Selasa, 23 Ogos 2016

Hadis Kelebihan Menjaga Anak Yatim

Hadis Pertama

عَنْ سَهْلَ بْنَ سَعْدٍ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:

وَأَنَا وَكَافِلُ اليَتِيمِ فِي الجَنَّةِ هَكَذَا. وَأَشَارَ بِالسَّبَّابَةِ وَالوُسْطَى. وَفَرَّجَ بَيْنَهُمَا شَيْئًا.

Daripada Sahl bin Sa’ad, daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

"Aku dan penjaga anak yatim dalam syurga seperti ini." 

Baginda mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari tengah. Baginda merenggangkan sedikit antara keduanya.

Riwayat al-Bukhari (no. 5304 & 6005).

Pengajaran Hadis:

1 - Maksud anak yatim ialah anak kecil yang belum baligh yang kematian bapanya atau ibu dan bapanya sekaligus.

2 - Maksud penjaga anak yatim ialah orang yang bertanggung jawab menguruskan anak yatim sama ada  memberi nafkah dan perlindungan kepadanya, mendidik serta menguruskan hartanya.

3 - Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam merenggangkan sedikit antara jari telunjuk dan jari tengah untuk menunjukkan bahawa hanya sedikit sahaja perbezaan darjat antara nabi dan penjaga anak yatim di syurga seolah-olah hanya sekadar jarak antara jari telunjuk dan jari tengah.

4 - Hadis ini mengandungi galakan supaya menjaga dan memelihara anak yatim kerana perkara tersebut menjadi salah satu sebab untuk dimasukkan ke dalam syurga.

 5 - Imam Ibnu Battal berkata: “Seeloknya bagi sesiapa yang mendengar hadis ini untuk beramal dengannya supaya dia dapat menjadi teman Nabi sallahu ‘alaihi wasallam di syurga. Tidak ada kedudukan di akhirat yang lebih afdal daripada itu.”

Hadis Kedua

أَنَّ رَجُلًا شَكَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَسْوَةَ قَلْبِهِ، فَقَالَ: امْسَحْ رَأْسَ الْيَتِيمِ، وَأَطْعِمِ الْمِسْكِينَ.

“Seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tentang keras hatinya. Rasulullah menasihatinya: Usaplah kepala anak yatim dan berilah makan kepada orang miskin.”

Riwayat Ahmad (no. 9018) daripada hadis Abu Hurairah dengan sanad yang daif. Sanadnya terputus menurut al-Busiri dalam Ithaf al-Khiyarah al-Maharah.

Pengajaran Hadis:

1 - Hati yang keras adalah hati yang sukar untuk tunduk kepada perintah Allah dan menjauhi laranganNya serta tidak ada belas ihsan kepada makhluk.

2 - Tujuan mengusap kepada anak yatim adalah untuk mengingatkan kepada kematian supaya dapat menghilangkan rasa lalai dan alpa. Kerasnya hati adakah kerana lalai terhadap kematian yang boleh hadir pada bila-bila masa.

3 - Memberi makan kepada orang miskin pula supaya kita dapat melihat kesan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita lalu melahirkan rasa syukur di dalam jiwa.

4 - Sikap belas ihsan kepada anak yatim dan orang miskin akan menyebabkan turunnya rahmat Allah dan akan menghilangkan kekerasan hatinya.

Hadis Ketiga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

وَالَّذِي بَعَثَنِي بِالْحَقِّ لَا يُعَذِّبُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ رَحِمَ الْيَتِيمَ، وَلَانَ لَهُ فِي الْكَلَامِ، وَرَحِمَ يُتْمَهُ وَضَعْفَهُ، وَلَمْ يَتَطَاوَلْ عَلَى جَارِهِ بِفَضْلِ مَا آتَاهُ اللَّهُ.

“Demi Allah yang mengutuskan aku dengan kebenaran, Allah tidak akan mengazab pada hari kiamat orang yang mengasihani anak yatim, berbicara dengannya dengan lembut, bersimpati dengan keyatiman dan kelemahannya serta tidak berbangga diri dengan jirannya atas nikmat yang Allah berikan kepadanya.”

Riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath (no. 8828) dengan sanad yang daif. Dalam sanadnya ada perawi Abdullah bin ‘Amir al-Aslami, dia adalah daif.

Pengajaran Hadis:

1 - Antara cara berbuat baik kepada anak yatim adalah dengan menyantuninya, bercakap dengannya secara lemah lembut, serta merasa simpati dengan nasib yang menimpa dirinya.

2 - Disebutkan secara khusus tentang kelebihan tidak berbangga diri dengan jiran kerana jiran antara orang yang paling hampir dengan seorang individu itu. Jika seseorang itu tidak berbangga diri dengan orang yang paling rapat dengannya, maka sudah tentu dia tidak berbangga diri dengan orang yang jauh dari dirinya.

3 - Adapun jika menzahirkan nikmat yang Allah berikan kepadanya untuk tujuan menunjukkan rasa syukurnya kepada Allah dan tidak disertai rasa riak dan bangga diri, maka perkara tersebut adalah tidak dilarang kerana Allah suka melihat kesan nikmat yang diberikan kepada hambaNya.

Hadis Keempat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

خَيْرُ بَيْتٍ فِي الْمُسْلِمِينَ: بَيْتٌ فِيهِ يَتِيمٌ يُحْسَنُ إِلَيْهِ، وَشَرُّ بَيْتٍ فِي الْمُسْلِمِينَ: بَيْتٌ فِيهِ يَتِيمٌ يُسَاءُ إِلَيْهِ.

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sebaik-baik rumah orang Islam itu adalah rumah yang ada anak yatim yang dilayan dengan baik di dalamnya. Seburuk-buruk rumah orang Islam itu adalah rumah yang ada anak yatim yang disakiti di dalamnya.”

Riwayat Ibnu Majah (no. 3679). Sanadnya daif menurut al-‘Iraqi dalam Takhrij Hadis Ihya’ dan al-Busiri dalam Misbah al-Zujajah. Dalam sanadnya ada perawi Yahya bin Abi Sulaiman, dia adalah daif.

Pengajaran Hadis:

1 - Rumah orang Islam yang terdapat anak yatim yang dimuliakan di dalamnya dianggap sebagai rumah yang terbaik kerana Allah cinta dan reda kepada perbuatan ahli rumah tersebut. Disebutkan pujian kepada rumah adalah secara kiasan sahaja dan maksud sebenarnya adalah pujian kepada ahli rumah tersebut.

2 - Maksud disakiti dalam hadis tersebut adalah disakiti untuk tujuan menzalimi. Adapun jika anak yatim tersebut disakiti untuk tujuan mendidiknya maka ia dibenarkan syarak.

3 - Anak yatim tersebut disakiti sama ada dengan cara memukulnya secara zalim atau jika berkaitan dengan hartanya iaitu dengan menggunakan hartanya tanpa hak. Jika penjaga anak yatim tersebut orang yang fakir maka dia boleh menggunakan harta anak yatim di bawah tanggungannya tanpa berlebih-lebihan.

*Tulisan ini saya telah kemas kini semula pada 18/9/2021 dengan beberapa penambahan maklumat. Semoga bermanfaat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan