Sabtu, 6 Ogos 2016

Status Hadis: Juhainah Orang Terakhir Masuk Syurga

إِنَّ آخِرَ مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ رَجُلٌ مِنْ جُهَيْنَةَ يُقَالُ لَهُ جُهَيْنَةُ فَيَسْأَلُهُ أَهْلُ الْجَنَّةِ هَلْ بَقِيَ أَحَدٌ يُعَذَّبُ، فَيَقُولُ لَا فَيَقُولُونَ عِنْدَ جُهَيْنَةَ الْخَبَرُ الْيَقِينُ.

Sesungguhnya orang terakhir yang masuk ke syurga adalah seorang lelaki yang dipanggil Juhainah.  Ahli syurga bertanya kepadanya: Adakah masih tinggal sesiapa lagi yang masih diazab (di dalam neraka)? Dia menjawab: Tiada. Ahli syurga berkata: Pada Juhainah ada khabar yang meyakinkan (yakni bahawa tidak ada lagi orang yang beriman yang masih diseksa di dalam neraka kerana dia orang beriman terakhir yang keluar dari neraka).”

Takhrij Hadis:

Riwayat al-Daraqutni dalam Gharaib Malik dan al-Khatib al-Baghdadi dalam al-Ruwah ‘An Malik daripada jalur perawi:

Jami’ bin Sawadah daripada Zuhair bin ‘Abbad daripada Ahmad bin al-Hussein al-Lahabi daripada Abdul Malik bin al-Hakam daripada Malik daripada Nafi’ daripada Ibnu ‘Umar daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Muhammad bin al-Muzaffar al-Bazzaz dalam Gharaib Hadith al-Imam Malik juga meriwayatkan hadis ini, tetapi tidak disebutkan nama perawi Zuhair bin ‘Abbad di antara Jami’ bin Sawadah dan Ahmad bin al-Hussein al-Lahabi.

Status Hadis:

Hadis ini dihukumkan palsu oleh para ulama berikut:

1 - Al-Daraqutni (m. 385 H), kata beliau:

“Hadis ini batil. Jami’ dan Abdul Malik bin al-Hakam adalah daif.” 

2 - Al-Hafiz Ibnu Kathir (m. 774 H) dalam al-Bidayah Wa al-Nihayah berkata: 

“Hadis ini tidak sahih dinisbahkan kepada Imam Malik disebabkan kemajhulan perawi yang meriwayatkan daripadanya. Jika hadis ini benar daripada hadisnya mesti wujud dalam kitab-kitabnya yang masyhur seperti al-Muwatta’ dan selainnya yang diriwayatkan daripadanya oleh perawi yang thiqah.”

Imam Malik (m. 179 H) adalah seorang imam hadis yang terkenal dan mempunyai ramai murid yang juga merupakan tokoh hadis yang hebat. Memang mencurigakan apabila hadis ini tidak diriwayatkan daripada Imam Malik oleh anak murid beliau yang ramai tersebut sebaliknya hanya diriwayatkan oleh Abdul Malik bin al-Hakam, seorang perawi yang tidak dikenali. Ini menjadi petunjuk bahawa dia berdusta apabila dia mendakwa bahawa dia meriwayatkan hadis ini daripada Imam Malik.

3 - Al-Hafiz al-Sayuthi (m. 911 H) dalam al-Ziyadat ‘Ala al-Maudhu’at.

Beliau menukilkan hukum al-Daraqutni terhadap hadis ini. Meskipun begitu beliau memasukkan hadis ini dalam kitab al-Jami’ al-Saghir, sebuah kitab yang beliau syaratkan untuk tidak memasukkan hadis palsu di dalamnya. Perkara ini mendapat kritikan daripada Syeikh Ahmad al-Siddiq al-Ghumari.

4 - Syeikh Ahmad al-Siddiq al-Ghumari (m. 1380 H) dalam al-Mughir ‘Ala al-Ahadith al-Maudhu’ah Fi al-Jami’ al-Saghir. Beliau berkata:

 “Hadis ini adalah yang terawal yang disebutkan beliau (al-Sayuthi) dalam kitab (al-Jami’ al-Saghir) dan ia adalah hadis yang awal sekali yang melanggari syarat beliau (syarat untuk tidak memasukkan hadis palsu dalam al-Jami’ al-Saghir). Beliau juga menyebutkannya dalam kitabnya, Zail al-Lali’ al-Masnu’ah berkenaan hadis-hadis yang beliau pasti bahawa ianya palsu.

Dan yang menghairankan, al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkannya dalam muqaddimah Fath al-Bari walaupun beliau secara jelas menyebutkannya dalam kitab yang lain bahawa ianya sangat lemah.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan