Jumaat, 19 Ogos 2016

Status Hadis: Menuntut Ilmu Lebih Baik Daripada Solat 1000 Rakaat

Saya telah kumpulkan beberapa buah hadis yang menyebutkan bahawa menuntut ilmu itu lebih baik daripada solat 1000 rakaat, sebahagiannya ada yang daif dan ada yang palsu.

Hadis Pertama

يَا أَبَا ذَرٍّ، لَأَنْ تَغْدُوَ فَتَعَلَّمَ آيَةً مِنْ كِتَابِ اللَّهِ، خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ تُصَلِّيَ مِائَةَ رَكْعَةٍ، وَلَأَنْ تَغْدُوَ فَتَعَلَّمَ بَابًا مِنَ الْعِلْمِ، عُمِلَ بِهِ أَوْ لَمْ يُعْمَلْ، خَيْرٌ مِنْ أَنْ تُصَلِّيَ أَلْفَ رَكْعَةٍ

 “Wahai Abu Zar, kamu keluar dari rumah kamu di pagi hari untuk mempelajari satu ayat daripada kitab Allah lebih baik bagi kamu daripada kamu solat 100 rakaat. Kamu keluar dari rumah kamu di pagi hari untuk mempelajari satu bab daripada ilmu, sama ada kamu beramal dengannya atau tidak beramal dengannya lebih baik daripada kamu solat 1000 rakaat.”

Takhrij Hadis:

Riwayat Ibnu Majah (no. 219) daripada jalur perawi:

Abdullah bin Ghalib al-‘Abbadani daripada Abdullah bin Ziyad al-Bahrani daripada Ali bin Zaid daripada Sa’id bin al-Musayyab daripada Abu Zar daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Status Hadis:

Sanad hadis ini daif.

Al-Hafiz Al-Busiri menyebutkan dalam Misbah al-Zujajah“Sanad ini daif disebabkan kedaifan Ali bin Zaid dan Abdullah bin Ziyad.”

Menurut al-Hafiz al-Iraqi pula sanad ini terputus antara Abdullah bin Ghalib dan Abdullah bin Ziyad kerana dalam riwayat Ibnu Abdil Barr ada tambahan seorang perawi di antara keduanya iaitu Khalaf bin A’yan. Khalaf bin A’yan ini tidak ada sebarang maklumat tentangnya.

Adapun al-Hafiz al-Munziri, beliau menghasankan sanad hadis ini dalam al-Targhib Wa al-Tarhib. Mungkin pandangan yang mendaifkan hadis ini lebih tepat. Walaupun hadis ini daif, ia masih boleh digunakan sebagai al-targhib (motivasi) untuk menuntut ilmu. 

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini menunjukkan bahawa mempelajari ilmu itu lebih baik daripada memperbanyakkan amalan sunat kerana mempelajari satu ayat al-Quran itu lebih baik 100 rakaat solat sunat. Ilmu juga menjadi penentu kepada sahnya ibadat. Seorang itu tidak tahu tentang syarat sah, rukun dan batalnya sesuatu ibadat itu melainkan dengan ilmu.

2 - Hadis ini juga menunjukkan bahawa jika seorang alim itu tidak sempat mengamalkan ilmunya kerana sibuk mengajarkannya kepada orang ramai sehinggalah dia meninggal dunia secara tiba-tiba maka dia tetap mendapat pahala sebagaimana orang yang mengamalkan ilmu itu.

3 - Maksud bahagian hadis 'mempelajari satu bab daripada ilmu, sama ada kamu beramal dengannya atau tidak beramal' bukanlah bermaksu ilmu itu langsung tidak diambil manfaat daripadanya. Tetapi ada ilmu itu yang melibatkan amalan seperti ilmu fiqh dan ada ilmu yang tidak melibatkan amalan tetapi keyakinan dan kepercayaan seperti ilmu akidah.

Hadis Kedua

حُضُور مجْلِس علم أفضل من صَلَاة ألف رَكْعَة وعيادة ألف مَرِيض وشهود ألف جَنَازَة، فَقيل يَا رَسُول الله: وَمن قِرَاءَة الْقُرْآن؟ فَقَالَ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسلم: وَهل ينفع الْقُرْآن إِلَّا بِالْعلمِ؟

“Menghadiri majlis ilmu lebih baik daripada solat seribu rakaat, mengunjungi seribu orang yang sakit, menziarahi seribu jenazah. Maka berkata seorang sahabat: “Wahai Rasulullah, adakah lebih baik daripada membaca al-Quran?” Maka berkata Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam: “Tiada manfaat membaca al-Quran melainkan dengan ilmu.”

Takhrij Hadis:

Hadis dengan lafaz ini disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam al-Ihya’ daripada hadis Abu Zar.

Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at menyebutkan daripada jalur sanad:

Muhammad bin Ali bin Umar al-Muzakkir daripada Ishaq bin al-Ja’d daripada Ahmad bin Abdullah al-Harawi daripada Ishaq bin Najih daripada Hisyam bin Hassan daripada Muhammad bin Sirin daripada Ubaidah al-Salmani daripada Umar bin al-Khattab:

جَاءَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ، فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِذَا حَضَرَتْ جَنَازَةٌ وَحَضَرَ مَجْلِسُ عِلْمٍ أَيُّهُمَا أَحَبُّ إِلَيْكَ، أَنْ أَشْهَدَ؟ فَقَالَ إِنْ كَانَ لِلْجَنَازَةِ مَنْ يَتْبَعُهَا وَيَدْفِنُهَا فَإِنَّ حُضُورَ مَجْلِسِ عَالِمٍ خَيْرٌ مِنْ حُضُورِ أَلْفِ جَنَازَةٍ تُشَيِّعُهَا وَمِنْ حُضُورِ أَلْفِ مَرِيضٍ تَعُودُهُ وَمِنْ قِيَامِ أَلْفِ لَيْلَةٍ لِلصَّلاةِ وَمِنْ أَلْفِ يَوْمٍ تَصُومُهَا وَمِنْ أَلْفِ دِرْهَمٍ تَتَصَدَّقُ بِهِ وَمِنْ أَلْفِ حَجَّةٍ سِوَى الْفَرْضِ وَمِنْ أَلْفِ غَزْوَةٍ سِوَى الْوَاجِبِ، وَأَيْنَ تَقَعُ هَذِهِ الْمَشَاهِدُ مِنْ مَشْهَدِ عَالِمٍ، أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُطَاعُ بِالْعلمِ وَيُعْبَدُ بِالْعِلْمِ، وَخَيْرُ الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ مِنَ الْعِلْمِ، وَشَرُّ الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ مِنَ الْجَهْلِ، فَقَالَ رَجُلٌ: قِرَاءَةُ الْقُرْآنِ؟ قَالَ وَيْحَكَ وَمَا قِرَاءَةُ الْقُرْآنِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَمَا الْحَجُّ بِغَيْرِ عِلْمٍ، وَمَا الْجُمُعَةُ بِغَيْرِ عِلْمٍ، أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ السُّنَّةَ تَقْضِي عَلَى الْقُرْآنِ وَأَنَّ الْقُرْآنَ لَا يَقْضِي عَلَى السُّنَّةِ.

“Datang seorang lelaki daripada kaum Ansar lalu dia berkata: Wahai Rasulullah, antara aku menghadiri (pengebumian) jenazah atau aku hadiri malis seorang alim, yang manakah yang engkau lebih suka untuk aku menghadirinya?

Baginda menjawab: Jika jenazah itu sudah ada orang yang menghantar dan mengebumikannya, maka menghadiri majlis seorang alim itu lebih baik menghadiri seribu pengebumian jenazah. menziarahi seribu orang sakit, menghidupkan seribu malam dengan solat, puasa seribu hari, seribu dirham yang engkau sedekahkan, seribu haji selain yang fardu, seribu peperangan selain yang wajib di jalan Allah sama ada dengan dirimu dan hartamu. Apakah bandingan semua ini berbanding dengan majlis seorang alim? Tidakkah engkau tahu bahawa Allah itu disembah dan ditaati dengan ilmu? Kebaikan dunia dan akhirat itu kerana berasal daripada ilmu dan keburukan dunia dan akhirat itu berasal daripada kejahilan.

Lelaki tersebut bertanya: Membaca al-Quran?

Baginda menjawab: Ah, apa faedahnya membaca al-Quran jika tanpa ilmu? Apa faedah haji jika tanpa ilmu? Apa faedah (solat) Jumaat jika tanpa ilmu? Tidakkah engkau tahu bahawa sunnah itu menjadi pelengkap/pemutus bagi al-Quran dan al-Quran itu tidak menjadi pelengkap/pemutus bagi sunnah?

Status Hadis:

Hadis ini palsu dan disepakati kepalsuannya oleh ahli hadis.

1. Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at berkata: 

“Hadis ini palsu. Adapun al-Muzakkir, maka berkata Abu Bakar al-Khatib: Dia adalah matruk (ditinggalkan hadisnya). Adapun al-Harawi maka dia adalah al-Juwaibari dan dialah yang memalsukannya (hadis ini). Ahmad bin Hanbal berkata: Ishaq bin Najih adalah manusia yang paling penipu.”

2. Al-Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’ berkata:

“Hadis ini palsu. Yang aku ketahui ia adalah hadis Umar bukan hadis Abu Zar. Ibnu Jauzi menyebutkannya dalam al-Maudhu’at.”

3. Kepalsuan hadis ini turut diakui oleh al-Sayuti dalam al-Laali al-Masnu’ah dan Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah.

Hadis Ketiga

مَنْ تَعَلَّمَ بَابًا مِنَ الْعِلْمِ عَمِلَ بِهِ أَوْ لَمْ يَعْمَلْ بِهِ كَانَ أَفْضَلَ مِنْ صَلاةِ أَلْفِ رَكْعَةٍ، فَإِنْ هُوَ عَمِلَ بِهِ أَوْ عَلَّمَهُ كَانَ لَهُ ثَوَابُهُ وَثَوَابُ مَنْ يَعْمَلُ بِهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ

“Sesiapa yang mempelajari satu bab daripada ilmu, beramal dengannya atau tidak beramal dengannya lebih baik daripada solat sunat seribu rakaat. Jika dia beramal dengannya atau mengajarkannya (kepada orang lain), baginya pahala dan pahala orang yang beramal dengannya sehingga hari kiamat.”

Takhrij Hadis:

Diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (6/553) daripada jalur perawi:

Muhammad bin Ziyad al-Yasykuri daripada Maimun bin Mihrah daripada Ibnu ‘Abbas daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Status Hadis:

Hadis ini palsu. Pemalsunya ialah Muhammad bin Ziyad al-Yasykuri.

Dia dituduh oleh ramai ulama sebagai penipu dan pemalsu hadis antaranya oleh Imam Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma’in, al-Jauzajani, Abu Zur’ah, al-Fallas, al-Nasa’i, al-Daraqutni, Ibnu Hibban dan lain-lain.

Al-Sayuti menghukumkan hadis ini sebagai palsu dalam kitab al-Ziyadat ‘ala al-Maudhu’at.

Hadis Keempat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، وَأَبِي ذَرٍّ قَالَا: بابٌ مِنَ العلمِ نَتَعَلَّمُهُ أحبُّ إِلَيْنا من أَلْفِ رَكْعَةِ. وسمَعْتُ النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ يقولُ : إذا جاء المَوْتُ لِطَالِبِ العلمِ وماتَ على حالِه : فهوَ شَهيدٌ.

Abu Hurairah dan Abu Zar berkata:

“Mempelajari satu bab daripada ilmu lebih aku sukai daripada 1000 rakaat solat. Aku mendengar Nabi sallahu ‘alaihi wasallam berkata: Jika kematian datang kepada penuntut ilmu dan dia mati dalam keadaan menuntut ilmu maka dia mati syahid.”

Takhrij Hadis:

Diriwayatkan oleh al-Bazzar (no. 8574), al-Fasawi dalam al-Ma’rifah Wa al-Tarikh (3/499), al-Khatib al-Bahdadi dalam al-Faqih Wa al-Mutafaqqih (1/16) dan Tarikh Baghdad (9/247), Ibnu Abdil Barr dalam Jami’ Bayan al-Ilm Wa Fadhlihi (no. 115 & 211), Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq (67/367) daripada jalur perawi:

Hilal bin Abdul Rahman al-Hanafi daripada ‘Atha’ bin Abi Maimun daripada Abu Salamah daripada Abu Hurairah dan Abu Zar daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Status Hadis:

Sanad hadis ini sangat daif.

Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid berkata: “Diriwayatkan oleh al-Bazzar. Dalam sanadnya ada Hilal bin Abdul Rahman, dia adalah matruk (sangat lemah).”

Al-‘Uqaili dalam al-Dhu’afa’ al-Kabir mengatakan bahawa Hilal bin Abdul Rahman adalah perawi yang mungkar hadisnya.

Al-Zahabi pula berkata: “Kedaifan tampak jelas pada hadis-hadisnya, maka harus ditinggalkan.”

Al-‘Uqaili turut menyatakan bahawa hadis ini adalah mungkar dan tidak ada asal dan sokongan baginya.

*Saya telah kemas kini semula tulisan ini pada 31/12/2021. Semoga bermanfaat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan