Khamis, 25 Ogos 2016

Hadis palsu tentang kelebihan Saidatina Fatimah

1 - ابْنَتِي فَاطِمَةُ حَوْرَاءُ آدَمِيَّةُ، لَمْ تَحِضْ، وَلَمْ تَطْمِثْ، وَإِنَّمَا سَمَّاهَا فَاطِمَةَ لأَنَّ اللَّهَ فَطَمَهَا وَمُحِبِّيهَا عَنِ النَّارِ

“Anakku, Fatimah adalah bidadari daripada kalangan manusia. Dia tidak mengeluarkan haid dan kotoran. Sesunggunya dinamakan dia Fatimah kerana Allah akan memisahkannya dan orang yang mencintainya daripada daripada neraka.”

Sumber hadis

Diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad daripada Ibnu ‘Abbas secara marfu’.

Penilaian hadis

a. Al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad: “Dalam sanad hadis ini terdapat tidak seorang daripada perawi yang majhul (tidak dikenali) dan ia tidak sabit (daripada Nabi).”

b. Penilaian al-Khatib al-Baghdadi dinukilkan oleh Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at, al-Sayuthi dalam al-Laali al-Masnu’ah dan Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah tanpa sebarang bantahan.

*Perkataan ‘tidak sabit’ (لَيْسَ بِثَابِت) jika digunakan dalam kitab-kitab yang menghimpunkan perawi-perawi daif dan hadis-hadis palsu, maksudnya ialah hadis tersebut palsu.

2 - إِنَّمَا سُمِّيَتْ فَاطِمَةُ لأَنَّ اللَّهَ تَعَالَى فَطَمَ مُحِبِّيهَا مِنَ النَّارِ

“Sesungguhya dinamakan dia sebagai Fatimah kerana Allah akan memisahkan orang yang mencintainya daripada neraka.”

Sumber hadis

Diriwayatkan oleh Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at daripada Abu Hurairah secara marfu’.

Penilaian hadis

a. Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at: “Ini adalah rekaan al-Ghilabi (salah seorang perawinya. Kata al-Daraqutni, dia seorang pereka hadis.”

b. Penilaian Ibnu al-Jauzi dipersetujui oleh al-Sayuthi dalam al-Laali al-Masnu’ah dan Ibnu Arraq dalam Tanzih al-Syariah al-Marfu’ah, beliau (Ibnu ‘Arraq) menambah: “Dalam sanadnya juga ada Bisyr bin Ibrahim al-Ansari.”

Bisyr bin Ibrahim al-Ansari dinilai sebagai pereka hadis oleh Ibnu ‘Adi dan Ibnu Hibban.

3 - لم ير لفاطمة دم في حيض ولا نفاس

“Tidak dilihat pada Fatimah darah haid dan juga nifas.”

Sumber hadis

Diriwayatkan oleh Ibnu al-A’rabi dalam Mu’jamnya dan Ibnu Abi al-Dunya sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibnu Hajar dalam Lisan al-Mizan.

Penilaian hadis

a. Ibnu Hajar dalam Lisan al-Mizan: “Ini adalah rekaan al-‘Abbas (salah seorang perawinya).”

4 - عَن أَسمَاء قبلت فَاطِمَة بالْحسنِ فَلم أر لَهَا دَمًا فَقلت يَا رَسُول الله إِنِّي لم أر لفاطمة دَمًا فِي حيض وَلَا نِفَاس فَقَالَ أما علمت أَن ابْنَتي طَاهِرَة مطهرة فَلَا يرى لَهَا دم فِي طمث وَلَا ولادَة

“Daripada Asma’, beliau berkata: “Fatimah melahirkan Hasan. Tidak dilihat padanya darah (ketika melahirkan Hasan). Aku bertanya: Wahai Rasulullah, aku tidak melihat darah haid dan nifas pada Fatimah. Baginda menjawab: “Aku mengetahui bahawa anak perempuanku itu suci dan disucikan. Maka tidak dilihat padanya darah haid dan darah kerana melahirkan anak.”

Sumber hadis

Disebutkan oleh Al-Muhib al-Thabari dalam Zakhair al-‘Uqba sebagaimana yang dicatatkan oleh Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syariah al-Marfu’ah.

Penilaian hadis

Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah: “Ianya batil. Ia daripada riwayat Daud bin Sulaiman al-Ghazi daripada Ali bin Musa al-Redha.”

Daud bin Sulaiman al-Ghazli dinilai sebagai pendusta oleh Yahya bin Ma’in. Dia meriwayatkan naskah hadis-hadis palsu daripada Ali bin Musa al-Redha.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan