Rabu, 30 April 2025

Kitab al-Arba'in fi Dala'il al-Tauhid oleh Abu Ismail al-Harawi

 

Kitab al-Arba'in fi Dala'il al-Tauhid oleh Abu Ismail Abdullah bin Muhammad al-Harawi (meninggal 481 Hijrah).

Al-Harawi adalah orang yang digelar Syeikh al-Islam oleh golongan Mujassimah di Herat (Afghanistan) sebagai ejekan kepada al-Hafiz Abu Uthman al-Sabuni yang turut digelar demikian.

Ibnu al-Subki dalam Tabaqat al-Syafi’iyyah al-Kubra berkata: "Adapun golongan mujassimah di kota Herat, apabila mereka tersinggung kerana gelaran ini, mereka sengaja memberikan gelaran Syeikh al-Islam kepada Abu Ismail Abdullah al-Ansari, penulis kitab Zamm al-Kalam.

Al-Ansari yang dimaksudkan adalah seorang yang banyak beribadat dan ahli hadis, tetapi dia menzahirkan fahaman tajsim dan tasybih serta mencela Ahli Sunnah. Dia telah berlebihan dalam kitabnya, Zamm al-Kalam sehingga menyebut bahawa sembelihan golongan Ash'ariyyah tidak halal.

Penduduk Herat pada zamannya terbahagi kepada dua kumpulan: satu kumpulan yang mempercayainya dan berlebihan terhadapnya kerana sifat zuhud dan ibadatnya dan satu kumpulan yang mengkafirkannya kerana fahaman tasybih yang dizahirkannya.

Antara karya-karyanya yang menjadi sasaran kritikan umat Islam ialah kitab Zamm al-Kalam, kitab al-Faruq fi al-Sifat dan kitab al-Arba'in. Dalam ketiga-tiga kitab ini, dia menjelaskan dan menyatakan dengan terang tentang akidah Tasybih.

Dia sangat taksub kepada golongan Hanabilah sehingga dia melantunkan di atas mimbar sebagaimana yang diriwayatkan oleh muridnya Muhammad bin Tahir: 

Aku seorang Hanbali selama aku hidup dan jika aku mati, wasiatku kepada manusia ialah agar mereka menjadi Hanbali.

Dia meninggalkan periwayatan daripada gurunya, al-Qadi Abu Bakr al-Hiri kerana dia seorang Asy'ari. Semua ini adalah ketaksuban yang melampau. Semoga Allah membebaskan kita daripada hawa nafsu.”

Dalam kitab al-Arba'in, dinyatakan bahawa:

1 - Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam melihat Tuhannya dalam bentuk seorang pemuda amrad (yang tidak berjanggut) yang pada kedua-dua kakinya ada warna kehijauan.

2 - Di dalamnya terdapat bab-bab yang bertajuk:

i) Allah meletakkan kaki-Nya di atas Kursi.

ii) Menetapkan arah bagi Allah.

iii) Menetapkan batasan (had) bagi Allah.

iv) Menetapkan sifat menulis bagi Allah.

v)  Menetapkan surah (rupa) bagi Allah.

vi) Menetapkan dua mata bagi Allah.

vii) Menetapkan berlari (harwalah) bagi Allah.

Kitab Zamm al-Kalam

Daripada kitabnya, Zamm Al-Kalam, Ibnu Taimiyah memetik kekeliruan Al-Harawi dalam merendahkan Imam al-Asy'ari. Ibnu Taimiyah berkata dalam Bayan Talbis al-Jahmiyyah:

“Syeikh al-Islam Abu Ismail Abdullah bin Muhammad al-Ansari berkata dalam kitab Zamm al-Kalam di penghujungnya ketika beliau membuat bab mengenai golongan Asha’riyyah yang terkemudian, beliau berkata:

Bab mengenai ucapan al-Asy'ari.

Ketika para ilmuwan terkemuka daripada umat ini dan orang yang tinggi kefahamannya daripada Ahli Sunnah meneliti inti ucapan Jahmiyyah dan simbol-simbol ahli falsafah yang terkandung di dalamnya, mereka tidak mendapati padanya melainkan penafian sifat-sifat Allah secara mutlak dan bahawa teras mazhab mereka dan kemuncak akidah mereka adalah apa yang telah dinyatakan oleh tokoh-tokoh zindiq sebelum mereka bahawa falak itu berputar dan langit itu kosong... dan bahawa perkataan mereka: Allah Maha Mendengar tanpa pendengaran...tanpa diri, tanpa zat dan tanpa rupa... Aku telah memenuhi kitab Takfir al-Jahmiyyah dengan ucapan-ucapan ulama Islam dan ketegasan para khalifah terhadap mereka dan kecaman umum Ahli Sunnah terhadap mereka dan ijmak umat Islam untuk mengeluarkan mereka dari agama.

Mereka menolak perkataan Yahudi bahawa "tangan Allah terbelenggu" lalu mereka mengingkari belenggu dan mengingkari tangan, maka keadaan mereka lebih buruk daripada Yahudi kerana Allah menetapkan sifat dan menafikan kekurangan, sedangkan Yahudi menetapkan sifat dan menetapkan kekurangan. Adapun mereka ini menafikan sifat sebagaimana mereka menafikan kekurangan.

Sesungguhnya kepercayaan mereka adalah bahawa al-Quran itu tidak wujud. Jahmiyyah jantan (merujuk kepada golongan Jahmiyyah sebenar) menyebutnya sekali dan Jahmiyyah betina (merujuk kepada golongan Asha’irah) menyebutnya sepuluh kali (Al-Harawi ingin menggambarkan Asha’irah lebih teruk daripada Jahmiyyah).

Mereka berkata: Telah tersebar di kalangan umat Islam bahawa ketua mereka, Ali bin Ismail al-Asy'ari (Imam Abu Hasan al-Asy’ari) tidak beristinjak, tidak berwudhu dan tidak solat.”

Ibnu Taimiyyah telah memetik perkara tersebut sebagai hujah untuk mencela golongan yang beliau gelar sebagai golongan muta’akhirin daripada kalangan pengikut Imam al-Asy’ari.

Sedangkan orang yang Ibnu Taimiyyah gelar sebagai Syeikh al-Islam (iaitu al-Harawi) tidak pun mengecualikan seorang pun daripada mereka (pengikut Imam al-Asy’ari), bahkan beliau menyebutkan ijmak tentang mengkafirkan mereka, memenuhi kitab-kitabnya dengan hal tersebut, serta berusaha untuk menyebarkan fitnah terhadap mereka  di kalangan para sultan dan mencurahkan celaan ke atas mereka dengan gambaran yang melampaui batasan adab.

Lalu perbuatan itu menjadi satu ‘ikutan buruk’ yang al-Harawi memikul dosanya, kemudian Ibn Taimiyyah pula turut menanggung dosa yang sama kerana mengikuti 'ikutan buruk' itu dalam banyak tempat (dalam kitab-kitabnya), lalu diikuti oleh Ibnu al-Qayyim dan orang-orang zaman moden ini yang terpesona dengan mereka.

Sumber:

Al-Tajsim Fi al-Fikr al-Islami oleh Dr Suhaib al-Saqqar.

Selasa, 29 April 2025

Kitab al-Sunnah Oleh Abdullah bin Ahmad bin Hanbal

Kitab al-Sunnah yang dinisbahkan kepada Abdullah bin Imam Ahmad bin Hanbal (meninggal 290 Hijrah).

Kitab ini memperoleh kedudukan yang besar di sisi golongan yang menisbahkan diri kepada Salaf, terutamanya pada zaman moden ini disebabkan penisbahannya kepada anak Imam Ahmad.

Penyunting (muhaqqiq) kitab ini telah menegaskan penisbahan kitab ini kepada penulisnya dan bersungguh-sungguh menjawab mereka yang menyucikan Imam Ahmad daripada anggapan bahawa anaknya (yang dibesarkan di bawah asuhannya) akan terlibat dalam semua perkara yang dibicarakan oleh pengarang dalam kitab ini.

Penyunting tidak mengemukakan apa-apa bukti, sebaliknya hanya berusaha melalui ucapan retorik yang tidak dapat menolak pengakuannya sendiri tentang kewujudan perawi-perawi yang tidak dikenali dalam dua peringkat sanad kitab ini kepada penulisnya.

Yang jelas adalah bahawa kitab ini adalah karya orang yang mereka panggil Syeikh al-Islam Abu Ismail al-Harawi, penulis karya-karya terkenal dalam apa yang mereka sebut sebagai akidah Salafiyyah.

Al-Harawi ini sangat fanatik dan mungkin telah mencipta sanad untuknya lalu meriwayatkannya dari Abu Yaqub Ishaq bin Ibrahim al-Qarrab al-Harawi daripada seorang syeikh yang tidak dikenali, daripada seorang lagi syeikh yang tidak dikenali, daripada pengarang kitab ini.

Tidak mustahil kandungan kitab ini sebenarnya bersumber daripada Abu Isma‘il al-Harawi sendiri. Adapun anak Imam Ahmad, maka tidak mungkin dia akan melampaui batas terhadap Allah dan Rasul-Nya, serta terhadap Imam Ahmad dan Imam Abu Hanifah al-Nu‘man.

Dalam usaha meneguhkan ketulenan kitab dan nisbahnya kepada pengarang, penyunting juga menyebut bahawa para ulama mazhab Hanbali telah meriwayatkannya dan mengambil manfaat daripadanya. Namun segala nukilan tersebut adalah selepas zaman al-Harawi yang disebut itu dan tidak menolak keraguan tentang nisbah kitab ini kepadanya dan tidak juga menghilangkan keraguan tentang kesahihan nisbahnya kepada pengarang.

Kitab ini mengandungi lebih daripada 180 teks yang mencela Imam Abu Hanifah, bahkan sebahagiannya mengkafirkannya. Dalam kitab ini disebutkan bahawa:

1 - Janggutnya ditarik seolah-olah dia adalah kambing dan dibawa berkeliling di majlis untuk diminta bertaubat daripada kekufuran lebih daripada sekali.

2 - Dia memberi fatwa membolehkan memakan daging babi.

3 - Terdapat nukilan daripada Imam Malik yang menyebutnya dengan buruk dengan berkata: "Dia hampir menghancurkan agama dan sesiapa yang hampir menghancurkan agama bukanlah daripada agama (Islam)."

Penyunting telah mengesahkan kesahihan perawi dalam rantaian sanad riwayat ini dan pelbagai celaan yang lain.

Meriwayatkan riwayat ini dalam sebuah buku yang bertujuan untuk menghimpunkan sunnah dan akidah yang diwarisi adalah contoh terbaik bahawa mencela tokoh-tokoh Muslim dan ulamanya adalah rukun daripada rukun-rukun akidah mereka ini yang ditentang oleh para ulama. Tiada jalan lain bagi mereka kecuali mencela para ulama dan menuduh mereka sebagai Jahmiyyah dan menyimpang daripada manhaj salaf. Mereka meninggalkan jawapan ilmiah dan menggantinya dengan pendekatan yang dianggap berjaya ini dalam mempersona orang awam yang terpedaya dengan penampilan mereka yang berpura-pura zuhud seperti al-Harawi al-Karrami dan terperdaya dengan slogan seruan kepada kitab dan sunnah serta mengikuti salaf.

Antara yang terkandung dalam kitab ini berupa kelancangan terhadap Allah ialah:

1 – Menyifatkan Allah dengan duduk di atas Arasy.

2 - Menetapkan dada dan dua lengan bagi Allah.

3 - Menetapkan berat bagi Allah.

4 – Adam diciptakan dalam rupa Allah.

4 - Allah berada di atas kerusi dari emas yang dipikul oleh empat malaikat.

5 - Allah meletakkan kedua kaki-Nya di atas Kursi sehingga Kursi telah menjadi seperti selipar di kedua kaki-Nya.

7 - Apabila Allah ingin menakutkan seseorang dari hamba-Nya, Allah menampakkan sebahagian diri-Nya,

8 - Dia mendekatkan Daud sehingga dia menyentuh sebahagian-Nya dan memegang kaki-Nya.

Antara yang terkandung di dalamnya berkenaan Imam Ahmad ialah bahawa beliau mensahihkan hadis-hadis yang menetapkan duduk Allah di atas Arasy dan berlakunya bunyi derit dari duduk ini, Allah meletakkan kedua kaki-Nya di atas Kursi, Kursi adalah tempat kedua kaki-Nya dan Allah duduk di atas Arasy sehingga tidak berbaki daripada Arasy itu melainkan selebar empat jari dan lain-lain yang kejelekannya dan kelemahan sanadnya tidak tersembunyi lagi kepada sebahagian mereka namun mereka mendiamkan diri daripada mempersoalkan penisbahan pensahihan hadis-hadis tersebut kepada imam mereka dan anak imam mereka.

Mustahil bahawa Imam Ahmad mensahihkan riwayat-riwayat ini kerana tersembunyi kepadanya kelemahan sanadnya dan kejelekan matannya serta bercanggah dengan akidah Salaf, kemudian datang pula penyunting untuk mendedahkannya.

Sumber:

Al-Tajsim Fi al-Fikr al-Islami oleh Dr Suhaib al-Saqqar.

Isnin, 28 April 2025

Kitab al-Radd 'ala al-Jahmiyyah dan Naqd Uthman bin Sa'id 'ala Al-Marisi Al-'Anid

 

Kitab al-Radd 'ala al-Jahmiyyah dan kitab Naqd Uthman bin Sa'id 'ala Al-Marisi Al-'Anid oleh Uthman bin Sa'id Al-Darimi (meninggal 280 Hijrah).

Adapun kitab al-Radd 'ala al-Jahmiyyah, beliau telah berhujah di dalamnya dengan banyak sanad yang lemah (wahiyah) dan matan-matan yang munkar yang bercanggah dengan konsep Tanzih (penyucian Allah daripada menyerupai makhluk).

Beliau menetapkan bahawa:

1 - 'Arasy berbunyi kerana berat Allah al-Jabbar di atasnya.

2 - Allah turun pada waktu malam ke Jannah 'Adn yang merupakan tempat tinggal-Nya di mana para nabi, siddiqin dan syuhada' tinggal bersama-Nya.

3 - Dia turun dari 'Arasy-Nya ke Kursi-Nya kemudian naik semula dari Kursi-Nya ke 'Arasy-Nya.

Beliau juga menyusun bab tentang mengkafirkan golongan Jahmiyyah dan bab tentang membunuh mereka dan meminta mereka bertaubat daripada kekufuran.

Tidak tersembunyi lagi bahawa istilah Jahmiyyah adalah istilah celaan yang tidak merujuk kepada kumpulan yang dinisbahkan kepada Jahm bin Safwan kerana Jahm telah meninggal dan pemikirannya turut lenyap, tetapi al-Darimi dan pengikutnya menggunakan istilah Jahmiyyah untuk mereka yang berbeza pendapat dengan mereka tentang sifat-sifat Allah 'Azza wa Jalla, termasuk dalam kategori ini golongan Muktazilah dan Ahli Sunnah dari kalangan Asy'ariyyah dan Maturidiyyah.

Adapun kitabnya yang lain, ia seperti kitab sebelumnya, dan beliau menambah:

1 - Penetapan sifat pergerakan (harakah) bagi Allah 'Azza wa Jalla.

2 - Penetapan had (batasan) bagi Allah.

3 - Allah menyentuh Adam dengan sentuhan tangan-Nya.

4 - Allah duduk di atas 'Arasy dan tidak ada ruang yang tersisa kecuali sekadar empat jari.

5 -  Allah mampu untuk berada di atas belakang seekor nyamuk.

6 - Apabila Allah marah, Dia menjadi berat bagi para pembawa 'Arasy,

7 – Puncak  menara lebih dekat kepada-Nya berbanding bahagian bawahnya.

Kedua-dua kitab ini mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Ibnu Taimiyyah rahimahullah dan muridnya Ibnu al-Qayyim dan mereka berdua banyak mengambil nukilan daripada kedua-dua kitab ini.

Ibnu al-Qayyim berkata selepas memuji al-Darimi: "Kedua-dua kitabnya adalah antara kitab-kitab yang paling agung yang dikarang dalam bidang Sunnah dan paling bermanfaat. Sewajarnya setiap penuntut Sunnah yang ingin mengetahui apa yang dipegangn oleh para sahabat, tabiin dan para imam hendaklah membaca kedua-dua kitabnya. Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah sangat mengesyorkan kedua-dua kitab ini dan sangat mengagungkannya. Dalam kedua-dua kitab ini terdapat penjelasan tentang tauhid, nama-nama dan sifat-sifat Allah berdasarkan akal dan naql yang tidak terdapat dalam kitab-kitab lain." (Ijtima’ al-Juyush, ms. 143)

Walaupun al-Hafiz al-Dhahabi mengambil nukilan daripada al-Darimi dan memujinya, namun beliau memberi peringatan tentang sikap melampau al-Darimi dengan berkata: "Dalam kitabnya terdapat perbahasan yang pelik bersama al-Marisi di mana beliau berlebihan dalam menetapkan (sifat). Berdiam diri tentangnya adalah lebih dekat dengan manhaj salaf pada zaman dahulu." (al-‘Uluw Lil ‘Ali al-Ghaffar, jilid 1, ms. 195)

Sumber:

Al-Tajsim Fi al-Fikr al-Islami oleh Dr Suhaib al-Saqqar.

Ahad, 27 April 2025

Hukum Zikir Lafaz 'Ah'

 


Soalan:

Adakah dibenarkan berzikir dalam apa yang dipanggil ‘hadrah’ dengan perkataan "Ah" atau "Aah"?

Jawapan Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili:

Memendekkan lafaz Jalalah (Allah) dan mengubahnya dengan perkataan ‘Aah’ adalah haram dari segi syarak, kerana ia mengandungi penyelewengan, pengubahan dan penyimpangan pada nama-nama Allah yang indah. Ini tidak dianggap sebagai ibadah yang sah atau zikir yang disyariatkan.

Allah Ta'ala berfirman: "Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik, maka berdoalah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Mereka kelak akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan." [Al-A’raf: 180]

Zikir yang sebenar adalah dengan menyebut nama-nama Allah yang Maha Indah dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi, serta khusyuk ketika menyebutnya dan beriltizam dengan adab dan ketenangan ketika menyebutnya.

Allah Ta'ala berfirman: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhan merekalah mereka bertawakal." [Al-Anfal: 2]

Dan firman-Nya: "Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." [Al-Ra'd: 28]

Sumber:

Fatawa Mu’asirah.

Hukum Ucap ‘Taqabballah Minkum’ Selepas Solat

Soalan:

Adakah ucapan seseorang yang telah bersolat kepada saudaranya: "Taqabbalallah" (semoga allah menerima amalan kamu) merupakan bidaah?

Jawapan Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili:

Sabit bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam pernah berkata kepada para sahabat selepas solat Jumaat dan selepas solat dua hari raya: "Taqabbalallahu minna wa minkum, wa ghafara lana wa lakum" (Semoga Allah menerima dari kami dan kamu dan mengampuni kami dan kamu).

Ini merupakan dalil yang jelas akan keharusannya.

Jika disertakan dengan berjabat tangan seperti berjabat tangan ketika memberi salam (sewaktu bertemu), maka tidak mengapa sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Syatibi dalam fatwa-fatwanya.

Sumber:

Fatawa Mu’asirah.



Adakah Sampai Pahala Bacaan al-Quran Kepada Si Mati

 

Soalan:

Adakah pahala bacaan al-Fatihah dan bacaan al-Quran lain sampai kepada si mati selepas kematiannya atau selepas pengebumiannya di kubur atau di mana-mana tempat?

Jawapan Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili:

Dalam masalah ini terdapat perbezaan pendapat yang terbahagi kepada dua pandangan seperti yang dinyatakan oleh Al-San'ani dalam kitabnya Busyra al-Ka'ib bi Liqa' al-Habib.

Pandangan Pertama: Pendapat masyhur dari mazhab Malik dan Syafie bahawa pahala tersebut tidak sampai.

Pandangan Kedua: Mazhab Imam Ahmad dan majoriti ulama salaf serta empat mazhab termasuk ulama terkemudian dari Malikiyyah dan Syafiiyyah: Pahala tersebut sampai. Imam Abu Hanifah berkata: "Si mati akan menerima segala sesuatu sama ada sedekah atau lainnya." Beliau juga berkata: "Bacalah Ayat Kursi tiga kali dan Surah al-Ikhlas serta katakanlah: Ya Allah, sesungguhnya kelebihannya (pahalanya adalah untuk ahli kubur."

Al-San'ani telah menyebutkan dalil-dalil pandangan kedua iaitu mereka yang berpendapat bahawa si mati mendapat manfaat dari apa yang dilakukan oleh orang yang hidup untuknya, berdasarkan al-Quran, Sunnah, Ijmak dan kaedah-kaedah syariat.

Adapun dari al-Quran: Firman Allah Ta'ala: "Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: 'Ya Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami'" [Al-Hasyr: 10].

Allah memuji mereka kerana memohon keampunan untuk orang-orang beriman sebelum mereka. Ini menunjukkan bahawa si mati mendapat manfaat daripada permohonan keampunan orang yang hidup. Bukti bahawa si mati mendapat manfaat daripada doa juga disokong oleh ijmak umat tentang doa untuk mereka dalam solat jenazah.

Hadis-hadis telah membuktikan bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam berdoa dalam solat jenazah untuk orang yang disembahyangkan, dengan berkata: "Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, sejahterakanlah dia dan maafkanlah dia."

Sabit dalam hadis: "Apabila anak Adam meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak soleh yang mendoakannya."

Telah berlaku ijmak bahawa membayar hutang si mati adalah dibenarkan, sama ada oleh sesiapa sahaja sama ada kerabat atau bukan. Jika seseorang yang hidup mempunyai hak terhadap si mati, lalu dia menggugurkan hak tersebut dan membebaskannya, maka itu memberi manfaat kepada si mati, sebagaimana ia gugur dari tanggungjawab orang yang hidup. Pahala puasa (sunat atau wajib) yang sampai kepada si mati yang telah sabit dalam Sunnah menjadi dalil bahawa pahala semua amalan lain juga sampai.

Sabit juga melalui nas-nas bahawa pahala sampai kepada si mati melalui tiga jenis ibadat: Ibadat badaniyyah/fizikal (dengan puasa), ibadat maliyyah/harta (dengan sedekah untuk si mati), dan ibadat gabungan fizikal dan harta (dengan haji bagi pihak si mati atau orang yang tidak mampu).

Ibnu Taimiyyah berkata: “Sesungguhnya si mati mendapat manfaat daripada bacaan Al-Quran, sebagaimana dia mendapat manfaat daripada ibadat harta seperti sedekah dan seumpamanya.”

Begitu juga kata Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu': “Pahala bacaan Al-Quran sampai kepada si mati.”

Kesimpulan: Pendapat yang dipegang dalam empat mazhab ialah sampainya pahala bacaan al-Quran apabila orang yang hidup menghadiahkannya kepada si mati.

Sumber:

Fatawa Mu’asirah.

Apa Itu Bidaah dan Hukumnya?

 

Soalan:

Apakah maksud bidaah dan adakah ia dibenarkan atau dilarang?

Jawapan Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili:

Bidaah seperti yang dikatakan oleh Al-Izz bin Abdul Salam: Melakukan sesuatu yang tidak diketahui pada zaman Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan hukumnya ada lima. Cara untuk mengetahuinya: Dengan membandingkan bidaah tersebut dengan kaedah-kaedah syariat, maka hukum yang dimasuki olehnya adalah hukumnya.

Antara bidaah yang wajib: Mempelajari nahu yang membantu memahami al-Quran dan Sunnah.

Antara bidaah yang haram: Mempelajari mazhab-mazhab ahli kufur dan kesesatan seperti Qadariyyah, Komunisme dan jalan-jalan ateisme.

Antara bidaah yang disunatkan: Mendirikan sekolah-sekolah dan berhimpun untuk solat Tarawih.

Antara bidaah yang harus: Bersalaman selepas solat.

Antara bidaah yang makruh: Menghiasi masjid-masjid dan mushaf-mushaf tanpa emas, adapun dengan emas maka haram.

Hadis "Setiap bidaah adalah kesesatan dan setiap kesesatan di dalam neraka" ditafsirkan kepada bidaah yang haram sahaja, tidak selainnya.

Termasuk dalam golongan ahli bidaah: Setiap orang yang mengada-adakan dalam Islam sesuatu yang baru yang tidak disaksikan oleh syariat akan kebaikannya, seperti cukai (cukai yang zalim) dan kezaliman.

Sebahagian ulama mentafsirkan bidaah sebagai sesuatu yang tidak ada dalil syarak bahawa ia wajib atau sunat sama ada dilakukan pada zaman Baginda sallahu ‘alaihi wasallam atau tidak, seperti mengeluarkan orang Yahudi dan Nasrani dari Semenanjung Arab. Maka ia bukan bidaah walaupun tidak dilakukan pada zaman Baginda. Begitu juga mengumpulkan al-Quran dalam mushaf, berhimpun untuk qiyam Ramadan dan seumpamanya yang telah terbukti kewajipan atau kesunatannya dengan dalil syarak.

Kata-kata Umar tentang solat Tarawih: "Sebaik-baik bidaah adalah ini" bermaksud bidaah dari segi bahasa, iaitu sesuatu yang dilakukan tanpa contoh sebelumnya dan bukan bidaah dari segi syarak kerana bidaah dari segi syarak adalah kesesatan.

Ulama yang membahagikan bidaah kepada bidaah yang baik dan tidak baik, sebenarnya membahagikan bidaah dari segi bahasa. Manakala mereka yang berkata: "Setiap bidaah adalah kesesatan" bermaksud bidaah dari segi syarak.

Tidak ada halangan untuk menggunakan istilah bidaah dari segi bahasa atau mengikut kebiasaan. Umar pernah berkata: "Kami diberi hujan kerana bintang tertentu", bermaksud bahawa Allah menjadikan bintang sebagai tanda untuk sesuatu mengikut kebiasaan dan ini tidak haram. Tetapi jika seseorang mengatakan itu dengan kepercayaan bahawa bintang itu sendiri yang memberi kesan (menurunkan hujan), atau bersama Allah Ta'ala, maka dia kafir. Ini adalah berdasarkan pendapat Imam al-Syafi’i.

Kesimpulannya, seperti yang difahami dari kata-kata Imam Syatibi: Istilah bidaah secara hakiki hanya digunakan untuk perkara yang tidak mempunyai asas dalam syariat dan inilah bidaah yang sesat. Manakala istilah bidaah tidak digunakan untuk perkara yang mempunyai asas dalam syariat kecuali secara majazi (kiasan), seperti mengumpulkan al-Quran dalam mushaf, penulisan hadis dan ilmu-ilmu bahasa Arab, serta penubuhan pejabat-pejabat pentadbiran pada zaman Umar.

Sumber:

Fatawa Mu’asirah.

Hukum Qunut Subuh

 

Soalan: Apakah hukum qunut dalam solat Subuh?

Jawapan Syeikh Dr Ali Juma’ah:

Persoalan qunut dalam solat Subuh adalah antara persoalan fiqh yang bersifat cabangan, yang tidak sepatutnya menyebabkan perpecahan dan permusuhan di kalangan umat Islam.

Penjelasan mengenai persoalan ini adalah bahawa para fuqaha telah berbeza pendapat mengenainya.

Mazhab Syafie dan Maliki berpendapat ia adalah sunat, manakala mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat tidak ada qunut dalam solat Subuh.

Imam Nawawi berkata: “Ketahuilah bahawa qunut disyariatkan pada pendapat kami (mazhab al-Syafi’i) dalam solat Subuh, dan ia adalah sunat muakkadah (sunat yang sangat dituntut), berdasarkan riwayat Anas bin Malik: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sentiasa melakukan qunut dalam solat Fajar sehingga baginda meninggalkan dunia.

Mereka (ulama mazhab al-Syafi’i) berkata: Jika seseorang meninggalkannya, solatnya tidak batal, tetapi hendaklah melakukan sujud sahwi, sama ada meninggalkannya dengan sengaja atau terlupa.

Adapun tempatnya (waktu membacanya), ia dilakukan selepas bangkit dari rukuk pada rakaat kedua solat Subuh.

Jika seseorang melakukan qunut sebelum rukuk, ia tidak dikira sah mengikut pendapat yang paling sahih (al-asah) dan dia perlu mengulanginya selepas rukuk kemudian melakukan sujud sahwi.”

Telah dinukilkan berkenaan hukum qunut Subuh beberapa pendapat dan cara pelaksanaannya daripada sebahagian sahabat dan tabiin, antaranya:

Pendapat Ali bin Ziyad yang mewajibkan qunut dalam solat Subuh, sesiapa yang meninggalkannya maka rosak solatnya. Qunut boleh dilakukan sebelum rukuk atau selepasnya pada rakaat kedua, namun yang lebih disunatkan dan afdal adalah melakukannya sebelum rukuk selepas bacaan (surah) tanpa didahului takbir sebelum qunut itu. Ini kerana ia lebih memudahkan bagi makmum yang lewat (masbuk) dan tidak memisahkan antara qunut dengan rukun-rukun solat dan kerana itulah amalan yang telah ditetapkan oleh Umar dengan kehadiran para sahabat.

Al-Qadi Abdul Wahab al-Baghdadi berkata: "Diriwayatkan daripada Abu Raja' al-'Utaridi yang berkata: Qunut dahulunya dilakukan selepas rukuk, kemudian Umar menjadikannya sebelum rukuk supaya orang yang lewat dapat menyertai qunut. 

Diriwayatkan bahawa kaum Muhajirin dan Ansar bertanya kepada Uthman, lalu beliau menjadikannya sebelum rukuk, kerana terdapat faedah yang tidak didapati jika dilakukan selepas rukuk iaitu dapat berdiri lebih lama agar dapat membolehkan (makmum masbuk) sempat menyertainya (mendapat rakaat) dan kerana qunut merupakan satu bentuk memanjangkan qiyam (berdiri) dan waktu) sebelum rukuk lebih utama untuk itu (memanjangkan qiyam), terutamanya dalam solat Fajar."

Mazhab Syafie lebih kuat dalam isu qunut kerana kekuatan dalil-dalil mereka seperti berikut:

Riwayat Abu Hurairah yang berkata: “Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam apabila mengangkat kepalanya dari rukuk pada rakaat kedua solat Subuh, baginda berdoa dengan doa ini:

اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ...

Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau beri petunjuk...dan seterusnya.“

Al-Baihaqi menambah ungkapan:

فَلَكَ الْحَمْدُ عَلَى مَا قَضَيْتَ

“Maka bagi-Mu segala puji atas apa yang telah Engkau tetapkan.”

Al-Tabarani menambah:

وَلَا يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ

“Dan tidak akan mulia orang yang Engkau musuhi.”

Hadis Anas bin Malik yang terdahulu: "Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sentiasa melakukan qunut dalam solat Fajar sehingga baginda meninggalkan dunia."

Anas pernah ditanya: "Adakah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam melakukan qunut dalam solat Subuh?" Beliau menjawab: "Ya." Lalu ditanya lagi: "Sebelum rukuk atau selepas rukuk?" Beliau menjawab: "Selepas rukuk."

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata: "Demi Allah, aku adalah orang yang paling hampir solatnya dengan solat Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.” Abu Hurairah melakukan qunut pada rakaat terakhir solat Subuh selepas mengucapkan 'Sami'allahu liman hamidah' dan beliau berdoa untuk orang-orang mukmin lelaki dan perempuan serta melaknat orang-orang kafir.

Daripada Abdullah bin Abbas, beliau berkata: “Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mengajarkan kami doa yang kami baca dalam qunut solat Subuh:

اللهُمَّ اهْدِنَا فِيمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنَا فِيمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنَا فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أَعْطَيْتَ، وَقِنَا شَرَّ مَا قَضَيْتَ، إِنَّكَ تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ، إِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ، تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ

Ya Allah, berilah kami petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau beri petunjuk, berilah kami kesihatan sebagaimana orang-orang yang telah Engkau beri kesihatan, jadikanlah kami di bawah perlindungan-Mu sebagaimana orang-orang yang telah Engkau lindungi, berkatilah kami pada apa yang telah Engkau berikan, dan lindungilah kami dari kejahatan apa yang telah Engkau tetapkan, sesungguhnya Engkaulah yang menghukum dan tidak ada yang dapat menghukum ke atas-Mu, sesungguhnya tidak akan hina orang yang Engkau lindungi, Maha Berkat Engkau wahai Tuhan kami dan Maha Tinggi.”

Dalam hadis: "Apabila baginda mengangkat kepalanya dari rukuk pada rakaat kedua solat Subuh, baginda mengangkat kedua tangannya dan berdoa dengan doa ini:

اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ

Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau beri petunjuk.”

Dan dalam riwayat lain: "Apabila baginda mengangkat kepalanya dari rukuk dalam solat Subuh pada rakaat terakhir, baginda melakukan qunut."

Adapun lafaz qunut, maka yang terpilih adalah mengucapkan apa yang diriwayatkan daripada Hasan bin Ali r.a. yang berkata: "Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mengajarkan kepadaku beberapa kalimah yang aku ucapkan dalam solat Witir:

اللهُمَّ اهْدِنَا فِيمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنَا فِيمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنَا فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أَعْطَيْتَ، وَقِنَا شَرَّ مَا قَضَيْتَ، إِنَّكَ تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ، إِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ، تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ

“Ya Allah, berilah kami petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau beri petunjuk, berilah kami kesihatan sebagaimana orang-orang yang telah Engkau beri kesihatan, jadikanlah kami di bawah perlindungan-Mu sebagaimana orang-orang yang telah Engkau lindungi, berkatilah kami pada apa yang telah Engkau berikan, dan lindungilah kami dari kejahatan apa yang telah Engkau tetapkan, sesungguhnya Engkaulah yang menghukum dan tidak ada yang dapat menghukum ke atas-Mu, sesungguhnya tidak akan hina orang yang Engkau lindungi, Maha Berkat Engkau wahai Tuhan kami dan Maha Tinggi.”

Para ulama menambah padanya:

وَلَا يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ

“Dan tidak akan mulia orang yang Engkau musuhi.”

…sebelum:

 تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ

 

“Maha Berkat Engkau wahai Tuhan kami dan Maha Tinggi.”

…dan selepasnya:

 فَلَكَ الْحَمْدُ عَلَى مَا قَضَيْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ

“Maka bagi-Mu segala puji atas apa yang telah Engkau tetapkan, aku memohon keampunan-Mu dan bertaubat kepada-Mu.”

Imam Nawawi berkata dalam kitab al-Raudhah: "Para ulama kami berkata: Tidak mengapa dengan tambahan ini, dan Abu Hamid, al-Bandaniji dan lain-lain berkata: Ia adalah sunat."

Disunatkan untuk mengucapkan selepas doa ini:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ وَسَلِّمِ

“Ya Allah, berilah rahmat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, dan berilah keselamatan.”

Ini adalah pendapat yang sahih dan masyhur.

Disunatkan juga menggunakan lafaz:

اللَّهُمَّ إنَّا نَسْتَعِينُكَ وَنَسْتَغْفِرُكَ وَنُؤْمِنُ بِكَ وَنَخْنَعُ لَكَ وَنَخْلَعُ وَنَتْرُكُ مَنْ يَكْفُرُكَ، اللَّهُمَّ إيَّاكَ نَعْبُدُ وَلَكَ نُصَلِّي وَنَسْجُدُ وَإِلَيْكَ نَسْعَى وَنَحْفِدُ نَرْجُو رَحْمَتَكَ وَنَخَافُ عَذَابَكَ الْجِدَّ إنَّ عَذَابَكَ الْجِدَّ بِالْكَافِرِينَ مُلْحِقٌ.

“Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pertolongan-Mu dan keampunan-Mu. Kami beriman kepada-Mu, bertawakal kepada-Mu dan kami tunduk kepada-Mu. Kami meninggalkan dan menjauhi orang yang kufur kepada-Mu. Ya Allah, hanya kepada-Mu kami menyembah dan untuk-Mu kami solat dan sujud dan kepada-Mu kami berusaha dan bersegera. Kami mengharapkan rahmat-Mu dan kami takut akan azab-Mu. Sesungguhnya azab-Mu yang berat pasti menimpa orang-orang kafir.”

Berdasarkan apa yang telah disebutkan, kami berpendapat bahawa mazhab Imam al-Syafi’i lebih kuat, iaitu qunut dalam solat Subuh adalah sunat. Disunatkan bagi yang meninggalkannya untuk melakukan sujud sahwi sebagai pengganti, tetapi solat tidak batal dengan meninggalkannya.

Allah Ta'ala Maha Tinggi dan Maha Mengetahui.

Sumber:

Al-Bayan al-Qawim Li Tashih Ba’dh al-Mafahim.

Sabtu, 26 April 2025

Hukum Mencukur Janggut

Soalan:

Apakah hukum mencukur janggut bagi lelaki?

Jawapan Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili:

Tidak diragukan bahawa membiarkan janggut dan tidak mencukurnya adalah sunnah Nabi yang digalakkan daripada sunnah fitrah iaitu: Bersugi, memotong misai, membiarkan janggut, memotong kuku, membasuh ruas-ruas jari (iaitu sendi-sendi jari dan lipatan-lipatannya), berkumur-kumur, memasukkan air ke hidung, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu kemaluan, dan berkhatan.

Mencukur janggut menurut kebanyakan ulama sama ada makruh tahrim menurut istilah mazhab Hanafi atau haram menurut mazhab Maliki dan Hanbali.

Yang jelas bahawa mencukur janggut adalah makruh, sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi (semoga Allah merahmatinya) seperti meninggalkan sunnah-sunnah fitrah yang lain. Maka melakukannya (membiarkan janggut) adalah sunnah yang digalakkan dan meninggalkannya (iaitu mencukurnya) adalah makruh.

Yang paling sempurna adalah janggut sepanjang genggaman tangan. Pada pandangan saya, boleh tercapai maksud (mengikut sunnah) dengan kurang daripada itu kerana sudah tercapainya maksudnya dan terhasilnya kewibawaan, kemuliaan dan kesempurnaan.

Adapun memendekkannya seperti yang dipanggil ‘ladam kuda’ (bentuk U), maka tiada asasnya dalam syariat.

Sumber:

Fatwa Mu'asirah.

Hukum Maulid Nabi

 


Soalan:

Adakah nazar untuk membaca maulid atau wasiat dengan sepertiga harta untuk diwakafkan bagi mengadakan majlis maulid Nabi SAW dibenarkan?

Jawapan Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili:

Nazar ini tidak wajib ditunaikan dan wasiat ini tidak sah dilaksanakan. Wakaf untuk tujuan tersebut tidak disyariatkan kerana pembacaan maulid bukanlah ibadah kepada Allah Ta’ala pada zatnya dan ia adalah bidaah yang diada-adakan oleh golongan Fatimiyyah.

Tetapi jika tujuan perhimpunan itu hanyalah untuk membaca al-Quran dan berselawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, serta menceritakan tentang sifat-sifat dan peribadi baginda, tanpa mempercayai bahawa ia adalah ibadah yang disyariatkan dan tanpa nyanyian dan perkara-perkara yang melampau, tetapi untuk tujuan pengajaran dan penyebaran dakwah Islam, serta mengenali akhlak Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, maka pada pandangan saya ia dibenarkan.

Al-Allamah al-Suyuti telah menulis risalah bertajuk Husn al-Maqsid fi 'Amal al-Maulid (Tujuan Yang Baik dalam Amalan Maulid). Di dalamnya beliau menjawab dengan menyatakan keharusannya dan menganggap perhimpunan orang ramai untuk membaca al-Quran, meriwayatkan kisah-kisah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, kemudian makan dalam majlis ini sebagai perkara yang baik, kerana ia mengandungi pengagungan terhadap kedudukan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan menzahirakn kegembiraan dengan kelahiran baginda yang mulia.

Hakikatnya, bidaah yang tercela adalah perkara yang bertentangan dengan apa yang Allah perintahkan kepada kita dari segi akidah, ibadah, halal atau haram.

Adapun perkara yang Allah tidak tetapkan sebagai ibadah, maka pengaturannya atau menganggap baik sebahagian daripadanya mungkin selaras dengan maqasid syariah. Maka ia tidak dianggap sebagai bidaah yang menjejaskan sistem keagamaan dan hubungan manusia dengan Tuhannya, tetapi ia dianggap sebagai sebahagian daripada adat yang berkembang dalam urusan kehidupan pendidikan, pengajaran dan keduniaan seperti pertanian, perniagaan, perindustrian dan sebagainya daripada aspek tamadun atau kemajuan.

Perkara ini diserahkan oleh syarak kepada keperluan ilmu, akal, kreativiti, pembaharuan, pembaikan dan pembangunan. Tidak wajar mengingkari adat kebiasaan yang baik dan apa yang termasuk dalam skop kaedah penyebaran dakwah kepada Allah dan menggalakkan orang ramai kepada syariat Islam dan adab-adabnya, seperti orang yang menyampaikan ceramah pada waktu tertentu tentang sejarah, sirah dan sunnah Nabi yang mulia.

Sumber:

Fatwa Mu'asirah.

Hukum Tawassul Dengan Nabi Dan Orang Soleh

 


Soalan:

Saya membaca dalam beberapa fatwa yang mengharuskan istighathah (memohon pertolongan) dan istishfa' (memohon syafaat) melalui Nabi dan orang-orang soleh. Apakah pandangan anda mengenai isu-isu ini? Dan apakah pandangan anda tentang orang yang tidak melakukan istighathah melalui Nabi dan orang soleh kerana berhati-hati untuk menjaga agamanya, sedangkan dia mengharuskannya?

Jawapan Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili:

Jumhur Ahli Sunnah, kecuali sebilangan kecil yang menyanggahinya, telah mengharuskan tawassul dengan para Nabi dan orang-orang soleh, sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Tawassul yang dimaksudkan ialah tawassul dengan amal soleh mereka dan kedekatan mereka kepada Allah. Ini telah dinyatakan dalam Ensiklopedia Fiqh Kuwait.

Adapun orang yang tidak bertawassul, saya berpendapat bahawa dia telah melepaskan kebaikan untuk dirinya sendiri.

Sumber:

Fatwa Mu'asirah.



Hukum Membaca Al-Quran Secara Berjemaah Dengan Suara Yang Kuat

 


Soalan:

Apakah hukum membaca Al-Quran secara berjemaah dengan suara yang kuat?

Jawapan Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili:

Amalan ini tidak wujud pada zaman salaf, tetapi jika tujuannya adalah untuk pengajaran dan membangkitkan semangat untuk membaca, maka tidak ada halangan untuk membaca dengan suara kuat dan ini tidak dianggap sebagai bidaah kerana tujuan tersebut.

Sumber:

Fatwa Mu'asirah.



Hukum Doa Secara Berjemaah Selepas Solat: Fatwa Dr Wahbah al-Zuhaili

 

Soalan:

Apakah hukum doa berjemaah yang dipimpin oleh imam selepas solat untuk para jemaah?

Jawapan Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili:

Dalam isu ini terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama.

Al-Syatibi, muridnya Abu Yahya Ibn Asim dan Ibn Qasim al-Qabbab dari mazhab Maliki (semoga Allah merahmati mereka) melarangnya kerana tidak terbukti bahawa Nabi Sallahu ‘alaihi wasallam pernah berdoa untuk jemaah (yang solat bersama baginda). Keadaan ini berterusan sepanjang hayat baginda, kemudian Khulafa' Rasyidin selepasnya, kemudian para salafus soleh.

Manakala pendapat yang dipegang oleh kebanyakan Ahli Sunnah termasuk Ibnu Arafah al-Maliki dan majoriti fuqaha mazhab-mazhab lain adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak dan beliau berkata: “Sanadnya sahih”: bahawa Nabi Sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidaklah berkumpul sekumpulan orang lalu sebahagian mereka berdoa dan sebahagian yang lain mengaminkannya melainkan Allah akan memperkenankan doa mereka.”

Terdapat juga risalah yang baik dan kukuh mengenai dalil-dalil doa berjemaah yang dikumpulkan oleh seorang saudara Muslim Amerika. Beliau telah menghadiahkan kepada saya satu salinan daripadanya yang mengandungi banyak dalil di mana orang yang berdoa dan orang yang mendengar sama-sama mengaminkan doa. 

Sumber: 

Fatwa Mu'asirah.



Jumaat, 25 April 2025

Kegilaan Ulama Membaca al-Quran

 

1 - Daripada Ibrahim, beliau berkata: “Al-Aswad bin Yazid mengkhatamkan Al-Quran pada bulan Ramadan setiap dua malam. Beliau tidur antara Maghrib dan Isyak. Beliau mengkhatamkan al-Quran di luar bulan Ramadan setiap enam malam.”

2 - Daripada Ibnu Syawzab, beliau berkata: “Urwah (bin al-Zubair bin al-‘Awwam) membaca seperempat al-Quran setiap hari dengan melihat mushaf. Beliau melakukan qiyamullail dengan membacanya dan beliau tidak pernah meninggalkannya kecuali pada malam kakinya dipotong. Kakinya telah ditimpa penyakit yang mereputkan anggota badannya lalu ia dipotong. Apabila tiba musim buah-buahan masak, beliau membuka pagar kebunnya, kemudian membenarkan orang ramai memasukinya untuk makan dan membawa pulang buah-buahan.”

3 - Salam bin Abi Muti' berkata: “Qatadah mengkhatamkan al-Quran dalam tujuh hari dan apabila tiba Ramadan, beliau mengkhatamkannya setiap tiga hari. Apabila tiba sepuluh hari terakhir, beliau mengkhatamkannya setiap malam.”

4 - Ibnu al-Madini berkata: “Bisyr bin Mansur menggali kuburnya sendiri dan mengkhatamkan al-Quran di dalamnya. Wiridnya adalah sepertiga al-Quran.”

5 - Abu Bakr bin Ayyash hidup selama kira-kira 40 tahun dengan mengkhatamkan al-Quran sekali setiap sehari semalam.

Yahya al-Hamman beliau berkata: “Ketika Abu Bakr (bin Ayyash) hampir meninggal dunia, saudara perempuannya menangis. Lalu beliau berkata kepadanya: "Apa yang membuatmu menangis? Lihatlah ke sudut itu, saudaramu telah mengkhatamkan al-Quran di situ sebanyak 18 ribu kali."

6 - Daripada Husain al-Anqazi, beliau berkata: “Ketika Ibnu Idris (Abdullah bin Idris al-Audi) hampir meninggal dunia, anak perempuannya menangis. Lalu beliau berkata: Jangan menangis, wahai anakku, sesungguhnya aku telah mengkhatamkan al-Quran di rumah ini sebanyak 4000 kali."

7 - Khalifah al-Ma'mun telah membaca al-Quran sebanyak 33 kali khatam pada bulan Ramadan.

8 - Muhammad bin Zuhair bin Muhammad bin Qumair berkata: “Bapa saya mengumpulkan kami (anak-anaknya) pada waktu beliau mengkhatamkan al-Quran pada bulan Ramadan sebanyak tiga kali setiap sehari semalam. Beliau mengkhatamkan 90 kali dalam Ramadan.”

10 - Musabbih bin Said berkata: “Muhammad bin Isma'il (al-Bukhari) mengkhatamkan pada bulan Ramadan pada waktu siang setiap hari satu kali khatam. Beliau melakukan qiyam (solat malam) selepas Tarawih setiap tiga malam dengan satu khatam.”

11 - Abu al-Abbas bin Ata' al-Baghdadi mengkhatamkan al-Quran setiap hari sekali dan pada bulan Ramadan 90 kali. Beliau pernah kekal dengan satu khatam selama lebih dari sepuluh tahun demi untuk memahami dan merenungkannya.

12 – Dikatakan Abu Bakar Muhammad bin Ali al-Kattani telah mengkhatamkan al-Quran sebanyak 12 ribu kali semasa tawaf dan beliau adalah salah seorang wali yang meninggal dunia pada tahun 322 Hijrah.

13 - Abu Bakr bin al-Haddad berkata: “Aku telah memaksa diriku (untuk mengikuti) apa yang diriwayatkan oleh al-Rabi' daripada al-Syafi'i, bahawa beliau mengkhatamkan sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadan, selain daripada apa yang beliau baca dalam solat. Maka yang paling banyak yang aku mampu adalah 59 kali khatam dan pada bulan selain Ramadan aku mampu mencapai 30 kali khatam.”

14 - Abdul Muhsin al-Shihi berkata: “Aku adalah teman perjalanan Abu Bakr al-Khatib (al-Baghdadi) dari Damsyik ke Baghdad. Beliau mengkhatamkan al-Quran sekali dalam setiap sehari semalam.”

Sumber:

Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Hafiz al-Zahabi.

Sinopsis Surah al-Sharh atau al-Insyirah

Surah al-Sharh atau al-Insyirah adalah surah Makkiyyah (diturunkan sebelum Hijrah), yang membincangkan mengenai keperibadian Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan nikmat-nikmat agung yang Allah kurniakan kepadanya, yang selayaknya dipuji dan disyukuri. 

Surah ini menyentuh tentang pelbagai nikmat Allah kepada hamba dan Rasul-Nya, Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam, iaitu dengan melapangkan dadanya dengan iman, menerangi hatinya dengan hikmah dan pengetahuan, serta menyucikannya dari dosa dan beban. Semua ini bertujuan untuk menghiburkan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dari daripada gangguan hebat yang diterimanya daripada kaumnya di Mekah, Taif, dan tempat-tempat lain. 

Kemudian surah ini membicarakan tentang pengangkatan martabat kedudukan baginda di dunia dan akhirat, serta menggandingkan namanya dengan nama Allah Ta'ala.

Surah ini juga menyentuh tentang dakwah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam ketika di Makkah, di mana baginda dan orang-orang beriman menghadapi kesukaran dan ketakutan dari orang-orang kafir yang mendustakan dakwahnya. Maka Allah menghiburkannya dengan berita tentang kelapangan dan kemenangan yang hampir tiba ke atas musuh-musuhnya.

Surah ini diakhiri dengan peringatan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tentang kewajipan untuk menumpukan diri dalam beribadah kepada Allah setelah selesai menyampaikan risalah, sebagai tanda syukur kepada Allah atas nikmat-nikmat yang besar. Begitu juga diperintahkan kepada baginda selepas segala sesuatu untuk bertawakal hanya kepada Allah dan mengharapkan apa yang ada di sisi-Nya.


Khamis, 24 April 2025

Sinopsis Surah al-Tin

 

Surah al-Tin adalah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah) dan ia membincangkan dua tema utama iaitu:

Pertama: Penghormatan Allah Jalla wa 'Ala kepada umat manusia di mana Allah menciptakan manusia dalam sebaik-baik bentuk dan rupa, tegak tubuhnya, sempurna anggota badannya, baik susunan kejadiannya.

Kedua: Tema keimanan kepada perhitungan (hisab) dan pembalasan (jaza') terhadap amalan di dunia.

Surah ini dimulakan dengan sumpah Allah dengan buah tin dan zaitun yang merupakan kiasan kepada tempat suci dan lokasi yang dimuliakan, yang dikhususkan oleh Allah Ta'ala untuk penurunan wahyu di dalamnya kepada para Nabi dan Rasul-Nya, iaitu Baitul Maqdis yang merupakan tempat yang biasa ditumbuhi oleh pohon tin dan zaitun. Begitu juga disebutkan Gunung Tursina yang merupakan tempat Nabi Musa berbicara dan bermunajat kepada Allah dan Makkah Al-Mukarramah, tempat terletaknya Kaabah dan tempat Nabi Muhammad dilahirkan dan diutuskan.

Dengan tempat-tempat inilah Allah bersumpah bahawa Dia telah memuliakan manusia, lalu menciptakannya dalam bentuk yang paling indah, dan susuk tubuh yang paling sempurna. Jika dia tidak mensyukuri nikmat Tuhannya, maka dia akan dikembalikan ke martabat yang serendah-rendahnya di neraka Jahim.

Surah ini mencela orang kafir atas pengingkarannya terhadap kebangkitan semula (ba'ath) dan hari Kiamat (nusyur), setelah adanya bukti-bukti nyata yang menunjukkan kekuasaan Tuhan sekalian alam, dalam penciptaan-Nya terhadap manusia dalam bentuk yang paling baik dan rupa yang paling indah.

Surah ini diakhiri dengan penjelasan mengenai keadilan Allah dengan memberi pahala kepada orang-orang mukmin yang taat dan menyeksa orang-orang kafir yang inkar.