Selasa, 2 Ogos 2016

Hadis Tiga Golongan Yang Tidak Diterima Solatnya

ثَلَاثَةٌ لَا تُرْفَعُ صَلَاتُهُمْ فَوْقَ رُءُوسِهِمْ شِبْرًا: رَجُلٌ أَمَّ قَوْمًا وَهُمْ لَهُ كَارِهُونَ، وَامْرَأَةٌ بَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَلَيْهَا سَاخِطٌ، وَأَخَوَانِ مُتَصَارِمَانِ.

“Tiga orang yang tidak terangkat solat mereka melepasi kepala mereka walaupun sejengkal: Seorang lelaki yang mengimami sekumpulan orang dan mereka membencinya, perempuan yang tidur dalam keadaan suaminya marah kepadanya dan orang bersaudara yang memutuskan hubungan persaudaraannya.”

Sumber dan Status Hadis

Riwayat Ibnu Majah (hadis no. 971).

Sanadnya dinilai sebagai hasan oleh al-Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ dan al-Hafiz al-'Iraqi dalam Syarah Sunan al-Tirmizi. Al-Hafiz al-Mughlathai dalam Syarah Sunan Ibnu Majah mengatakan sanadnya tidak ada masalah padanya (لا بأس به).

Pengajaran Hadis:

1 - Dalam hadis ini Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam mengkhabarkan 3 golongan yang tidak diterima solat mereka oleh Allah.

2 - Golongan pertama ialah orang yang menjadi imam kepada sekumpulan orang sedangkan mereka membencinya.

Namun begitu hendaklah sebab mereka membenci imam tersebut adalah sebab yang dibenarkan oleh syarak seperti imam tersebut merupakan seorang yang zalim, fasik (berbuat dosa besar atau berterusan melakukan dosa kecil), ahli bidaah, tidak berkelayakan menjadi imam dan sebagainya. Oleh itu makruh untuk orang tersebut menjadi imam kepada mereka. Adapun jika sebab kebencian mereka itu bukanlah sebab yang dibenarkan oleh syarak maka tidak dimakruhkan.

Begitu juga yang diambil kira adalah sekiranya majoriti jemaahnya yang membenci imam tersebut dan bukan hanya kumpulan minoriti. Selain itu disyaratkan majoriti jemaahnya itu dari kalangan orang yang kuat pegangan agamanya.

3 - Golongan kedua ialah seorang isteri yang menyebabkan kemarahan suaminya disebabkan buruk akhlaknya atau kerana dia tidak melaksanakan perintah suaminya berkaitan perkara yang dibenarkan oleh syarak. Sekiranya kemarahan suaminya itu disebabkan dia tidak patuh pada arahan suaminya untuk melakukan perkara maksiat, maka ia tidak termasuk dalam amaran Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam ini.

4 - Golongan ketiga ialah orang bersaudara yang memutuskan persaudaraannya. Haram bagi setiap orang yang bersaudara, sama ada bersaudara melalui hubungan nasab atau saudara seIslam untuk mengabaikan, tidak bercakap dan memutuskan hubungan dengan saudara senasab atau seIslamnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan