. Jika seorang wanita meninggal dunia dan meninggalkan (bapa, ibu, dan suami), maka suami mendapat separuh, ibu mendapat sepertiga, dan bakinya untuk bapa, iaitu seperenam, yang bersamaan separuh daripada bahagian isterinya (iaitu si ibu).

12. Jika seorang wanita meninggalkan (suami, ibu, seorang saudara perempuan seibu, dan dua orang saudara lelaki kandung) dan hartanya ialah 60 ekar, maka saudara perempuan seibu itu akan mewarisi 10 ekar, sedangkan setiap saudara lelaki akan mewarisi 5 ekar. Ini bermakna bahagian saudara perempuan seibu adalah dua kali ganda bahagian saudara lelaki kandung, sedangkan dia lebih jauh kekerabatannya.

13. Jika seorang lelaki meninggalkan (isteri, bapa, ibu, seorang anak perempuan, dan seorang cucu perempuan dari anak lelaki), dan hartanya ialah 576 ekar, maka bahagian cucu perempuan dari anak lelaki itu ialah 96 ekar. Sedangkan jika dia meninggalkan seorang cucu lelaki dari anak lelaki, bahagiannya hanyalah 27 ekar.

14. Jika si mati meninggalkan (ibu, nenek sebelah ibu, dan nenek sebelah bapa) dan hartanya ialah 60 ekar sebagai contoh, maka ibu akan mewarisi seperenam secara fardh dan bakinya secara radd. Adapun jika si mati meninggalkan seorang bapa sebagai ganti ibu, bermaksud dia meninggalkan (bapa, nenek sebelah ibu, dan nenek sebelah bapa), maka nenek sebelah ibu akan mewarisi dan tidak akan terhalang daripada mendapat seperenam, iaitu 10 ekar dan bakinya untuk bapa, iaitu 50 ekar. Ini bermakna si ibu (dalam kes pertama) mewarisi keseluruhan harta sebanyak 60 ekar, sedangkan si bapa jika berada di tempatnya akan mewarisi 50 ekar sahaja.

Keempat: Keadaan-keadaan di mana wanita mewarisi sedangkan waris lelaki yang setara dengannya tidak mewarisi:

1.  Jika seorang wanita meninggal dunia dan meninggalkan (suami, bapa, ibu, seorang anak perempuan dan seorang cucu perempuan dari anak lelaki) dan meninggalkan harta sebanyak 195 ekar sebagai contoh, maka cucu perempuan dari anak lelaki itu akan mewarisi seperenam, iaitu 26 ekar. Sedangkan jika wanita itu meninggalkan seorang cucu lelaki dari anak lelaki sebagai ganti cucu perempuan dari anak lelaki, bahagiannya adalah sifar kerana dia sepatutnya mengambil baki secara ta'sib dan tiada baki yang tinggal. Pembahagian ini berbeza dengan undang-undang wasiat wajibah yang diguna pakai oleh Undang-undang Mesir No. 71 tahun 1946, yang mana ia menyalahi mazhab-mazhab yang ada. Kita di sini berbicara mengenai mazhab-mazhab yang muktabar dan bagaimana ia memberikan bahagian kepada wanita, tetapi tidak memberikan kepada waris lelaki yang setara dengannya.

2.  Jika seorang wanita meninggalkan (suami, seorang saudara perempuan kandung dan seorang saudara perempuan seayah) dan hartanya ialah 84 ekar sebagai contoh, maka saudara perempuan seayah itu akan mewarisi seperenam, iaitu bersamaan 12 ekar. Sedangkan jika terdapat seorang saudara lelaki seayah sebagai ganti saudara perempuan itu, dia tidak akan mewarisi kerana separuh untuk suami, separuh untuk saudara perempuan kandung, dan bakinya untuk saudara lelaki seayah, dan tiada baki yang tinggal.

3.  Pusaka nenek: Sering kali nenek mewarisi sedangkan datuk yang setara dengannya tidak mewarisi. Dengan meneliti kaedah pusaka datuk dan nenek, kita dapati seperti berikut: Datuk yang sahih (iaitu yang boleh mewarisi) ialah datuk yang dalam nasabnya kepada si mati tidak diselangi oleh seorang wanita, seperti bapa kepada bapa atau bapa kepada bapa kepada bapa dan seterusnya ke atas. Adapun bapa kepada ibu atau bapa kepada ibu kepada ibu, dia adalah datuk yang fasid (iaitu tidak boleh mewarisi), walaupun terdapat perbezaan istilah dalam kalangan fuqaha. Adapun nenek yang sahih ialah nenek yang dalam nasabnya kepada si mati tidak diselangi oleh datuk yang tidak sahih, atau setiap nenek yang dalam nasabnya kepada si mati tidak diselangi oleh seorang bapa di antara dua orang ibu. Berdasarkan ini, ibu kepada bapa kepada ibu adalah nenek yang fasid, tetapi ibu kepada ibu, dan ibu kepada ibu kepada bapa adalah nenek-nenek yang sahih dan boleh mewarisi.

4.  Jika seseorang meninggal dunia dan meninggalkan (bapa kepada ibu, dan ibu kepada ibu), dalam keadaan ini, ibu kepada ibu (nenek sebelah ibu) akan mewarisi keseluruhan harta, di mana dia mengambil seperenam secara fardh dan bakinya secara radd, manakala bapa kepada ibu (datuk sebelah ibu) tidak mendapat apa-apa kerana dia adalah datuk yang tidak boleh mewarisi.

5.  Begitu juga, jika seseorang meninggal dunia dan meninggalkan (bapa kepada ibu kepada ibu, dan ibu kepada ibu kepada ibu), ibu kepada ibu kepada ibu (moyang perempuan) akan mengambil keseluruhan harta, di mana dia mengambil seperenam secara fardh dan bakinya secara radd kepadanya dan tiada apa-apa untuk bapa kepada ibu kepada ibu; kerana dia adalah datuk yang tidak boleh mewarisi.

[Kesimpulan]

Maka, terdapat lebih daripada tiga puluh keadaan di mana wanita mendapat bahagian yang sama seperti lelaki, atau lebih banyak daripadanya, atau dia mewarisi sedangkan waris lelaki yang setara dengannya tidak mewarisi, berbanding dengan hanya empat keadaan khusus di mana wanita mewarisi separuh bahagian lelaki.

Itulah hasil penelitian terhadap keadaan-keadaan dan persoalan-persoalan pusaka dalam ilmu Faraid. Maka, saya berpendapat bahawa syubhah ini telah pun hilang selepas penjelasan-penjelasan ini bagi setiap orang yang insaf dan jujur dengan dirinya sendiri. Kita memohon kepada Allah akan pertolongan dan pemeliharaan-Nya. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Sumber:

Al-Bayan Li Ma Yashghal al-Azhan oleh Syeikh Dr Ali Juma’ah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan